Friday, February 20, 2009

Sarimah Bagai di puncak


TANGGAL 19 Februari artis serba boleh, Sarimah (Sarimah) Ibrahim, meraikan hari jadinya ke-31.

Sebagai wanita mencecah usia matang, pengacara, pelakon dan penyanyi itu mampu menarik nafas lega kerana sudah memiliki kerjaya seni yang boleh dikatakan stabil.

Kerjaya seninya kembali berada di puncak apabila berpeluang mengendalikan Ikon Malaysia dan Ikon Asian yang disiarkan secara langsung oleh Astro pada 2006.

Tahun berikutnya, tanggungjawab lebih besar diberikan kepada Sarimah apabila produksi Akademi Fantasia musim keenam memberi kepercayaan kepadanya menggantikan tempat Aznil mengendalikan Diari.

Ramai menggemari cara Sarimah mengendalikan rancangan terbabit, dengan celotehnya yang bersahaja mengusik pelajar ada ketikanya, dia berjaya membuatkan penonton ketawa sendiri.

Bakatnya begitu menyerlah sehinggakan satu rancangan khas membabitkan bintang Akademi Fantasia diwujudkan Astro iaitu Fail Sulit dikendalikan Sarimah yang kemudian ditukar judul menjadi Katanya, disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.

Berasakan pengacara kelahiran Dublin, Ireland itu begitu serasi dengan Akademi Fantasia, dia sekali lagi dipilih Astro menyertai produksi rancangan sama untuk musim baru.

Lebih manis apabila pada hari jadinya, Sarimah diumumkan bukan saja mengacarakan rancangan Diari Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, tetapi juga Tirai dan Diari Ext (luaran) dan Int (dalaman).

Diari Ext dan Int memaparkan rumusan dan juga pandangan mengenai apa yang berlaku, dan juga sedutan khas yang tidak dipaparkan dalam rancangan Diari AF7.

Ditemui pada sesi fotografi khas, baru-baru ini, Sarimah bersyukur apabila produksi AF7 masih memberikan kepercayaan kepadanya dengan tanggungjawab lebih besar mengendalikan pelbagai program lain.

“Walaupun tidak mengendalikan konsert mingguan tetapi pada saya, apa yang bakal saya lakukan nanti sudah cukup untuk menghangatkan lagi ‘demam’ yang bakal melanda penonton setia rancangan itu.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, Akademi Fantasia bukan mengenai pengacaranya tetapi lebih kepada pelajar dan merekalah seharusnya diberikan tumpuan.

“Saya mahupun AC Mizal yang diberikan tanggungjawab mengendalikan konsert mingguan, ibarat orang tengah dan penyampai antara peserta dan penonton setia,” katanya.

Begitupun, kata Sarimah, dengan pelbagai perubahan bakal dilaksanakan pada musim ini, dia sendiri harus bersiap sedia bagi memastikan pelbagai elemen kejutan bakal berlaku tidak terlepas daripada pandangan penonton.

“Pelbagai gimik diatur produksi sebenarnya. Bagaimanapun, selagi ia belum bermula, banyak perkara yang dirahsiakan mereka daripada pengetahuan saya.

“Tetapi terdengar juga khabar angin kemungkinan saya akan menyampaikan Diari dalam Akademi itu sendiri dan bukan di luar seperti yang selalu dilakukan.

“Ada juga yang berkata, mereka mahu saya menyertai pelajar mengikuti segala aktiviti. Sebagai pengacara, saya hanya bersedia untuk melakukan semua itu,” katanya.

Kata pengacara yang pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada, dia bimbang apabila ada pihak beranggapan dia kini sudah berada di puncak populariti gara-gara Akademi Fantasia.

Menegaskan mengenai perkara itu, kata Sarimah, walaupun sudah lama dan pernah mengecapi kejayaan dan memenangi anugerah sebelum ini, dia masih menganggap 10 tahun pembabitan dalam industri seni sebagai tempoh pembelajaran.

“Melihat daripada senarai pengacara tetap di Astro seperti Aznil, Anita Sarawak mahupun AC Mizal sendiri, saya masih lagi baru dan saya berterima kasih kerana dapat belajar daripada mereka. Saya sendiri menyimpan impin mahu mengikut jejak langkah Aznil dan dia saya jadikan mentor,” katanya.

Terdengar juga cerita selain sibuk mengacara, Sarimah kini sibuk dengan kelas vokal sebagai persediaan untuk menghasilkan album terbaru.

Sarimah tidak menafikan perkara itu dan kini dengan kerjasama syarikat pengurusan Artites United Records and Management (AUR), dia sedang menilai lagu yang dirasakan sesuai untuk dinyanyikan.

“Atas alasan itu, saya bekerjasama dengan AUR kerana salah satu sebabnya mahu menerbitkan album. Perkara ini dilakukan atas permintaan peminat yang sering bertanya tidakkah saya mahu kembali menyanyi?

“Dalam hati tertanya, masihkah ada peminat yang mahu mendengar lagu nyanyian saya, tetapi selepas melihat buktinya apabila klip video Kini Kau Tiada sering disaksikan peminat di laman YouTube sehingga mencecah satu juta orang, membuatkan saya yakin masih ada yang menyokong dan mahu saya menyanyi,” katanya.

Begitupun, terang Sarimah, dia belum lagi menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat rakaman yang turut dinaungi Nikki dan Nubhan itu. Apa yang dilakukan sekarang masih di peringkat percubaan bagi mencari keserasian dalam menjalinkan kerjasama.



>Profil

Nama Penuh: Sarimah Ibrahim

Panggilan: Sarimah atau Kak Mah

Asal: Dublin, Ireland

Tarikh Lahir: 19 Februari 1978

Umur: 31

Keturunan: Melayu-Ireland

Tinggi: 165 cm

Berat: 50 kg

Pendidikan: A-Level

Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik

Status: Berkahwin

Suami: Amir Andrew Browning

Kerjaya: Pengacara, pelakon dan penyanyi

Filem dan Drama: Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak khas 3

Rancangan TV: The Attic Show TV2 (1996), The Disney Channel (ASTRO 1998), The RIM Chart Show NTV7 (1997), Ntv7 Kids@7 (1999), The Oreo Zone (TV3 2000), Malaysia 2020 RTM (2001), Anugerah Juara Lagu 18 (2003), Anugerah Juara Lagu 19 (2004), Galaksi TV9 (2006), Fail Sulit AF (2007), IKON Malaysia (2007), IKON Asean (2007) dan Diari Akademi Fantasia musim keenam (2008).

Pencapaian: Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (2001), Artis Baru Terbaik Anugerah Media Hiburan (1998), Pengacara Televisyen Terbaik Anugerah Skrin (2005), Artis Baru Pilihan Anugerah Era (2001).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: