Thursday, February 5, 2009

Dengarnya...: Que seram sejuk tengok tok kadi





TAK berapa hari saja lagi pasangan selebriti, Linda Jasmine dan Que Haidar akan mengakhiri zaman solo mereka. Pasangan popular itu akan diijabkabulkan pada 14 Februari ini di Bora Ombak, Ampang selepas solat Asar.

Membilang detik menjelang saat itu mengundang debaran yang cukup kuat buat mereka berdua. Que sendiri mengaku, sukar untuk menceritakan segala perasaan yang bermain di sudut hatinya.

Segala rasa bercampur-baur, namun paling mendebarkan menanti saat menjabat tangan tok kadi. Que ada memberitahu, ketika menjalani penggambaran sebuah drama di sebuah masjid kebetulan di situ ada upacara pernikahan.

Melihat bakal pengantin berdebar menanti saat diijabkabulkan, tambahan pula semua mata tertumpu kepadanya membuatkan Que sudah mula seram sejuk.

Iyalah, berlakon depan kamera dengan apa yang dilalui sebenar adalah dua perkara sebenar. Disebabkan bimbang terus diburu debaran, Que berlari keluar daripada masjid itu.

Namun Cik Normah kagum dengan kesungguhan Que. Biarpun tarikh pernikahannya semakin dekat, Que tetap komited dengan tanggungjawabnya sebagai pelakon

Dia hanya akan bercuti bermula 12 Februari ini membuatkan Linda terpaksa menguruskan majlis pernikahan mereka sendirian.

Hanya telefon menjadi pengerat hubungan dan tempat Linda meluahkan segala rasa. Biasalah semakin dekat, semakin banyak tekanan terutama apabila menyentuh soal jemputan.

Linda bimbang jika ada tetamu berkecil hati jika tidak menerima layanan sebaiknya pada hari itu. Malah fikirannya juga berserabut memikirkan jika ada kenalan yang terasa hati apabila kad jemputan tidak dilayangkan kepada mereka.

Cik Normah faham, kalau boleh mereka mahu semua pihak datang meraikan detik bersejarah mereka berdua. Tetapi Cik Normah akur sukar untuk mereka puaskan hati semua pihak. Pesan Cik Normah, buatlah sekadar yang termampu. Yang penting ialah keikhlasan Linda dan Que dalam melayari kehidupan berumah tangga. Cik Normah hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk mereka.

Buat Que dan Linda, usahlah terlalu tertekan dan memikirkan yang bukan-bukan. Tenangkan hati menempuh detik baru itu. Cik Normah nak ucapkan selamat pengantin baru dan cepat-cepatlah menimang cahaya mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: