Kesibukan Raja Mukhriz di lokasi penggambaran filem membuatkan rancangan percutian sempena perkahwinan terpaksa dilupakan sementara waktu
DEK kesibukan memenuhi urusan kerjaya masing-masing, pasangan pelakon dan pengarah fotografi, Sharifah Shahora Syed Akil, 34, dan pengarah fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 36, hanya dapat melaksanakan majlis persandingan kelmarin kira-kira tiga bulan selepas mereka bernikah iaitu pada 26 November 2008.
Pada mulanya, mereka pernah merancang bersanding sebulan selepas majlis bertunang dan bernikah dilakukan. Ia terus tertangguh hingga ke Januari tahun ini. Dan, kalau mahu terus dilayan komitmen kerja perlu dibereskan, nampaknya mungkin sampai sekarang pasangan ini tidak akan bersanding.
Namun begitu, si isteri yang mesra dengan panggilan Shora, mengambil langkah berani menempah dewan dan memberikan alasan hanya tarikh 21 Februari saja yang kosong, lalu, termakbul hasrat di hati dan Restoran Felda Villa (berdekatan dengan Dewan Perdana Felda) menjadi saksi penyatuan hati ini buat kali keduanya. Malah, mereka menjadi selebriti pertama menggunakan lokasi itu untuk tujuan persandingan.
Persandingan bertemakan taman ini dibahagikan kepada dua sesi. Sebelah siangnya ditumpukan bagi meraikan keluarga dan kenalan terdekat, manakala pada sebelah malamnya untuk rakan media, rakan artis, penerbit dan pengarah. Rezeki juga singgah pada saat akhir apabila menerima tajaan daripada pihak bermurah hati. Hujan lebat pada majlis ini berlangsung bagaikan rahmat yang seakan-akan merestui kembara silaturahim mereka.
“Macam-macam halangan kami harus lalui sebelum semuanya berakhir dengan upacara persandingan ini. Dia (Mukhriz) sibuk dengan penggambaran filem dan terikat dengan komitmen sebagai tenaga pengajar bidang kepakarannya (fotografi dan kamera). Sejak Januari lalu hingga sekarang, dia perlu membabitkan diri untuk filem Rempit V3 dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys.
RAKAN artis tidak ketinggalan mengabadikan gambar kenangan |
“Dia hanya ‘dibebaskan’ sehari sebelum bersanding untuk diberi pengecualian daripada filem Senario arahan Ahmad Idham di Pulau Pangkor. Malah, sejak semalam (Ahad) dia sudah kembali ke pulau itu untuk menghabiskan kerjanya sehingga 28 Februari ini. Saya pun pada masa sama terikat dengan penggambaran siri drama Jangan Pandang Belakang.
“Niat kami nak berbulan madu pun belum mendapat kata putus kerana soal kerja perlu diberi keutamaan. Kami menganggap ia sebagai rezeki yang diterima untuk masa depan kami. Kerana urusan bersanding ini pun saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama. Tarikh nak berbulan madu pun tak ada lagi, hanya menunggu kelapangan suami saya. Maklumlah dia semakin laris macam goreng pisang panas,” kata Shora yang memberitahu mereka mungkin mempertimbangkan untuk berbulan madu di Brussels, Belgium kerana keluarga angkat Mukhriz tinggal di sana.
Tidak lupakan tanggungjawab walaupun sibuk
KETIKA majlis persandingan mereka berlangsung, penerbit terkenal, David Teo yang hadir bersama isterinya, Jane sempat mengusik Shora dan Mukhriz dengan berkata, jangan asyik kerja saja sampai lupa untuk mendapatkan zuriat.
PASANGAN bahagia. |
Namun, hakikatnya mereka sudah mempunyai seorang anak bernama Puteri Fiedra Mukhriz berusia sembilan bulan. Tapi Fiedra hanyalah anak angkat yang sudah cukup mesra dan rapat dengan pasangan ini. Biarpun begitu, mereka tidak sesekali menolak rezeki Tuhan jika dikurniakan zuriat kandung secepat mungkin.
“Kalau boleh kami hendak zuriat sendiri secepat mungkin walaupun kami masing-masing sibuk. Kami memang mengimpikan kurniaan paling berharga itu dan sekurang-kurangnya Fiedra akan ada teman selepas ini.
“Kalau ada masa lapang, kami akan bergilir menjaga Fiedra, selain dibantu dengan pembantu rumah,” kata Mukhriz yang agak pendiam berbanding Shora yang sangat peramah.
“Saya rasa perlu ada orang sepertinya yang banyak bercakap. Kehadiran Shora dengan mulutnya yang petah dan tidak berhenti bercakap sebenarnya menyerikan lagi warna rumah tangga kami. Meriah dan ceria kalau ada orang macam Shora,” sambung Mukhriz lagi mengenai tingkah laku isterinya.
Shora sempat mencelah memberitahu yang dia mengimpikan empat anak dan berkongsi rahsia mengenai sikap suaminya yang dikatakan terlalu pendiam di khalayak ramai.
“Dia memang kalau depan orang nampak pendiam tapi personalitinya di rumah jauh sekali berbeza. Kalau nak tahu di rumah kami di Kemensah, dialah yang paling bising dan peramah. Kadang-kadang dia pula yang tak henti-henti bercakap,” kata Shora yang sudah mula memikul tanggungjawab seperti bendahari yang menguruskan urusan kewangan keluarga.
Menurunya, sesibuk manapun kerja yang perlu dilunaskan, dia kini harus bijak memastikan tanggungjawab sebagai isteri terus dijaga.
“Ibu saya pun berpesan apabila sudah menjadi isteri, keperluan suami perlu didahulukan. Dia pun bukanlah lelaki yang pandai buat kerja rumah dan itu bukan satu masalah.
“Saya bersyukur kerana suami tidak banyak karenah dalam soal makan dan minum,” kata Shora, anak kedua daripada empat beradik ini.
Kata pelakon itu lagi, mengenali suaminya selama tujuh tahun menyebabkan dia memahami kerjayanya dan selama tempoh itu juga kedua-duanya berjaya memupuk keserasian seterusnya mengukuhkan lagi ikatan cinta antara mereka.
“Sejak awal percintaan kami, baik saya mahupun dia sudah tahu risiko dan keadaan perlu dihadapi. Buat masa ini, saya yakin kami boleh mengharunginya kerana keserasian sudah terbina. Tak sangka sudah tujuh tahun kami kenal dan rasa seperti baru tiga tahun sebenarnya,” katanya.
INFO: Persandingan
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: