Thursday, February 5, 2009

Mas sanggup bersaing


SEBELUM mengenali dunia lakonan, Mas Muharni, 23, tidak begitu yakin potensinya untuk mengembangkan bakat dalam lapangan seni itu.

Apatah lagi gadis yang diperkenalkan di layar perak menerusi filem Wayang arahan Prof Dr Hatta Azad Khan, bergiat aktif dalam bidang tarian sebelum ini.

Mas atau nama sebenarnya, Mas Nor Muharni Shaeikhah Mohd Sattar dan dilahirkan di Sungai Petani, Kedah mula membabitkan diri dalam bidang tarian sejak kanak-kanak.

Malah penuntut Ijazah Seni Persembahan dan Seni Lakonan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah bernaung di bawah kumpulan kebudayaan Petronas dan kerap memenuhi undangan persembahan di RTM.

Selepas tampil dengan watak gadis sengau dalam Wayang, Mas mula mendapat perhatian ramai. Paling ketara bakatnya turut dihidu MIG Production Sdn Bhd yang melamarnya membintangi filem komedi seram, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) seterusnya penampilan dalam drama bersiri 13 episod, Jangan Pandang Belakang (JBP) untuk siaran RTM.

Mas berkata, sebelum ini dia langsung tidak menaruh harapan dalam dunia lakonan tetapi rezeki mungkin berpihak kepadanya selepas muncul di layar perak. Malah dia sendiri tidak pernah selektif mengenai watak lakonan ditawarkan.

"Saya sentiasa mahu menerima apa-apa tawaran jika berasakan mampu membawa karakter berkenaan. Biarpun filem Wayang dikatakan kurang mendapat sambutan, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian itu sekali gus memperkenalkan saya dalam bidang seni.

"Selepas Wayang, saya bersyukur kerana pihak MIG memberi peluang dan mengambil saya sebagai artis mereka. Saya diberi peluang membawa watak Wawa kekasih kepada Asmat (Cat Farish) untuk filem JPBC seterusnya penampilan pertama dalam drama bersiri JPB sebagai Nor.

"Pada mulanya saya memang tidak pernah meletak sasaran untuk membabitkan diri dalam bidang lakonan. Bagaimanapun, selepas mendapat nasihat dan bimbingan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo dan rakan akhirnya saya bersetuju menyahut cabaran. Jika tidak berlakon mungkin saya akan menjadi penari sekarang ini," katanya.

Membabitkan diri dalam lakonan bukan mudah sebaliknya Mas sendiri mengakui perlu bekerja keras untuk bersaing dengan bakat baru dan sedia ada seterusnya melakar kejayaan dalam bidang seni.



Mengulas watak Nor dalam drama JPB arahan Abdul Azizi Awang Ghazali, penampilannya agak agresif dan ceria. Dia berdepan kemelut untuk mempercayai hal tahyul dan terlalu takut pada gangguan benda halus.



Di samping Mas turut membintangi drama itu ialah Ashraff Muslim, Sharifah Shahora, Aznah Hamid, Wan Hanifisu, Almy Nadia dan Ezany Nizariff.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: