Sekarang macam satu kegilaan pula orang Malaysia kepada kopi. Lihat saja kopitiam semakin bertambah dengan pelbagai jenama dan pelbagai rasa yang dihidangkan.
Jenama kopi pra campuran juga semakin banyak. Artis Malaysia juga tak lepaskan peluang mengeluarkan kopi.
Pelakon Rashdan Baba juga bakal mengeluarkan kopi jenama sendiri iaitu Radan Plus Pra Campuran yang bakal dipasarkan bulan Mac 2009 ini.
"Keistimewaan kopi ini ialah mengandungi campuran tongkat ali dan habbatusauda dan ia dihasilkan menggunakan krimer bukan tenusu," jelas Rashdan.
Rashdan juga menjelaskan ia bukan khusus untuk lelaki sebaliknya untuk semua orang kerana fungsinya menambahkan tenaga.
"Saya yakin dengan produk kopi kerana ia mempunyai pasaran yang luas," kata pelakon yang berasal dari Kelantan itu lagi.
Rashdan Baba Talent Agency
Rashdan juga menguruskan Rashdan Baba Talent Agency (RBTA) yang menganjurkan satu konsep sistem latihan dan pengurusan, mencungkil bakat baru dalam bidang lakonan, peragaan dan teknologi Internet.
"Saya mahu gunakan pengalaman lebih sepuluh tahun dalam bidang lakonan dan hiburan dan kami menyediakan satu landasan bagi yang berminat dalam bidang seni.
"Pada era IT pada masa ini, pendedahan masyarakat berkaitan dengan teknologi maklumat telah meningkat, maka dengan konsep pendedahan bakat-bakat baru menggunakan teknologi ini akan membuatkan mereka lebih berdaya saing," jelas Rashdan lagi.
RBTA bekerjasama dengan syarikat iTAGERMEDIA yang mengendalikan bengkel membina laman blog iaitu blogstarz. RBTA juga berperanan dalam memberi khidmat nasihat bagi belia dan peserta baru untuk lebih mengenal pasti sifat dan sikap mereka dalam mencapai sasaran RBTA untuk melahirkan usahawan seni yang berdaya saing.
"Kami mensasarkan individu yang ingin menceburi bidang yang penuh dengan glamor ini. Kami tahu ramai anak muda yang berada di luar bandar khususnya tidak mendapat peluang atau ruang untuk menyertai bidang ini. RBTA akan mengadakan jelajah uji bakat ke seluruh Malaysia," jelasnya lagi.
Antara modul asas lakonan yang akan dipelajari oleh bakal peserta ialah bengkel lakonan, asas lakonan, penghayatan watak, pengembangan watak dan pembentangan tugasan untuk watak yang diberikan.
Dalam peragaan pula peserta akan dapat asas peragaan, cara-cara catwalk, displin, motivasi, praktikal catwalk manakala ilmu IT pula merangkumi asas IT, membina laman blog, peluang dalam bisnes laman blog dan motivasi pasal blog.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: