Monday, February 23, 2009

Berkat cinta jarak jauh...Kartini


SELEPAS menjalinkan percintaan 'jarak jauh' selama setahun, akhirnya, penyampai Hot FM, Kartini Datuk Kamalul Ariffin (Tini) dan pasangannya, Pengurus Acara Hot FM, Nur Sulhi Jasmin (Sol) memutuskan untuk mengakhiri hubungan itu dengan ikatan perkahwinan.

Bermula dengan majlis merisik tanggal 23 Mac tahun lalu, pasangan ini sepakat memilih tanggal 22 Februari untuk mengabadikan detik paling bersejarah dalam hidup mereka.

Dengan dua kali lafaz, Tini, 31, dan Sol, 29, selamat diijabkabulkan bapa pengantin perempuan, Datuk Kamalul Ariffin Abd Rahim, 65, di hadapan imam masjid Pusat Latihan Polis, Rahimi Abdul Rajab, jam 10.40 pagi pada majlis ringkas di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak yang dihadiri lebih 100 keluarga terdekat kedua belah pihak.

Sol menyerahkan mas kahwin RM80, sebentuk cincin dan wang hantaran RM10,000 kepada pihak perempuan. Pada majlis itu juga, pihak lelaki menyerahkan 11 dulang hantaran terdiri daripada telekung, beg tangan, buah-buahan, sepersalinan kain, jam tangan dan set wangian jenama Elizabeth Arden.

Pihak perempuan membalas 13 dulang hantaran terdiri daripada kemeja Raoul, jam tangan jenama Cerruti, kain songket, tepak sirih, terjemahan al-Quran, kasut, sejadah, set wangian dan buah-buahan.

Ketika ditemui sebaik saja majlis pernikahan selesai, Tini yang anggun dengan busana serba putih berkata, dia lega kerana majlis pernikahannya itu berjalan lancar.

"Sebelum majlis akad nikah ini, saya panik sedikit menanti detik diijabkabulkan ini. Tetapi saya bersyukur kerana sudahpun bergelar isteri sekarang. Insya-Allah, saya akan berusaha menjadi isteri terbaik buat suami," katanya.

Bagaimanapun, kata Tini, dia akan kembali bertugas esok di konti Hot FM.

"Saya sudah bercuti selama seminggu untuk membuat persiapan majlis pernikahan dan resepsi hari ini. Apapun, kami akan mengambil cuti panjang pada Mac atau April, sekali gus berbulan madu.

"Saya suka keindahan pulau dan merancang bercuti sambil mengambil lesen menyelam. Kami memilih destinasi percutian dalam negara saja kerana negara kita mempunyai banyak pulau yang cantik untuk diterokai," katanya.



Ketika ditanya apakah ciri yang ada pada Sol sehingga membuka hatinya untuk memilih jejaka itu sebagai suami, Tini berkata, Sol menerima dirinya seadanya.

"Saya mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri dalam banyak perkara tetapi dia boleh terima cara saya itu.

Selain itu, dia pandai memujuk saya," katanya.

Sol pula berkata, dia memilih Tini kerana mereka mempunyai banyak persamaan.

"Kami berkongsi hobi sama. Contohnya, masing-masing suka melancong ke negara orang," katanya.

Mengenai anak pula, kata Tini, mereka tidak merancang untuk mendapat anak dalam tempoh terdekat ini.

"Saya perlu menyesuaikan diri dengan status baru ini. Maklumlah, saya sudah biasa hidup berdikari sejak dulu," katanya.

Mengimbas detik perkenalan mereka, Kata Tini, dia bertemu Sol ketika mula menyertai stesen Hot FM pada Januari 2006.

"Pada peringkat awal, masing-masing hanya mampu memendam perasaan dan tidak berani untuk mengakui bibit cinta yang mula berputik ketika itu.

"Sebulan sebelum pemergian saya ke London untuk menyambung pengajian di sana, barulah kami berpeluang meluahkan isi hati dan masing-masing berjanji untuk terus setia sehingga saya kembali ke tanah air. Pada 2008, keluarga Sol datang merisik dan kami sepakat untuk mengakhiri hubungan ini dengan ikatan perkahwinan tahun ini," katanya.

Sementara itu, majlis resepsi mereka berlangsung jam 1.30 tengah hari di lokasi sama yang dihadiri lebih 1,000 tetamu.

Majlis persandingan berkonsepkan tradisional dan bertemakan rona merah hati dan krim yang juga warna kegemaran pengantin perempuan.

Tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian Dina (Malaysian Idol) dan menampilkan gandingan pengacara Faizal Ismail dan Rafidah Abdullah (3R).

Majlis perkahwinan mereka disusuli dengan majlis bertandang di sebelah pihak lelaki yang akan berlangsung di Kota Tinggi, Johor pada 28 Februari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: