|
|
KOTA TINGGI 4 Feb. – Objek misteri berupa ‘pocong’ yang menggemparkan penduduk Kampung Tembioh sejak Jumaat lalu akan dimusnahkan esok.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Datuk Kiyai Samsudin berkata, kelima-lima ‘pocong’ itu telah dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Makam di sini untuk dibakar dan dimusnahkan.
Bagaimanapun, katanya, proses membakar objek misteri itu terpaksa ditunda esok bagi memastikan ia kering.
“Kesemua ‘pocong’ itu basah kerana tenggelam dalam sungai sejak beberapa hari. Ia perlu dikeringkan sebelum kita dapat membakarnya.
“Proses ini mungkin mengambil sedikit masa, tapi buat masa ini kita memindahkannya ke tanah perkuburan sebelum dibakar petang esok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir di lokasi tersebut, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak.
Jumaat lalu, penduduk Kampung Tembioh digemparkan dengan penemuan lima sekeluarga ‘pocong’ oleh dua sahabat, Mohd. Izzuddin Abdul Karim, 18, dan Mohd. Razif Ismail, 17, ketika menjala ikan di pinggir Sungai Johor.
Penemuan itu menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan pengunjung pantai tersebut dan membiarkan objek misteri itu terdampar di sungai itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Taufik berkata, objek yang ditemui itu bukannya mayat atau jenazah manusia yang perlu disempurnakan dengan cara menanamnya.
Justeru, katanya, adalah wajar objek yang menyerupai mayat yang lengkap dikafankan itu dimusnahkan dengan cara dibakar.
Beliau menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat Islam supaya menjauhi perkara-perkara berunsur khurafat yang boleh menjejaskan akidah.
Katanya, terdapat tiga biji batu bata, kapas, kapur barus dan pacai (setanggi) sebaik petugas membuka ikatan ‘pocong’ tersebut.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Junaidah Abdul Karim, 33, berkata, dia bersyukur kerana kejadian yang menghantui penduduk kini telah diselesaikan.
“Saya kesal dengan tindakan mereka yang membuang ‘pocong’ di pinggir sungai ini. Ia membuatkan penduduk ketakutan terutama wanita dan kanak-kanak.
“Dengan berakhirnya episod ‘pocong’ ini, penduduk berharap janganlah lagi berlaku kejadian seumpama ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: