LUAHAN perasaan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Brother Muslim. |
Suara kecewa, kesal dan sedih warga seni terus bergema
NUN jauh beribu batu di sana, ada kanak-kanak sedang meratap hiba. Ditinggalkan orang tersayang, hidup sebatang kara, kebuluran gara-gara kekejaman rejim Zionis.
Di sebalik timbunan batu yang runtuh, saudara seagama kita terbujur kaku hanya kerana mempertahan maruah dan negara mereka.
Disogokkan dengan berita menyayat hati seperti itu sama ada di media cetak atau elektronik, sebagai insan yang masih lagi mempunyai perasaan kemanusiaan dan belas ihsan, pasti tersentuh juga hati nurani.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang hidupnya lebih bertuah kerana berada di sebuah negara yang aman dan makmur, tidak salah jika kita dapat menghulurkan sumbangan yang termampu.
Malam Untukmu Palestin anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) malam Khamis lalu menjadi bukti bahawa masyarakat seni turut sama-sama berkongsi kesedihan yang ditanggung golongan itu.
ANTARA tetamu yang hadir memberikan sokongan. |
Biarpun hujan lebat beberapa jam sebelum acara bermula, perkarangan Ikim yang terletak di Langgak Tunku di ibu negara menjadi saksi apabila hampir 1,000 peminat seni dan mereka yang bencikan Yahudi itu berhimpun memberikan sokongan.
Ia membuktikan betapa komitednya golongan ini untuk membawa orang ramai menanamkan nilai kasih, sayang dan simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Melalui medium seni, artis dan sasterawan diundang bagi menjayakan majlis itu.
Dengan semangat yang kental, mereka mengalunkan ketegasan suara bagi menyampaikan mesej iaitu kekejaman haruslah dihentikan.
Dimulakan dengan menayangkan visual bumi Palestin dan sejarah di sebaliknya, perasaan penonton semakin dibuai sayu sebalik saja wajah insan yang tidak berdosa meratapi mereka yang tiada.
HAFIZ meluahkan perasaan kecewanya menerusi lagu Bilakan Damai. |
Nyata, kekejaman semakin bermaharajalela dan kuasa besar menjadi tiket untuk mereka melakukan apa saja.
Persembahan diteruskan dengan nyanyian Bilakan Damai yang disampaikan oleh Hafiz Hamidun. Lagu yang menjadi sekuel kepada lagu Damai Yang Hilang nyanyian kumpulan Nowseeheart ini antara lain liriknya mengharapkan bilakah bumi akan damai dan tidak lagi dihantui kekejaman.
Laungan kedamaian itu diteruskan dengan deklamasi sajak oleh penyair terkenal, Dr Lim Swee Tin yang membacakan puisi berjudul Api Zionis. Nyata, perbezaan agama dan kepercayaan bukanlah penghalang untuk penyajak ini turut serta dalam acara amal ini. Malahan, ini bukan kali pertama Lim hadir membacakan puisi protes seperti ini apabila turut muncul dalam acara Malam Demimu Palestin di Istana Budaya dua minggu lalu.
Turut sama mengambil bahagian adalah kumpulan Inteam yang menyampaikan lagu Untukmu Palestin, wakil dari Islamic Relief Malaysia (IRM), Iskandarshah Ismail yang membacakan warkah terjemahan dari wakil petugas badan itu di Palestin, pertunjukan pentomim oleh pelajar Universiti Sains Islam Malaysia yang berjudul Air Mata Palestin, luahan rasa berjudul Gaza Under Fire dari sekumpulan pelajar dari Palestin yang menggelarkan diri mereka sebagai Brother Muslim, persembahan nyanyian dari Aiman serta nyanyian penutup oleh kumpulan Hijazz.
Biarpun ada yang beranggapan apa yang dialunkan di sini tidak akan membawa erti kepada mereka yang berada nun jauh di sana, tetapi sebenarnya semangat yang diterapkan melalui elemen seni ini hendaklah disemai agar kita dapat belajar erti perjuangan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas dan Pengarah IRM, Profesor Dr. Azni Idris.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: