|
|
NING Baizura Hamzah Dalton pernah beberapa kali mencipta polemik sepanjang 16 tahun bergelumang dalam bidang seni namun perkara itu bukan sahaja memberinya satu pengalaman malah kekuatan yang mematangkan diri.
Hari ini, datanglah apa sahaja, dia sudah tahu bagaimana mahu mendepani dan mampu menanganinya setiap situasi. Malah penyanyi yang terkenal bersuara soprano itu mengakui, ketika ini, dia sedang melalui hari-harinya dengan penuh bahagia.
Ya, selepas bergelar isteri kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton, ia melengkapi kehidupannya selama ini.
Juga, biarpun kini terpaksa menguruskan sendiri urusan kerja seni selepas pembubaran Ning Associates, penyanyi yang popular dengan lagu-lagu Curiga, Ke Sayup Bintang dan Awan Yang Terpilu itu sudah semakin selesa membina kerjaya bersendirian.
Sejak bergerak di bawah pengurusan HappeNings (M) Sdn. Bhd., Oktober lalu, banyak perancangan yang telah diatur. Selain kerjaya seninya, Ning juga sedang mengusahakan beberapa projek berkaitan fesyen dan merancang menerbitkan program untuk kanak-kanak.
“Selepas tiga bulan pertama, perjalanan pengurusan syarikat semakin sistematik. Melihat kemajuan itu, saya percaya saya boleh bekerja dan berdikari. Cuma saya perlu luangkan masa untuk belajar,” kata Ning mengenai kehidupannya sebagai pengarah syarikat.
Percaya dengan kemampuan diri, Ning juga memberitahu ketika ini, pada usianya 33 tahun, dia begitu bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk membina sebuah kehidupan baru.
“Jangan takut mengejar sesuatu,” katanya dengan penuh teruja dan optimis. Sejak membina HappeNings (M) Sdn. Bhd. Banyak perancangan telah dibuat khususnya untuk jangka masa lima tahun mendatang.
Memulakan perniagaan fesyen yang menjadi minatnya sejak sekian lama, di bawah pengurusan StunNing Creations, ia akan mengeluarkan rangkaian pakaian lelaki dan wanita, juga kasut dan aksesori secara berperingkat-peringkat.
Dengan mengkhususkan untuk mengeluarkan pelbagai jenis kebaya, pakaian tradisional yang menjadi kesukaan Ning, penyanyi itu juga memilih canting batik kontemporari sebagai teras fesyen.
Buat masa ini, perniagaan pakaian kemeja batik lelaki yang menjadi kegemaran suaminya sudahpun berjalan. Menariknya, kata Ning, koleksi pakaian StunNing nanti adalah terhad dan hanya ada satu helai bagi setiap rekaan.
“Jangan takut membeli sebab harganya memang sangat berpatutan dan mampu dibeli,” tambahnya yang juga merancang untuk membuka gerai makan di sekitar Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Banyak yang perlu dipelajari sejak berdikari namun daripada perbualan dengan artis seksi berkulit eksotik ini, tidak dinafikan, banyak yang sedang dikerjakannya.
Tanpa perlu bermegah-megah dengan perancangan yang dibuat, Ning percaya, adalah lebih baik bekerja secara diam daripada memukul canang satu dunia.
“Kalau jadi, jadi, kalau tak jadi, tak apa,” ujarnya yang turut akan membuat kemunculan dalam filem KRU, Magika sebagai Puteri Gunung Ledang.
Mendidik anak-anak
Mungkin melihat orangnya, ramai berpendapat artis bernama Ning Baizura, anak kelahiran Kajang, Selangor ini seorang yang terlalu moden dan terlalu mengamalkan sikap terbuka.
Namun di sebalik kemodenan dan keterbukaannya itu, Ning memiliki jiwa halus dan prihatin terhadap masa depan generasi akan datang.
Sementelah melihatkan perkembangan program pendidikan kanak-kanak khususnya televisyen yang begitu kekurangan rancangan yang memaparkan tentang bahasa dan budaya Melayu. Sedangkan baginya, televisyen merupakan medium paling baik yang memainkan peranan penting dalam mendidik kanak-kanak. Justeru tidak hairanlah andai Ning menyimpan cita-cita untuk menerbitkan program televisyen kanak-kanak. Ning memberitahu rancangan pendidikan kanak-kanak adalah sesuatu yang diimpikan.
“Saya sukakan anak-anak. Mereka generasi kita. Sayang kalau kita tidak ajar dan terapkan mereka dengan bahasa, budaya dan ilmu,” kata pelontar suara bagi lagu kanak-kanak Learning English Is Lots Of Fun ketika usianya sembilan tahun.
Malah tegas Ning, dia mahu anak-anak generasi akan datang khususnya daripada perkahwinan campur memiliki jati diri sebagai anak Melayu. Kerana itu kata Ning, kita perlu mempunyai program- program yang khusus dan menarik bagi mendekatkan mereka dengan bahasa dan budaya nenek moyang mereka.
“Saya memikirkan masa depan. Saya akui agak ‘tersentak’ apabila melihat anak kawan saya sendiri yang berkahwin campur seperti saya dan tinggal pula di luar negara hanya menonton rancangan kanak-kanak Inggeris.
“Kalau saya ada anak, saya tak mahu begitu. Saya tak mahu mereka setakat pandai berbahasa Inggeris sahaja tetapi ingin mereka pandai berbahasa Melayu dan tahu cerita-cerita rakyat kita. Menyelami akar budaya bangsanya sendiri. Tak kira di mana mereka berada.
“Tapi saya terfikir, siapa nak ajar bahasa, budaya kita kepada mereka? Dan saya merasakan televisyen atau pemain cakera padat misalnya adalah terbaik untuk mendekatkan mereka dengan jati diri Melayu itu.
“Mungkin anak-anak boleh diberi pendedahan melalui program televisyen. Masalahnya kita kekurangan program pendidikan kanak- kanak,” jelasnya.
Menurut Ning, dia juga merasakan sudah tiba masanya dia memberi semula dan menyumbang kepada masyarakat yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya untuk berjaya seperti hari ini.
Berkira-kira untuk menerbitkan pelbagai program khusus untuk kanak-kanak dalam tempoh masa terdekat ini, Ning memberitahu sudah mula mengambil berat selok belok penerbitan dan kerja-kerja di belakang tabir.
Mula belajar dan mencari pengalaman di belakang kamera dan bidang penerbitan apabila menjadi penerbit bersama program Zoom In yang dihoskan di RTM pada 4 Januari lalu.
Selain perancangan menerbitkan program televisyen kanak-kanak, Ning juga aktif dengan kerja amal namun hanya mahu terlibat dengan satu badan agar dapat menumpukan sepenuh perhatian mengutip dana untuk kanak-kanak dan orang penghidap kanser yang disertainya.
“Saya tidak mahu terlalu mengejar. Saya percaya kepada mengerjakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Seperti badan amal ini, biarlah saya tumpukan perhatian memberi kebajikan kepada satu badan sahaja,” tegasnya.
Hala tuju Ning
Dalam sibuk merancang masa depan syarikatnya, Ning juga tidak ketinggalan menyiapkan kerja-kerja rakaman untuk album terbaru yang bakal dipasarkan Jun ini. Seperti tajuk singlenya, Embunan Bersinar dan Mimpi, Ning juga mengharapkan sinar dan mimpi indah buat album yang sedang dalam pembikinan itu.
Malah mengharapkan dapat menyajikan satu persembahan istimewa dalam satu konsert buat peminat setianya.
“Namun itu semua masih dalam perancangan. Yang pasti, apa yang sedang saya jalani kini adalah menjadi jurulatih vokal bagi 12 peserta One In A Million musim ketiga (OIAM3),” jelasnya.
Menjadi mentor vokal sebelum para peserta bersaing sesama sendiri di pentas yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen, Ning bersama 12 peserta OIAM3 menjalani latihan intensif selama sebulan.
Dikenali sebagai seorang yang tegas malah sedikit garang, Ning memberitahu menjadikan pengalamannya sebagai artis untuk mengajar peserta.
Meluangkan waktu selama empat jam bagi enam penyertaan pada setiap sesi, Ning mahu menjadi inspirasi kepada peserta program realiti terbitan 8TV itu.
Teruja untuk menyaksikan hasil didikannya itu, ujar Ning, untuk menjadi peserta yang baik, mereka harus mencari suara mereka sendiri. Dan jika peserta berjaya menemuinya, kata Ning, ‘itulah kebahagiaan sebenar menjadi seorang mentor.’
Dan bagi dirinya, kebahagiaan sebenar sebagai Ning Baizura adalah rentak-rentak kehidupannya yang sempurna bersama suaminya, Omar Sharif.
Selepas menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 31 Januari lalu, Ning mengakui dirinya kini sudah bersedia melengkapkan alam rumah tangga dengan kehadiran cahaya mata.
“Ya... Saya sekarang memang begitu teringin menimang anak,” katanya sambil tersenyum penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: