Thursday, February 5, 2009

Artis 60-an bantu dana


SELEPAS berlangsung lelong amal ABPBH 2008 Untuk Gaza Sabtu lalu, usaha mengumpulkan dana Tabung NSTP Untuk Gaza diteruskan dengan penganjuran Malam Amal Irama Muzik 60-an... Untukmu Gaza di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), jam 8.30 malam esok (Jumaat).

Program ini adalah kerjasama Aswara dengan Presiden Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan dan beberapa artis veteran popular tempatan.

Rektor Aswara, Datuk Omar Awang, berkata pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program berkenaan bagi merayu sumbangan masyarakat membantu rakyat Palestin. Disamping beramal, program hiburan berkenaan turut memberi pengalaman dan ilmu kepada penuntut Aswara.

“Kami harap penganjuran program ini dapat membuahkan hasil. Biarpun terdapat beberapa dana untuk Palestin namun kami memilih untuk menyerahkan semua sumbangan yang diperolehi kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

“Bukan soal tabung mana yang menjadi pilihan, sebaliknya yang lebih penting pembabitan semua pihak dalam membantu penduduk di semenanjung Gaza.

“Kami juga tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kutipan memandangkan ia membabitkan kerja amal. Bagaimanapun, kami yakin dapat mengutip sejumlah dana untuk mengisi tabung berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar di Aswara, baru-baru ini.

Program yang tidak membabitkan sebarang penjualan tiket itu berlangsung selama lebih dua jam dan akan dimeriahkan dengan tiga segmen iaitu pertama mengenai penghayatan dan kesengsaraan masyarakat Palestin menerusi acara membaca puisi, persembahan pantomin, sajak dan kaligrafi.

Segmen kedua membabitkan persembahan nostalgia 60-an daripada penuntut Aswara yang berkaitan kemanusiaan meliputi kesengsaraan dan kehidupan masyarakat.

Acara kemuncak ialah persembahan artis popular 60-an antaranya Jefrydin, Fatimah M Amin, L Ramlie, A Halim, S Mariam, Datin Azizah Muhammad serta kumpulan Nirwana dibawah pimpinan A Rahman.

Omar berkata, pihaknya berharap dapat menarik khalayak ramai ke program kemanusiaan itu. Malah dengan adanya persembahan artis 60-an dapat menarik masyarakat luar mengenali lebih dekat mengenai Aswara.



“Selain tiga segmen berkenaan, terdapat juga jualan lukisan daripada pelukis profesional. Sejumlah 60 peratus daripada jualan lukisan berkenaan akan diserahkan kepada dana berkenaan. Kami memperuntukkan 30 hingga 45 minit untuk setiap segmen persembahan.



“Beberapa kotak juga akan disediakan di pintu masuk seterusnya ketika persembahan berlangsung untuk mengisi dana itu. Kami tidak meletakkan harga atau jumlah sumbangkan untuk dana berkenaan. Sebaliknya terpulang kepada masyarakat untuk menderma.

“Secara tidak langsung penganjuran program ini mendidik generasi muda mengenai keprihatinan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, pihak Aswara turut terbabit menerusi program kemanusiaan seperti bersama warga emas pada 2006, program masuk Felda (2007) dan kunjungan pelajar ke wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur tahun lalu.

A Rahman yang juga Presiden Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota), menyokong penuh program yang dianjurkan Aswara.

Katanya, biarpun dinasihatkan doktor untuk berehat, namun semangat dan cintakan muzik memberi terapi terbaik untuknya bangkit meneruskan kehidupan selepas menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah jantung pada 26 Disember lalu.

“Selepas ditawarkan Aswara untuk turut serta dalam program ini, dia sentiasa berdoa untuk menjayakan persembahan itu. Malah baginya mana-mana artis 60-an juga pasti memberi komitmen tinggi dan bersetuju untuk bekerjasama dalam program amal itu.

“Disamping program kebajikan, ia juga mampu memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat mengenai irama 60-an. Langkah menganjurkan program seperti ini amat baik. Dengan masa yang diperuntukkan menerusi segmen itu kemungkinan kami akan menyampaikan dua lagu pada setiap persembahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: