Sunday, February 22, 2009

Haliza Misbun “Digugurkan? Itu tuduhan”

Kecoh apabila ada desas-desus yang bertiup mengatakan pelakon Haliza Misbun, 36, buat hal lagi. Hal apa? Dia didakwa digugurkan daripada membintangi sebuah drama terbitan syarikat produksi ternama gara-gara masalah disiplin.



Haliza dikatakan tidak datang ke lokasi penggambaran sehingga menyebabkan produser syarikat tersebut terpaksa menyingkirkan namanya dan digantikan dengan orang lain. Sebelum ini sudah ada pelbagai tanggapan buruk terhadap Haliza kononnya dia sering menimbulkan masalah.

Dia turut dituduh tidak menegur pelakon lain, mengamuk tak tentu fasal yang mengakibatkan suasana di set penggambaran menjadi tidak ceria.

Ada yang berkata, Haliza seperti nak tunjuk hebat walaupun diakui dia seorang pelakon yang serba boleh. Petang Selasa lalu saya menghubungi Haliza untuk meminta beliau tolong jawab masalah yang dikaitkan dengannya itu.

Haliza yang sedang sibuk dengan proses suntingan dokumentari Jejak Kasih yang akan disiarkan

di RTM Mac ini mempunyai jawapannya.

“Macam mana orang boleh kata saya digugurkan kerana saya tidak pernah menandatangani apa-apa kontrak sebelum ini,” katanya dengan nada serius. Beliau turut menolak dakwaan bermasam muka dengan pelakon lain.

Kata Haliza, sudah menjadi kebiasaan, ketika di set penggambaran beliau lebih senang membaca buku sementara menunggu gilirannya daripada sibuk bercerita perkara yang tidak berfaedah. Ikuti pengakuan Haliza kepada saya, NIEZAM ABDULLAH.

Apa yang Liza buat sekarang ni?

Saya di studio. Tengah menyunting Jejak Kasih. Ada enam episod yang tak siap lagi. Siang malam, kira sibuk dengan projek inilah untuk RTM. Ada apa ni bang? Macam ada benda penting saja?

Penting juga fasal Liza?

Fasal apa? Ada benda tak elok ke orang cakap tentang saya ni?

Lebih baik la tanya Liza terus. Betulkah Liza digugurkan oleh satu syarikat produksi drama baru-baru ni?

Gugur? Kenapa dia orang nak gugurkan saya?

Yalah, alasannya Liza tak ada disiplin. Sebab tu dia orang gugurkan Liza dan ganti dengan orang lain?

Saya tak berminat nak komen benda-benda ini. Saya nak tanya sekarang macam mana nama saya kena gugur kalau saya tak sign apa-apa kontrak dengan syarikat tu? Tak timbul isu gugur atau tak? Saya tak terima satu sen pun bayaran daripada produser. Jadi secara umumnya tidak timbul masalah ini.

Tak ada perjanjian? Maksudnya?

Yalah... selalunya sebelum saya ambil apa-apa projek berlakon, mesti ada black and white. Kalau tak ada apa-apa perjanjian, seseorang itu tak boleh nak dakwa saya digugurkan. Itu saja. Saya minta abang tak sebut nama mana-mana produksi ya. Saya bercakap ni secara umum dan tak tuju kepada sesiapa.

Biasanya macam mana prosedur kalau nak undang Liza berlakon dalam sesebuah produksi tu?

Selalunya sebelum terima sesuatu tawaran tu saya akan tengok skrip dulu sama ada sesuai atau tak? Lepas tu baru saya akan bersetuju dan akan sign kontrak.

Dengan produksi yang dikatakan tu tak sign apa-apalah maknanya?

Tak adalah. Jika saya sign kontrak, barulah ada asas kalau sesebuah produksi itu nak mendakwa mereka gugurkan saya. Kalau tak ada apa-apa perjanjian, mereka tak boleh kata begitu. Ia tuduhan.

Soal bayaran pula macam mana? Liza agak berkira?

Saya tak nak hipokrit. Soal bayaran bagi saya memang penting. Selalunya lepas tengok skrip saya akan bincang mengenai bayaran.

Mahal atau tidak harga seorang Haliza Misbun untuk sesebuah drama?

Ya... saya perlu dibayar mahal. Sesuai dengan kebolehan saya. Kena tengok macam ni. Saya terima sesuatu watak, saya akan lakonkan watak itu dengan penuh perasaan. Saya bukan seorang pelakon yang kerjanya hafal dialog saja. Saya ni ibaratnya akan “mimpi”, “makan”, “minum” dengan watak tu. Hasilnya nanti memuaskan. Tentulah bayaran yang setimpal perlu diberi kepada saya.

Mungkin sebab tu orang takut nak tawarkan watak pada Liza. Dan akhirnya timbul macam-macam tuduhan yang bukan-bukan. Apa komen Liza?

Mereka yang macam tu, tak faham apa itu lakonan. Sebab tu dia orang takut. Lakonan yang baik bukan menghafal skrip tetapi menjiwai watak itu. Sesetengah produser tu anggap saya ni mahal sebab pelakon macam saya ni amalkan peraturan tertentu dalam lakonan. Saya tak nafikan saya ni memang mahal.

Apa masalah Liza di lokasi. Banyak buat masalah orang kata?

Selalunya sementara tunggu giliran untuk masuk set penggambaran, saya akan lepak di dalam kereta. Saya akan baca buku. Sesetengah orang tu suka bergaul, dengar lagu dan macam-macam lagi tapi saya suka membaca. Selalunya banyak benda saya fikirkan. Tak ada masa nak bergosip.

Mungkin kerana itu orang kata Liza sombong? Tak bergaul!

Salahkah saya membaca, orang nak cop saya ni sombong? Saya rasa ia tak salah. Takkan nak tuduh saya ni macam orang lain pula kot? Saya bukan macam tu! Dari dulu pun saya memang orang yang kuat membaca terutama buku-buku falsafah, sejarah dan Bahasa Inggeris.

Bagaimana pula dengan lelaki? Sejak dari dulu macam-macam gosip percintaan Liza. Kejap dengan mat salih, dengan artis Indonesia dan macam-macam lagi. Saja nak cari publisiti murah ke sebab sampai hari ni tak kahwin-kahwin lagi?

Terus terang saya katakan yang sekarang ni saya single. Saya mengaku banyak berkawan terutama dengan orang Eropah. Mungkin tak ada jodoh. Bukan memilih tetapi saya anggap perpisahan itu kadang-kadang lebih bagus. Tetapi bila tanya saya nak ke tak kahwin hari ni, saya akan kata tak nak. Bukan masanya lagi. Saya nak berseorangan dulu.

Adakah Liza mahu lelaki tu ikut telunjuk Liza? Sebab tu susah nak kahwin?

Kalau seseorang lelaki tu nak bersama dengan saya, dia kena faham dan boleh terima saya. Mudah saja. Kalau tak boleh terima, hubungan tu tak boleh nak teruskanlah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: