Friday, February 13, 2009

Bual Produksi: Cari ilham di London


RAJA Maliq dan Zahim dengan set berbentuk rumah.

Sebanyak 60 peratus perubahan dapat dilihat pada set pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang

DIANGGARKAN sebanyak 60 peratus perubahan dapat dilihat dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang bagi musim ketiga yang mula dipentaskan sejak 6 Februari lalu dan akan berakhir 22 Februari ini.

Biarpun pementasan sebelum ini dilihat berjaya menarik orang ramai mengenali dunia teater komersial namun perubahan yang dilakukan turut mengambil kira komen penonton yang pernah menontonnya sebelum ini.

Dalam masa yang sama ia masih mengekalkan keaslian naskhah yang ditulis penulis skrip dan lirik, Adlin Aman Ramlie.

Pengarahnya, Datuk Zahim Albakri berkata, perubahan yang dilakukan selepas menyaksikan beberapa teater Inggeris di London tahun lalu.

“Idea untuk mengubah beberapa aspek diilhamkan sendiri oleh Datin Seri Tiara Jacquelina terutama pada babak penutup yang ingin dilihat kontra daripada sebelum ini.

KREATIVITI rekaan set antara tarikan utama dalam PGL.

“Selepas menonton beberapa teater Inggeris tahun lalu di London terutama teater Zorro dan Wicked idea itu lahir untuk memberi kelainan yang pada pementasan musim ini.

“Bagaimanapun, idea yang dihasilkan pada pementasan ini adalah idea asli yang tidak sedikitpun mengambil daripada teater itu,” katanya yang ditemui sebelum pementasan berlangsung baru-baru ini.

Dalam setiap pementasan yang dijalankan, menangani segala cabaran adalah aspek utama sama ada ia berjaya atau tidak.

“Cabaran tetap harus ditempuhi walau apa sekali pun. Pementasan kali ini memang besar cabarannya lebih-lebih lagi keberanian melakukan perubahan yang cukup banyak. Pada mulanya saya agak bimbang selepas mengambil keputusan merombak hampir separuh daripada pementasan sebelum ini.

KAPAL antara set baru yang diwujudkan khusus untuk teater muzikal Puteri Gunung Ledang musim ketiga.

“Antara cabaran yang besar adalah melihat reaksi penonton terutama yang pernah menonton pementasan PGL sebelum ini. Saya cukup bimbang dengan reaksi penonton kerana perubahan itu dibimbangi tidak disenangi mereka.

“Namun selepas mendapat reaksi positif beberapa hari pementasan berlangsung, kebimbangan itu tiada lagi malah cukup berbangga apabila PGL musim ini mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada jangkaan kita,” katanya yang pernah didatangi penonton yang sudah menonton sebanyak 13 pementasan PGL.

Sementara itu, Zahim yang kini sedang dalam proses perbincangan untuk mementaskan sebuah lagi teater muzikal bertaraf antarabangsa untuk tahun 2010 berhasrat untuk tidak mahu berhenti sebaik PGL berakhir.

Menurutnya, teater muzikal yang masih lagi mengangkat budaya ketimuran turut memilih seorang tokoh yang cukup disanjung suatu masa lalu dijadikan sebagai subjek utama penceritaan.

“Semuanya masih di peringkat awal dan ini adalah perancangan kami selepas melihat beberapa teater dari luar negara. Diakui teater inggeris yang dilihat banyak menjadi pencetus idea terutamanya dari segi teknikal yang mengagumkan,” katanya.

Set kapal, hutan mampu bangkitkan mood penonton

PEREKA Set, Raja Maliq Raja Mohamad Iskandar berkata, musim ketiga PGL dilihat lebih memberi cabaran buatnya memandangkan perubahan yang ketara membabitkan bahagian yang dikendalikannya.

“Antara yang dilihat ketara mengalami perubahan adalah bahagian saya di mana jika musim sebelum ini hanya lapan set saja digunakan namun ditambah sebanyak 12 lagi set menjadikan semuanya 20 set.

“Antara set yang ditambah untuk meningkatkan mood pelakon dan penonton adalah seperti kapal, hutan, kerawang, pentas tarian, menara jati, panel penghadang, stupa, latar ilusi tiga dimensi dan beberapa lagi.

“Selain itu penambahan elemen muzik yang dikendalikan pengarah muzik, Roslan Aziz lebih segar ditambah dengan permainan pencahayaan yang dramatik dan pembaharuan kostum turut mendapat perubahan.

“Semua yang mengalami perubahan ini selepas mendapat beberapa komen orang ramai yang pernah menontonnya sebelum ini. Apa yang membanggakan saya adalah melihat penonton tersenyum apabila keluar dari panggung. Ia cukup memuaskan saya,” katanya.

Sepanjang 13 tahun terbabit di dalam kerja di belakang pentas, Raja Maliq yang mengakui belum pernah menonton teater yang dikendalikannya di hadapan pentas bersama penonton mengaku puas dengan kerjayanya.

“Jika bertanya mengenai kepuasan, saya mengakui sepanjang tiga musim mengendalikan PGL ini saya mendapat kepuasan tersendiri.

“Jika musim pertama saya puas kerana buat pertama kali teater PGL dipentaskan memberi satu perubahan baru buat industri teater kita. Musim kedua kepuasannya berbeza apabila orang ramai mula mengetahui kekuatan teater ini dengan dapat melakukan beberapa pembaikan.

“Musim ketiga turut puas apabila segala komen sebelum ini kita atasi dengan baik ditambah pembaharuan lebih banyak set yang bertujuan menaikkan semangat pelakon dan penonton,” katanya.

Info PGL

  • 60 peratus mengalami perubahan daripada keseluruhan pementasan musim ini.

  • 20 set digunakan untuk pementasan musim ini.

  • 27 transfomers digunakan untuk menggerakkan set.

  • 20 adegan dan 2 babak yang dipaparkan sepanjang 2 jam 30 minit berlangsung.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: