|
|
MINGGU lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menganjurkan konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs.
Mengetengahkan variasi persembahan pembawaan irama jazz, konsert yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri itu bertujuan untuk mengembalikan semula era kegemilangan Jazz Orkestra RTM.
Selain itu, konsert yang dihadiri Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ini turut berperanan mempopularkan lagu-lagu Malaysia dalam aliran jazz ke pentas antarabangsa.
Ini kerana, konsert berkenaan juga dihadiri wakil-wakil diplomat kedutaan luar yang menetap di negara ini.
Sememangnya, tanggungjawab mengembangkan lagu-lagu Malaysia versi jazz telah lama dilakukan oleh RTM sejak penubuhan Orkes Radio Malaya pada tahun 1961 lagi.
Pada era tersebut, Orkes Radio Malaya dipimpin oleh Alfonso Soliano yang juga seorang pemain piano.
Digelar Father of the RTM Orchestra, mendiang telah pun mencipta beratus buah lagu jazz yang kini menjadi salah satu peninggalan yang cukup berharga.
Setelah lebih 40 tahun berlalu, kegemilangan Orkes Radio Malaya diteruskan melalui Jazz Orkestra RTM dan ia diterjemahkan menerusi konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs.
Konsert selama dua jam itu dibahagikan kepada tujuh segmen iaitu A Jazz Tribute To Folk Songs, A Jazz Tribute To P. Ramlee, A Jazz Tribute To Jimmy Boyle, A Jazz Tribute To The Homeland, A Jazz Tribute To Alfonso Soliano, A Jazz Tribute To The Soloist dan A Jazz Tribute To New Malaysian Songs.
Dimulakan dengan A Jazz Tribute To Folk Songs, ia memaparkan dua buah lagu rakyat iaitu Enjit-Enjit Semut dan Kopi Susu yang digubah oleh penggubah tersohor, Datuk Johari Salleh serta Datuk Mokhzani Ismail.
Dalam menghargai karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, segmen A Jazz Tribute To P. Ramlee mengetengahkan lagu Pantai Gurauan dengan persembahan trumpet solo oleh John Douglas Bourque manakala Sang Rembulan oleh pemain violin berbakat RTM, Yap Yen.
Lagu berjudul Jelingan Manja turut dialunkan dan ditambah serinya dengan persembahan vokal oleh penyanyi kelahiran RTM, Dia Fadila.
Sebut sahaja irama jazz, Jimmy Boyle adalah seorang lagi tokoh jazz yang lahir pada tahun 1960-an.
Karya
Anak kelahiran Pulau Pinang dan merupakan pemain piano hebat ini telah menghasilkan banyak karya antaranya Bahtera Karam, Tanjung Bunga serta Putra Putri.
Melalui segmen A Jazz Tribute To Jimmy Boyle, karya beliau didendangkan oleh anaknya iaitu James Boyle Trio bersama penyanyi Shafinaz Selamat dalam lagu Gema Rembulan dan Jauh-Jauh.
Menyedari peri pentingnya mengasuh pelapis irama jazz, RTM tidak lupa untuk menjalin kerjasama dengan Aswara serta terbabit dalam penghasilan album dan buku skor berjudul A Jazz Tribute To Malaysian Songs.
Kumpulan Gamelan dan Big Band Aswara juga diberikan ruang untuk menunjukkan bakat dalam segmen A Jazz Tribute To The Homeland serta mendendangkan tiga buah lagu iaitu Cendering, Kampungku Nun Jauh Di Mata dan Cempakasari.
Bakat-bakat baru
Sementara itu, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail ketika diajukan soalan mengenai perjalanan konsert tersebut berkata, ia mempunyai pelbagai matlamat dan paling utama adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam aliran jazz.
"Kita mahu memberi inspirasi kepada anak muda dan mendedahkan mereka tentang cara bermain muzik dalam sebuah big band.
"Memang konsert dan pendedahan jazz tidak popular di mata masyarakat tetapi kami bertanggungjawab dalam mendidik generasi baru mendekati jazz.
"Itu lebih memberikan kepuasan meski beraksi di pentas-pentas kecil,'' katanya ketika ditemui di akhir konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs.
Jelas Mokhzani, melalui konsert berkenaan juga, jazz turut mendapat sentuhan elemen-elemen muzik Melayu apabila ia digabungkan dengan Gamelan.
"Ini yang dikatakan konsep Barat dan Timur bersatu. Ia membuktikan bahawa muzik Melayu mampu bersatu dalam irama jazz,'' tambahnya.
Konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs, menurutnya, akan menjadi pemangkin dalam membawa lagu-lagu Malaysia ke peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: