Thursday, February 5, 2009

Aznil seram, sejuk hadap Tuanku


DIRINYA bukan saja diiktiraf sebagai popular malah kehadirannya mendapat perhatian dengan pelbagai penghargaan. Terbaru, Aznil Nawawi, 45, menerima anugerah Bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW) sempena sambutan Hari Wilayah, Isnin lalu.

Bagi Aznil, anugerah itu dianggap antara perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya. Membanggakan, bekas pengacara Akademi Fantasia itu menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin di Balai Rong Seri, Istana Negara.

Katanya, penganugerahan itu memberi pengertian besar buat warga seni apabila ia diberikan kepada pengacara televisyen sepertinya.

"Sebelum ini orang tidak nampak sumbangan pengacara televisyen tetapi sekarang berbeza apabila kerjaya ini turut diiktiraf dan penggiatnya mula mendapat perhatian dan diberikan penghargaan.

"Selama 16 tahun membabitkan diri dalam bidang pengacaraan, rasanya ini antara pengiktirafan tertinggi diperoleh di samping kejayaan lain.

"Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memberikan anugerah ini dan sudah tentu ia dijadikan pembakar semangat untuk saya memberikan hasil kerja lebih bermutu setaraf dengan anugerah diberikan," katanya.

Selain itu, kata Aznil sebagai anak jati Kuala Lumpur, dia berbangga dengan anugerah terbabit. Apapun katanya, ia juga membuatkan dirinya harus melakukan lebih lagi terhadap kerjayanya mahupun peribadi.

"Orang mungkin melihat saya sebagai idola, jadi cabaran perlu digalas cukup besar," katanya.

Menceritakan mengenai anugerah diterima jelas Aznil, pihak Kerajaan Pusat menghubunginya memberitahu mengenai anugerah diberikan.

"Katanya, mereka sudah menghantar surat pada 17 Disember lalu dan ia dihantar di Astro. Masalahnya saya tidak menerimanya sehinggalah mereka menghubungi saya sendiri. Saya terperanjat dan tergamam apabila diberitahu dan dalam waktu sama sangat terharu.



"Sewaktu menerima anugerah ini, saya berdebar memandangkan inilah kali pertama saya masuk Istana Negara dan mengadap Tuanku untuk menerima penganugerahan ini.



"Sewaktu raptai penuh diadakan tidaklah saya berasa kalut sangat, tetapi apabila Tuanku ada di depan mata, terasa badan seram sejuk," katanya menceritakan pengalaman dilalui sewaktu menerima anugerah terbabit.

Aznil turut menjelaskan sejak pulang daripada mengerjakan ibadat Haji, rezekinya semakin murah. Malah selain menerima anugerah Bintang Johan Mahkota Wilayah (JMW), pada Disember lalu dia turut dicalonkan dalam kategori Pengacara Terbaik di majlis Anugerah Televisyen Asia yang berlangsung di Singapura.

"Hanya saya dan seorang lagi calon disenaraikan dalam kategori itu. Pada saya itu juga satu kejayaan besar. Saya menganggapnya ia doa yang dimakbulkan Tuhan. Selain itu, dalam waktu sama saya percaya peminat selalu mendoakan kejayaan saya.

"Terima kasih saya ucapkan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bagi sepanjang 16 tahun pembabitan saya dalam bidang ini," katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: