Saturday, February 28, 2009

Mutiara kata-kata cinta

William Shakespeare pernah berkata: “Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta.”


CINTA adalah satu perasaan anugerah Tuhan.


ORANG bijak dan budiman sejak zaman ke zaman pernah mengatakan bahawa cinta adalah sendi segenap keutamaan di dunia ini. Kalau tiada cinta, nescaya nilai kemanusiaan akan hancur. Orang yang bercinta tidak pernah khianat kepada orang yang dicintainya, tidak pernah menyakiti dan tidak pernah mengecewakan.

Filem Mohabbatein memaparkan bagaimana kekuatan cinta berjaya menundukkan ego seorang ayah dan sekali gus seorang pengetua yang membenci cinta.

Cinta memang perasaan yang menakjubkan. Ia ibarat sebuah barang antik, suatu benda lama yang sentiasa baru dari zaman ke zaman dalam hidup manusia. Lebih daripada itu, cinta itu lebih tua daripada alam kerana atas dasar cintalah Tuhan menjadikan alam ini.

William Shakespeare pernah berkata: "Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta." Malah cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, berendam dalam dada dan mengharap pemberian kepada yang satu.

Ya, hampir semua manusia pernah hidup di bawah langit cinta. Ia mempesona dan mewarnai pelbagai wajah. Ia menghiaskan kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta itulah madunya.

"Semakin banyak engkau memuntahkan kata-kata tentang cinta, semakin sepi hatimu dan semakin engkau gilakan cinta. Tiada kisah teramat manis daripada kisah cinta. Tiada kisah teramat ngeri daripada putus cinta. Yang termanis daripada yang manis di dunia ini ialah pujian kekasih yang terlontar daripada rasa cintanya," demikianlah kata-kata orang bijak yang memang kita percayai dan tersemat dalam jiwa kita yang terdalam.

Namun ingat bahaya cinta: cinta monyet ialah cinta keanak-anakan, cinta palsu sekadar basa-basi atau penghormatan, cinta saku merosak saku menguras wang. Oleh itu, 'bercintalah' dengan sepenuh hati kerana cinta sejati sajalah yang akan menghasilkan cita-cita luhur dan abadi. Cinta sejati memang tidak terungkap dengan kata-kata kerana ia menghiasi perbuatan 'pencintanya'. Kata-kata cinta itu memang indah, bernas, klasik, segar dan menyentuh perasaan dan ini mengingatkan kepada sebuah karya lama yang amat berharga hasil penyelanggaraan Allahyarham A. Karim Abdullah.

Allahyarham atau lebih akrab semasa hayatnya dengan panggilan Bung Karim sebelum pemergiannya telah mengumpulkan koleksi mutiara kata berkaitan cinta lalu menghasilkan Yang Bernama Cinta, satu buku yang comel dan bermakna yang harus dimiliki oleh sesiapa saja yang pernah bercinta, yang pernah luka kerana bercinta, yang sakit dipanah cinta, yang berbahagia kerana cinta dan yang asyik memburu cinta.

Yang Bernama Cinta itu menghimpunkan 508 entri mutiara kata-kata berkaitan cinta yang memang kaya dengan falsafah dan fikiran dan amat wajar sekali untuk dibuat renungan sebagai panduan dan sempadan dalam melayari hidup yang bernama cinta ini.

Bak kata Mawar Shafei, dalam kata pengantar buku ini, "Yang Bernama Cinta merupakan hasil kerja yang bersungguh dan penuh upaya hasil daripada pembacaan dan pengalaman yang luas. Ternyata upaya Allahyarham Bung Karim begitu bersifat merata - daripada latar politik kepada kesusasteraan, kebudayaan dan kini kepada koleksi mutiara kata."

Memang dalam Yang Bernama Cinta ini terhimpun kata-kata keramat tokoh-tokoh agama, sasterawan dan sarjana Timur dan Barat dalam mengungkapkan kata-kata cinta yang cukup padat, dalam dan bermakna. Ada ayat terpilih daripada al-Quran dan hadis. Ada sedutan daripada genre kesusasteraan yang pelbagai - novel, drama dan puisi. Ada juga cuplikan kata daripada Hamka, William Shakespeare, Rabindranath Tagore, Leo Tolstoy, Goethe, dan lebih dari itu ia turut memuatkan puisi Kekasih nukilan Allahyarham Usman Awang.

Kata Mawar Shafei lagi, "Yang Bernama Cinta disaring daripada dekad-dekad kehidupan yang rencam. Ia diterjemahkan daripada orak-arik kehidupan yang dialami dan diperhati. Makna cinta itu ternyata disaring dan diterjemah daripada pelbagai spektrum yang meriah. Ditemui lebih banyak makna cinta. Dikepil sama dalam buku ini beberapa ilustrasi berserta indeksnya, yang diusahakan secara bersungguh lagi halus."

Kehalusan kata-kata cinta dalam buku bukan saja wajar dimiliki tetapi juga sesuai untuk dijadikan 'cenderahati' yang menggambarkan kehalusan dan ketulusan para pemberinya. Buku ini tidak termasuk dalam kategori 'buku mewah' yang sering dibanggakan oleh pemiliknya kerana 'kemewahan' cinta itu mengatasi kemewahan fizikal yang sering ditonjolkan oleh pemiliknya.

Buku ini bukan saja mengungkapkan kata cinta sesama manusia, tetapi juga cinta manusia pada alam, pada Tuhan. Dengan kata lain, Yang Bernama Cinta mengungkapkan pengertian cinta seluas-luasnya. Lihatlah dan renungilah kata-kata Bung Karim sendiri tentang cinta: "Cinta kepada harta bererti bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup, cinta kepada Tuhan ertinya takwa."

Atau renungi pula kata-kata Hamka: "Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan, menempuh onak dan duri penghidupan."

Bagi penulis, sentuhan cinta semakin tersengat bahkan amat diperlukan dalam konteks sekarang, memandangkan sentuhan cinta kemanusiaan semakin terhakis dengan berlakunya peristiwa-peristiwa 'mencemaskan' umat manusia seperti keganasan global, perang tanpa henti, konflik antara umat yang mengaku beragama, seolah-olah membayangkan sentuhan cinta sesama manusia telah 'tercabut' daripada jiwa terdalam manusia. Walhal cinta itu adalah jiwa, di antara cinta sejati dengan jiwa tidak dapat dipisahkan, kerana cinta pun merdeka sebagaimana jiwa.

Ia tidak membezakan di antara yang kuat dan lemah, di antara kaya dan miskin bahkan antara darjat dan bangsa. Tetapi inilah yang kita saksikan di merata dunia.

Manusia membunuh, menindas demi memenuhi cinta palsu atas nama kemanusiaan, sedangkan cinta sejati sesama manusia semakin dilupakan, apatah lagi cinta sebenar terhadap Tuhan. Manusia lupa kata-kata ahli fikir Islam, Al-Farabi bahawa cinta yang ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu sebenarnya adalah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk binatang. Bak kata Hamka lagi: "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: