Thursday, February 5, 2009

Tekak Mimie keluar darah


SAINGAN minggu kesepuluh program realiti My Starz LG musim kedua semakin sengit apabila peserta terpaksa berhadapan dengan penyingkiran dilakukan pada setiap minggu.

Jika dua minggu lalu tujuh peserta terdiri daripada Norshamimi Ahmad Haris (Mimie), Cassandra Daniel Manja (Cassie), Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Mohd Hairi Kenneith (Hairi), Mohd Azri Abdullah (Azri), Mohd Farouk Jayfiena Ermand (Feroq) dan Noriezuana Syed Shafudin (Wana) terselamat kerana tiada penyingkiran.

Namun senarionya berbeza pada malam Ahad lalu apabila Mimie diumumkan sebagai peserta yang tersingkir. Persembahannya menerusi lagu Seksis yang pernah dipopularkan Anita Sarawak kurang meyakinkan.

Ternyata Mimie punya alasan kerana masalah kesihatan. Katanya, masalah itu turut mengganggu fokusnya pada persembahan terakhir itu.

"Ketika persembahan, memang kesihatan saya terganggu. Sejak dua minggu saya mengalami sakit tekak hingga keluar darah. Malah, sehari sebelum malam penyingkiran, batuk saya tidak berhenti hingga saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor menasihatkan saya berehat menyanyi tetapi saya tetap meneruskan cabaran dalam program ini. Bagaimanapun, saya menganggap penyingkiran saya ini tiada rezeki untuk saya melangkah ke peringkat akhir," katanya.

Mimie akui kecewa kerana gagal beri persembahan terbaik pada minggu itu tetapi katanya, tiada apa yang boleh dilakukannya.

"Pada masa itu, semua juri iaitu Hattan, Liza Hanim dan Hazami sepakat berpendapat persembahan saya kurang bertenaga. Kata Hattan, ada 'benda' yang tidak cukup pada diri saya hingga saya kurang menguasai nada rendah dan salah pilih lagu.

"Hazami pula, berkata persembahan saya masih dinamik dan pitching tidak mempunyai masalah kurang bertenaga. Saya sepatutnya menyanyi lagu Memori Tercipta jika saya tidak tersingkir pada malam itu.

"Namun, pada saya, persembahan rakan lain tetap hebat. Masing-masing menunjukkan peningkatan dan persembahan yang dinamik. Sepanjang berada dalam program ini, banyak pengalaman saya timba dan kenangan manis dilalui bersama rakan lain.



"Paling manis apabila saya diberi peluang menggantikan Jaclyn Victor pada latihan untuk Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang lalu. Ketika itu, saya berkongsi pentas dengan penyanyi berpengalaman iaitu M Nasir dan Jamal Abdillah. Walaupun ia hanya latihan untuk AJL23 tetapi saya bangga dan berasa bertuah dengan peluang keemasan itu," katanya.



Kata Mimie, 18, sepanjang sembilan minggu berada dalam program berkenaan, dia juga berpeluang mengikuti kelas vokal dan tarian. Bimbingan daripada tenaga pengajar seperti penyanyi Lah Ahmad sebagai penasihat vokal, koreografer tarian, Raimee Salleh dan Syaiful Baharim bertindak selaku perunding imej, banyak memberi pendedahan baru padanya.

"Mereka banyak beri tunjuk ajar dan sokongan pada saya untuk terus menyanyi dengan lebih baik. Perancangan selepas ini, saya akan sambung belajar mengikuti kursus Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

"Sepatutnya saya sambung belajar pada bulan Disember lalu tetapi saya tangguh satu semester kerana terbabit dengan program ini. Sejak kecil ketika berusia tujuh tahun saya minat menyanyi dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah muzik.

"Saya gembira kerana minat dan cita-cita saya mendapat sokongan keluarga. Dulu, saya kerap membuat persembahan pentas dan mahu mengikuti jejak langkah bapa saya yang juga pernah menyanyi sebelum ini," katanya.

Pada minggu lalu, persembahan Nashrin paling berjaya memikat hati juri iaitu Liza, Azmeer dan Zainal Abidin. Nashrin yang menyampaikan lagu Firasat nyanyian asal Marcell mendapat pujian tiga juri berkenaan yang dikatakan mempunyai vokalmantap dan penghayatan yang baik. Kejayaan awal itu melayakkan menang hadiah mingguan berupa penghawa dingin LG, Neo Plasma Plus.

Wana pula yang menyampaikan lagu popular Ziana Zain, Madah Berhelah dikritik kerana nyanyiannya mempunyai persamaan seperti penyanyi asal. Kritikan pedas juri juga terkena pada Azri yang membawakan Laguku Untukmu nyanyian asal Hasnol, apabila Zainal mengatakan persembahannya tidak terkawal termasuk penguasaan vokal tidak mencapai tahap diinginkan.

Begitu juga dengan Feroq, walaupun terselamat daripada penyingkiran tetapi dia yang menyanyikan lagu Juwita Citra Terindah dikritik teruk kerana lontaran vokal tidak mempunyai seni dan baju yang digayakan pada malam itu seperti pelayan bar. Hairi pula yang mempersembahkan lagu Search, Mentari Merah Di Ufuk Timur dikatakan hambar hingga nyanyiannya lari dari tempo asal.

Namun, Hairi mampu tersenyum bila menerima komen dia berjaya mengimbangi vokal dengan baik. Kedudukan selesa turut menyebelahi Cassie yang menyanyikan lagu Destinasi Cinta dengan baik. Meskipun mendapat komen positif juri tetapi pergerakannya terbatas kerana pemilihan kasut yang tidak sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: