KEHIDUPAN Dynas dan suaminya, Hafizy akan bertambah seri dengan kehadiran cahaya mata sulung mereka Julai nanti. |
Enggan terima tawaran berlakon kerana tidak mahu susahkan pelakon lain dan kru penerbitan
MULAI 7 Februari ini, pelakon, model dan usahawan, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar mahu melupakan seketika dunia lakonan kerana ingin memberi tumpuan kepada kandungan bayinya.
Ini kerana, biarpun berbadan dua dan kerana rezeki bayi yang dikandungnya, Dynas masih kencang menerima tawaran berlakon serta mengacara.
Namun, demi kesihatan dirinya dan kandungannya yang berusia empat bulan, Dynas berasakan lebih berehat terlebih dahulu daripada terus menerima jemputan berlakon.
Bagaimanapun, Dynas buat sementara waktu, dia perlu harus melangsaikan dua perkara iaitu lakonannya di dalam drama Jula Juli yang bakal menghiasi slot Lagenda TV3 dan TV9 serta mengacarakan program kecantikan dan kesihatan, Suara Pesona.
Drama arahan Adam Hamid dan Jet Li ini sudah selesai penggambarannya baru-baru ini. Drama ini turut menampilkan Misha Omar dan Nik Sayyidah (Mek).
TERPANCAR riak bahagia pada wajah Dynas ketika ditemui di Istana Budaya, baru-baru ini. |
elain berehat menjaga kandungannya, Dynas juga akan memberi tumpuan menguruskan butik D&A Celebrity Style di Hartamas yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Awal Ashaari sejak empat bulan lalu.
Pelakon tinggi lampai ini mengakui, sejak mengandung dia mudah berasa penat hingga angin di badan naik ke kepala menyebabkan ‘mood’nya dalam keadaan tidak menentu. Ini menyebabkan dia sering menimbulkan masalah di set penggambaran drama Jula Juli. Malah, ia turut terpalit kepada pelakon yang terbabit hingga mengganggu jadual kerja mereka.
“Mood saja saya baik, sekejap tidak. Saya selalu cepat hilang sabar. Zed Zaidi antara pelakon yang turut berlakon dan dialah yang selalu jadi mangsa kemarahan saya. Mujurlah dia antara kawan baik saya dan memahami situasi saya dan boleh bersabar.
“Saya sedar dan tahu, memang saya sudah menyusahkan ramai orang di set penggambaran tapi saya tidak bermaksud nak berbuat sedemikian. Mujurlah pengarah sangat bersabar. Saya minta maaf kepada pelakon atau krew yang terasa hati dengan tingkah laku saya.
“Oleh kerana hal ini juga saya sudah terpaksa menolak tawaran berlakon dua filem dan beberapa siri drama serta tele filem,” katanya yang turut ditawarkan berlakon drama Hartamas yang diarahkan Kabir Bhatia bagi siaran ntv7.
Mengikut perancangan, Dynas dijangka melahirkan bayi sulungnya pada 4 Julai ini. Bagi pelakon drama Susuk ini, dia tidak kisah apa pun jantina bakal anaknya nanti namun suaminya mengimpikan anak lelaki. Hingga saat ini, Dynas masih belum membeli barangan bayi untuk bakal anaknya nanti.
Di kala ini, Dynas cukup bertuah kerana suaminya sangat menyokong dan memberikan tumpuan lebih kepadanya. Mujur juga Dynas tidak mengidam yang bukan-bukan.
“Saya makan apa saja yang orang lain makan dan tiada makanan tertentu. Paling saya suka ialah pencuci mulut yang manis seperti puding dan buah. Saya jarang makan nasi. Kalau teringin nak makan banyak makanan sekalipun, saya akan makan dalam kuantiti yang sikit.
“Saya akan cepat risau kalau dapat tahu mengenai pantang larang yang perlu dijaga dan dikawal. Tapi nak tak nak, saya kena lalui dan tidak boleh elak. Kalau dulu sebelum mengandung, saya suka makan banyak ubat termasuk vitamin hingga membuatkan suami saya naik panik demi kecantikan dan kesihatan. Tapi sekarang ini, emak selalu berpesan supaya mengurangkan ubat dan saya hanya melebihkan satu dua makanan tambahan.
“Saya pun tidak mengambil minuman sejuk bimbang urat di dalam badan akan mengembang. Malah kalau minum pun akan membuatkan saya pening. Saya juga baru membeli rantai leher daripada ibu Julia Ziegler diperbuat daripada batu gunung berapi dan tanah liat putih untuk mengurangkan rasa letih,” katanya yang ketika ini sudah terbiasa memakai baju dan seluar labuh milik suaminya kerana tidak banyak pakaian bersaiz besar dimilikinya hingga membuatkan suaminya sering mengusik baju kehabisan untuk dipakai.
Dynas ditemui Hip pada malam 1 Februari lalu sewaktu sama-sama terbabit menjual barang di karnival Doamu Untuk Palestin di perkarangan Istana Budaya anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).
Menurutnya, jika tiada aral melintang, selepas bersalin, dia sekali lagi terbabit dengan persembahan teater muzikal Impak Maksima yang akan dipentaskan di Singapura.
“Selain itu, drama Susuk yang pernah melonjakkan nama saya juga akan disambung ke musim ketiga. Tawaran sudah diterima cuma saya belum pasti bila penggambarannya bakal bermula. Jika produksi drama ini tidak dapat menunggu saya hingga selesai berpantang, saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.
PROFIL
Dynas
Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
Tarikh Lahir: 8 Mac 1983
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007
Suami: Mohd Hafizy Hafiz, 37 (Kahwin pada pada 15 Mac 2008)
Drama: Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing
Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati
i like u dynas.....
ReplyDelete