KEGEMBIRAAN menerima Anugerah Karyawan Seni Teater (Pengarah) pada majlis Anugerah Seni Negara kelapan anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) di Hotel Shangrila Kuala Lumpur kelmarin, bertukar sebak apabila Fauziah Nawi, 56, terkenangkan arwah suami, bapa dan ibunya yang tidak dapat menyaksikan penganugerahan itu. |
Fauziah mula berlakon pada usia 18 tahun dan inilah anugerah tertinggi yang pernah diterimanya. Justeru tentu ibu kepada dua cahaya mata itu ingin berkongsi kejayaan dengan insan yang selama ini menjadi tunggak kejayaannya.
"Saya sedih sangat malam ini (kelmarin). Ayah, emak dan suami tak dapat tengok kejayaan ini. Anak lelaki pula ada penggambaran drama dan anak perempuan kini belajar di London. Yang datang malam ini menantu dan adik lelaki saya.
"Bagaimanapun beberapa hari sebelum menerima anugerah saya lalu di Tanah Perkuburan Ampang dan beritahu arwah saya menang anugerah. Sudah 13 tahun dia meninggal dunia. Bagaimanapun saya bekerja bukan mengharapkan anugerah sebab itu apabila terima panggilan untuk ambil anugerah ini saya terkejut. Inilah rezeki selama berpuluh tahun jadi anak seni. Terima kasih kepada kerajaan kerana nampak hasil usaha saya.
"Anugerah ini menyemarakkan lagi semangat saya untuk bergiat cergas dalam bidang teater menerusi syarikat saya, Fauziah Nawi (M) Sdn Bhd. Sebenarnya ramai lagi yang bergiat dalam bidang teater tapi mungkin mereka nampak usaha saya. Anugerah ini mewakili semua penggiat seni teater tanah air.
"Ingin sekali saya membawa anak-anak buah saya di Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) untuk meraikan kejayaan ini tetapi mereka ramai. Saya bawa balik trofi ini untuk tunjukkan kepada mereka. Tanpa anugerah pun saya akan buat yang terbaik sebab tidak pernah puas dengan apa dilakukan dan mahu menjejaki langkah mereka yang lebih hebat dalam bidang ini kerana mereka pergi sekolah teater. Saya cuma belajar daripada pengalaman," katanya.
Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mendapat Anugerah Karyawan Seni Filem (Pengarah Filem) berkata, apabila sesuatu kerja kreatif diiktiraf perjalanan kerjaya itu menjadi lebih menarik.
"Anugerah ini bukan milik saya seorang tetapi dikongsi semua yang bekerja dengan saya. Anugerah ini besar ertinya kerana julung kali Anugerah Seni Negara memberi pengiktirafan kepada karyawan filem dan pemilihan bukan kerana populariti tetapi penilaian hasil kerja. Justeru, pengiktirafan kerajaan ini datang bersama tanggungjawab yang besar.
"Saya terpaksa memotivasikan diri supaya menjadi lebih baik. Bidang teater atau filem banyak cabaran yang boleh meragut moral kita. Oleh itu kita memerlukan sokongan rakan seperjuangan dan berbincang macam mana hendak menolong satu sama lain.
"Lama juga industri perfileman menunggu pengiktirafan kerajaan namun ia masih belum terlambat dan malam ini buktinya. Pengiktirafan malam ini sangat membahagiakan," katanya.
|
Penerima Anugerah Karyawan Seni Filem (Pelakon), Rosyam Nor atau Mohamed Noor Shamsuddin, 42, berkata, dalam banyak anugerah diterima, inilah anugerah mencatat sejarah tersendiri dalam kerjayanya.
"Saya terima anugerah kerana sokongan kawan-kawan kerana kita tidak boleh melakukan semua kerja sendiri. Malam ini kejayaan untuk semua penggiat seni daripada kru hingga pelakon. Dengan pengiktirafan ini saya perlu perbaiki kiri kerana bukan saja diperhatikan masyarakat malah mereka di KPPKW dan pihak kerajaan.
"Anugerah kerajaan kepada anak seni membuktikan industri perfileman tidak selekeh, kalau tidak masakan Tan Sri Jins Shamsudin dianugerahkan Seniman Negara. Jika ada suara sumbang mengatakan beliau tidak layak menerimanya, itu orang yang tidak berpuas hati. Pun begitu sejarah sudah tercatat Anugerah Seniman Negara kelapan milik orang filem.
"Saya ingin nasihatkan anak seni supaya selalu kemas kini profil kerja kerana pemilihan Anugerah Seni Negara banyak bergantung kepada profil itu. Jangan harapkan KPKKW untuk melakukannya. Selepas ini saya boleh mengorak langkah memberi ceramah kepada pelajar sekolah dan universiti yang ingin tahu mengenai dunia lakonan kerana sudah ada pengiktirafan kerajaan," katanya.
Penerima Anugerah Bakat Muda Filem (Pelakon), Farid Kamil, 25, bersyukur kerana dapat mendapat anugerah berprestij itu.
"Saya bangga kerana menerima anugerah ini bersama insan seni veteran negara yang sekali gus dapat merasai apa yang mereka rasa. Jika tahun lalu anugerah hanya terbuka kepada seni halus, perubahan tahun ini amat membanggakan kerana turut mengiktiraf orang filem.
"Dengan perhatian yang diberikan kerajaan kepada penggiat seni ia membuka mata rakyat yang skop dunia filem luas. Saya ingin menjadi insan seni serba boleh sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip," katanya.
Pemenang Anugerah Seniman Negara kelapan, Senator Tan Sri Jins Shamsudin, 73, berkata majlis anugerah ini mampu menyatupadukan semua kaum kerana pengiktirafan itu diberikan kepada mereka yang berbakti dalam dunia seni termasuk seni halus, teater, bangsawan dan filem.
"Penganugerahan ini datang bersama tanggungjawab. Oleh itu teruskan usaha bagi memartabatkan industri filem negara supaya dapat dikenali di luar negara," katanya.
Penerima anugerah lain, Datuk Jalaludin Hassan (Anugerah Karyawan Seni Teater (Pelakon), Aziz M Osman (Anugerah Karyawan Seni Filem (Penulis Cerita Asal) dan Osman Ali (Anugerah Bakat Muda Filem (Pengarah Filem).
Anugerah Seniman Negara menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, trofi, sepasang sepersalinan lengkap baju Melayu atau baju kurung berupa sedondon songket bercorak tradisi, kemudahan perubatan percuma di wad kelas satu di hospital kerajaan, menjadi pengkarya, pencipta tamu kehormat dan pakar rujuk dalam bidangnya dan menjadi wakil Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) di seminar atau forum peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penerima Anugerah Karyawan Seni dan Anugerah Bakat Muda masing-masing mendapat RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.
Menyerikan majlis anugerah itu keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Hadir sama Menteri KPKKW, Datuk Mohd Shafie Apdal; Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Dr Muzahet Masruri; Timbalan Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Nor Azmal Mohd Nazir dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara merangkap Setiausaha Anugerah Seni Negara, Datuk Norliza Rofli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: