Wednesday, February 4, 2009

Teguhnya cinta Ning - Omar


KENANGAN indah di majlis pernikahan Ning dan Omar di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, tahun lalu.


TANGGAL 31 Januari lalu, 'pelayaran bahtera' perkahwinan penyanyi Ning Baizura bersama suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton genap mencecah usia setahun.

Pejam celik, pejam celik, tanpa disedari, masa berlalu pantas dan bagaikan baru semalam rasanya mereka melangsungkan perkahwinan.

Menyorot kembali ke detik 31 Januari 2008, hubungan cinta mereka termeterai akhirnya dengan ikatan pernikahan selepas lebih setahun mengenali hati budi masing-masing.

Omar dikenali Ning tatkala penyanyi yang cukup popular dengan lagu Awan Yang Terpilu itu menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Bali, Indonesia pada awal September 2006.

Ketika itulah hubungan mereka mula terjalin dan tanpa disangka ia terus terikat bagaikan tali bersimpul mati.

Omar kemudiannya memeluk Islam pada 7 Julai 2007 di Islamic Outreach, Jalan U-Thant, Ampang lantaran hatinya terbuka untuk menerima Islam.

Kini, selepas setahun berlalu, ikatan kasih serta cinta Omar terhadap Ning dan begitu juga Ning kepada Omar tetap utuh.

Sebagai mengukuhkan lagi kasih dan cinta mereka, baru-baru ini, Ning dan Omar sempat menghabiskan masa bercuti ke bandar Melaka.

Selain menenangkan fikiran dan melarikan diri sejenak daripada hiruk pikuk kesibukan kotaraya Kuala Lumpur, ia juga adalah untuk meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Melawat lokasi-lokasi yang mempunyai nilai sejarah dan klasik, Ning serta Omar tidak lupa menghubungi beberapa nama dan kenalan sebagai ungkapan terhutang budi atas bantuan yang dihulurkan ketika berlangsungnya majlis pernikahan mereka.

"Ketika di Melaka, kami menetap di sebuah hotel yang cukup klasik. Jalan-jalan, lihat tempat bersejarah dan pergi spa.

"Masa berlalu pantas dan rasa seperti baru semalam kami berkahwin," ujar Ning ketika ditemui di majlis Rafflesia & Mandalay Chinese New Year Gala Dinner di Hotel Le Meridien, hujung minggu lalu.

Pada majlis itu, Ning yang ditemani Omar mengenakan pakaian rekaan Bill Keith di samping memperagakan koleksi gelang jed Mandalay sempena Tahun Baru Cina bernilai RM388,000.

Ning dan Omar bernikah pada 31 Januari tahun lalu di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur.

Dengan wang hantaran sebanyak RM66,666.66, Ning turut menerima mas kahwin berjumlah RM80 daripada Omar.

Menyambung cerita setahun usia perkahwinan, Ning berkata, walaupun tidak dihadiahkan barangan mewah, hatinya terharu dan terusik dengan apa yang telah dilakukan oleh suaminya.

"Dia (Omar) telah membuat sendiri sebuah album gambar setebal 20 muka surat yang mengandungi gambar-gambar kenangan kami sejak mula berkenalan sehingga kahwin.

"Album itu cukup lengkap dengan kapsyen. Tatkala menerimanya, saya menangis dan tidak tahu bila masanya dia menghasilkan album berkenaan.

"Hadiah ini tidaklah mahal tetapi ia cukup bermakna dalam hidup saya. Keluarganya pun ikut sama bantu buat album itu,'' jelas Ning.

Menurutnya, ulang tahun pernikahannya dan Omar bertambah seri apabila mereka menerima hadiah berupa anting-anting, cincin, rantai dan kafling mutiara Rafflesia daripada Pengarah Urusan Jewellery Circles Sdn. Bhd., Winnie Sin.

"Terharu rasanya dapat hadiah ini. Saya amat berterima kasih kepada Winnie dan suaminya,'' katanya.

Ditanya mengenai cahaya mata, Ning yang kini berjinak-jinak dengan perniagaan pakaian lelaki berkata, ia adalah impian bagi setiap pasangan yang berkahwin.

"Kalau ada rezeki tahun ini, alhamdulillah," jawabnya ringkas.

Perkembangan terbaru Ning

Sementara itu, menjawab soalan tentang perkembangan kariernya, Ning memberitahu bahawa single terbarunya iaitu Mimpi dan Embunan Bersinar semakin mendapat tempat di hati peminat.

Katanya, kedua-dua buah lagu terbabit boleh didengari di laman webnya iaitu www.ning-baizura.com.

"Saya juga akan menjalani penggambaran untuk filem terbaru terbitan KRU Studios berjudul Magika.

"Dalam filem tersebut, saya memegang watak Puteri Gunung Ledang. Magika adalah sebuah filem muzikal dan menampilkan banyak pelakon ternama lain,'' ujarnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: