![]() |
| ERMA Fatima sebagai pengarah dan penerbit teater muzikal Sirah Junjungan. |
TAHUN lalu, Erma Fatima berdepan dengan dugaan yang cukup hebat sehingga hampir membuatkan dirinya berputus asa untuk meneruskan perjuangan seninya.
Bermula dengan pemergian bapanya, Rahmad Ali ke Rahmatullah dan dia kemudian dihambat dengan kerenah birokrasi syarikat swasta dan korporat yang enggan menaja teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan di Istana Budaya (IB).
Namun, mengenali empunya nama penuh Fatimah Rahmad ini, dia bukanlah seorang yang mudah mengalah.
Apa sahaja demi kebaikan, dia akan meneruskan niatnya itu walaupun tidak mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.
Seperti mana tahun lalu, kali ini, hati Erma sekali lagi diuji.
Masakan tidak, selaku pengarah dan penerbit Sirah Junjungan untuk musim kedua, dia sekali lagi terpaksa 'mengemis' kepada pihak swasta dan syarikat korporat untuk mendapatkan penajaan.
Bayangkan, 40 buah kertas kerja sudah dihantarnya tetapi malangnya, hingga kini, masih lagi tiada jawapannya yang diterimanya.
Sedangkan, Sirah Junjungan yang diterbitkan di bawah Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia itu bukanlah sebuah teater muzikal yang biasa kerana ia merupakan sebuah karya yang menceritakan tentang kisah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
Jelas Erma, dia kini hanya bergantung nasib kepada penjualan tiket untuk membayar keringat dan penat lelah pelakonnya yang terlibat dalam pementasan ini.
"Memang saya sedih dan kecewa apabila sekali lagi berdepan dengan masalah yang sama. Sayang seribu kali sayang, demi sebuah karya yang sebegini, sekali lagi ia dipandang sepi. Saya sendiri tidak faham dengan sikap orang kita.
"Kalau ikutkan, memang saya mahu menarik diri daripada meneruskan teater ini, tetapi hasil sokongan mereka yang menjadi tulang belakang saya selama ini, saya teruskan juga walaupun tanpa sebarang penajaan," luah Erma penuh kecewa pada sidang media teater muzikal berkenaan di Restoran Al-Andalus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun, kesedihan Erma terubat apabila tetamu kehormat pada sidang media itu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyatakan kesudiannya untuk membeli separuh daripada tiket pementasan Sirah Junjungan atas nama TH Plantations Bhd. (THP).
Kata Erma, dia begitu bersyukur dengan penglibatan pihak-pihak seperti IB yang sanggup membantunya dari semua segi serta disokong sepenuhnya oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
"Disebabkan itu, saya begitu bersemangat untuk meneruskan Sirah Junjungan ini kerana adanya pihak seperti mereka yang menyokong perjuangan saya ini.
"Malah, mereka juga menyatakan kekaguman terhadap apa yang saya lakukan ini kerana belum pernah teater muzikal Islamik dipentaskan di IB," jelasnya penuh optimis.
Jika tahun lalu, Sirah Junjungan hanya dipentaskan selama tiga hari sahaja, namun, untuk musim kedua ini, pementasannya akan berlangsung selama dua minggu bermula 9 Mac depan.
Ini kerana, kata Erma, dia mahu memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton kisah Nabi Muhammad dalam medium yang berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
Selain itu juga, penyandang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali itu juga mengakui dengan penambahan tiga lagi artis ternama negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy dan Mawi merupakan strategi untuk menarik perhatian penonton.
Musim pertama, Sirah Junjungan menyaksikan Raja Pop negara, Jamal Abdillah terlibat sebagai penyanyi undangan dan penyanyi tersohor itu juga akan kembali sekali lagi untuk musim ini.
"Saya mahu peminat keempat-empat artis ini melihat sisi lain penyanyi pujaan mereka. Jika sebelum ini, peminat mereka dihidangkan dengan lagu-lagu pop, apa salahnya kali ini, mereka menyaksikan penyanyi kesayangan mereka melagukan lagu-lagu berunsurkan keislaman dan kesemua mereka akan membawakan lima buah lagu," ujar isteri kepada pengarah filem terkenal, Badaruddin Azmi ini lagi.
Selain itu, Sirah Junjungan juga masih mengekalkan barisan pelakon yang sama antaranya Ahmad Yatim yang membawakan watak Abu Talib, Aman Graseka (Usman), Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf), Jessie Lim (Najdi, Abrahah dan Washi) serta Mazlan Tahir selaku pencerita dan penyumbang suara untuk watak Muhammad.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: