Friday, February 13, 2009

Rezeki Acis selepas balik haji


KEMANTAPAN barisan tenaga pengajar baru dan lama yang dijangka bakal mengembalikan semula populariti dan prestij AF (dari kiri), Syafi, Fatimah Abu Bakar, Ida Nerina, AC Mizal, Sarimah Ibrahim, Siti Hajar, Acis dan Aris Kadir.


MELIHATKAN kredibilitinya sebagai salah seorang pengarah muzik yang berdiri atas landasannya yang tersendiri, memang tepat sekali pilihan Astro memilihnya untuk menggalas tanggungjawab itu untuk Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali dengan panggilan Acis mempunyai sentuhannya yang tersendiri apabila berbicara tentang muzik. Maklumlah, sudah 22 tahun terlibat dalam industri muzik tempatan.

Pernah mengiringi nama-nama besar dalam industri hiburan antaranya Dayang Nurfaizah, Zainal Abidin, Ramli Sarip dan sudah pasti, isteri tercinta, Datuk Sheila Majid, ternyata kemampuan Acis tidak perlu dipertikaikan lagi.

Lebih selesa hanya terlibat sebagai belakang tabir, Acis sememangnya tidak pernah menyangka sama sekali dirinya akan terpilih sebagai salah seorang muka baru untuk mengemudikan AF7.

Malah, Acis memberitahu, dia agak gementar untuk berdepan dengan khalayak dan pihak media memandangkan selama ini, dia hanya terlibat sebagai pemain dan pengarah muzik sahaja dan agak jarang muncul di media.

Apa yang pasti, satu janji Acis untuk AF7 apabila dia akan menampilkan susunan muzik yang lebih segar dan bertenaga seiring dengan kemampuan pelajar AF7 kelak.

Bukan itu sahaja, pada setiap konsert mingguan nanti, Acis akan menampilkan muzik yang akan dimainkan secara live oleh lima orang pemuzik hebat dan terbaik yang akan mengiringi persembahan setiap pelajar.

"Itu salah satu yang membuatkan saya teruja dan untuk AF7 kerana ia mampu membangkitkan satu aura dan semangat yang cukup berbeza seperti mana yang dapat kita saksikan dalam American Idol.

"Muzik yang dimainkan secara live, bunyinya kedengaran lebih sedap dan bertenaga.

"Saya sedar tanggungjawab ini sememangnya agak berat untuk saya galas namun, kepercayaan yang diberikan oleh pihak Astro, saya yakin saya akan membuat yang terbaik untuk AF7," kata Acis kepada wartawan pada sidang media dan pelancaran AF7 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, petang Selasa lalu.

Bapa kepada dua orang cahaya mata ini juga memberitahu, dia menerima tawaran daripada pihak Astro ketika dia berada di Madinah sewaktu menunaikan fardu haji.

Malah, kata Acis lagi, Astro pernah melamarnya untuk jawatan itu sewaktu AF6 baru hendak bermula.

"Mereka mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya dengan mengatakan ada hajat besar untuk diberikan kepada saya. Tetapi, saya tidak menyangka pula tawarannya adalah untuk menjadi pengarah muzik AF7," katanya menguntum senyum.

Bukan untuk menyamakan dirinya dengan bekas pengarah muzik yang pernah terlibat dengan AF sebelum ini mahupun merasakan dirinya hebat, tetapi misi graduan Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat ini adalah untuk memberikan sesuatu yang baru menerusi AF7.

"Saya mempunyai cara yang tersendiri dan mereka yang sebelum ini pun sudah membuktikan bahawa mereka telah memberikan yang terbaik untuk AF. Kehadiran saya hanyalah untuk menyambung kesinambungan mereka," katanya optimis.

Tambahnya lagi, dia akan mencuba sedaya upaya menyusun muzik untuk setiap lagu tugasan para pelajar kelak mengikut standard dan kemampuan mereka.

"Muzik yang akan disediakan nanti merupakan muzik yang senang dan ringkas kerana kita tahu mereka merupakan amatur. Tetapi, kalau muzik sebegitu pun mereka mempunyai masalah nanti untuk menyanyikannya, saya tidak boleh berkata apa," katanya.

Bukan itu sahaja, malah Acis juga sudah bersedia untuk menerima kritikan.

"Falsafah saya begitu mudah. Kalau mahu hasil yang terbaik, persembahan yang seterusnya seharusnya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya," jelasnya ringkas.

Jika Acis sudah dipilih sebagai pengarah muzik AF7, adakah ini bermakna Sheila akan dilantik menjadi pengetua AF7 yang kini sedang hangat diperkatakan ramai?

Menjawab soalan itu, Acis memberitahu dengan jujur, dia tidak tahu menahu tentang tawaran itu kepada isterinya.

"Jika mahukan kebenarannya, bolehlah bertanyakan sendiri kepada Sheila dan pengurusannya. Memang saya tidak pernah dengar sebelum ini namanya bakal menjadi pengetua AF7.

"Tawaran menjadi pengarah muzik datang kepada saya dahulu dan apa yang saya harapkan selepas ini, orang tidak lagi mengatakan saya sering dibayangi Sheila. AF7 juga merupakan pentas untuk membuktikan saya mampu berdiri sendiri," ujarnya penuh makna.

Selain Acis, dua muka baru lain yang akan mencurahkan ilmu dan bakat mereka adalah pelakon tersohor, Ida Nerina yang akan menggalas tanggungjawab sebagai guru seni persembahan dan lakonan.

Bukan itu sahaja, selama enam musim menjadi guru koreografi, nama Linda Jasmine kini bukan lagi menjadi pilihan dan tempatnya itu telah digantikan oleh Aris Kadir yang juga merupakan seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang tarian dan teater.

Tiga muka lama yang mempertahankan portfolio mereka sebagai tenaga pengajar adalah Siti Hajar Ismail yang dilantik sebagai guru vokal teknikal, Syafizawati Sharif (guru persembahan vokal) dan Fatimah Abu Bakar (guru motivasi dan bahasa Inggeris).

Menjelaskan perihal ini, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul memberitahu, transformasi ini diharapkan dapat meletakkan AF7 ke standard yang lebih tinggi.

"Kami mengambil semua kriteria, kritikan dan maklum balas semua pihak untuk kami perbaiki dan menjadikan AF kali ini lebih baik. Masing-masing mempunyai kredibiliti yang cukup tinggi dalam bidang masing-masing. Kami percaya dengan gandingan muka lama dan baru ini mampu memberikan sinar baru untuk AF7," katanya.

Diminta mengulas tentang khabar angin yang bertiup kencang mengenai Sheila yang akan menduduki kerusi pengetua AF7, Khairul tetap dengan pendiriannya untuk mengunci rapat mulutnya.

"Buat masa ini, kami masih lagi sedang berbincang dengan beberapa orang calon dan banyak kriteria yang perlu diambil kira sebelum kami membuat keputusan. Tunggulah masanya nanti dan semua akan tahu siapakah pilihan kami untuk jawatan itu," jelasnya sambil memberitahu sidang media pengumuman itu akan diadakan pada 10 Mac depan.

Manakala, pengumuman bagi pelajar yang berjaya melangkah masuk ke AF7 pula akan dibuat pada 3 Mac.

Sementara itu, AC Mizal dan Sarimah Ibrahim masih lagi mengekalkan kedudukan mereka sebagai pengacara konsert mingguan serta hos untuk program Diari AF dan Diari INT AF.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: