Wednesday, February 4, 2009

Jawablah!: Bukan imej Firaun




PAKAIAN Aiman sewaktu Anugerah Juara Lagu ke-23 lalu menjadi bualan hangat.

Pakaian Aiman pada AJL ke-23 tonjol ciri maharaja berkaliber

HANYA kerana sehelai baju tiba-tiba nama komposer dan penyanyi lagu nasyid, Hafiz Hamidun menjadi panas dan diperkatakan ramai. Kekecohan itu berlaku apabila pakaian yang digayakan Aiman, penyanyi yang membawakan lagunya sewaktu pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu baru-baru ini dikatakan sarat dan menyerupai Firaun.

Kata-kata itu berlanjutan hingga ke laman forum sehingga ada yang mendakwa kekalahan lagu Dusta Berkalang yang bertanding atas tiket Etnik Kreatif itu disebabkan oleh pakaian itu. Kononnya, baju yang terlalu sarat itu menyebabkan si penyanyi tidak selesa lantas mengganggu persembahannya pada malam itu.

Justeru, sebagai orang yang bertanggungjawab mencipta imej Aiman malam itu, Hafiz adalah orang yang paling layak untuk dipersalahkan. Disebabkan cita rasanya yang cukup tinggi itu maka sehingga kini pakaian Aiman terus dijadikan bahan jenaka.

Apakah Hafiz tidak peka ataupun dia sengaja memperdajalkan penyanyinya itu demi kepuasan diri sendiri. Bertemu dengan Hafiz sewaktu majlis Untukmu Palestin anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Hip mendapatkan penjelasannya berhubung isu itu.

Hip: Boleh Hafiz komen sikit fasal baju yang dipakai Aiman pada malam AJL lalu kerana ada dakwaan yang mengatakan pakaian itu tidak sesuai buat Aiman?



Hafiz: Saya tahu ramai yang memperkatakan perkara itu sehingga ke hari ini. Baiklah, untuk mengelakkan kekeliruan, saya akan jelaskan segala-galanya dalam ruangan ini. Sebelum kami tampil dengan konsep pakaian sebegitu, apa yang tergambar dalam fikiran adalah saya mahukan imej Aiman malam itu seperti seorang Maharaja yang berkaliber. Selepas berbincang dengan penaja pakaian terbabit iaitu Y Productions, maka itulah yang terhasil. Itupun pada hari raptai penuh kami sudah buang separuh aksesori pakaian terbabit kerana kami sedar Aiman kelihatan tidak selesa dengan aksesori itu. Tujuan kami memakaikan Aiman dengan baju seperti itu adalah sekadar ingin memberikan impak terhadap persembahan keseluruhan dan bagi saya pakaian itu bersesuaian dengan konsep lagu berkenaan.

Hip: Apakah Hafiz ada berbincang dengan Aiman mengenai konsep pakaiannya pada malam itu?

Hafiz:
Ya, kami ada berbincang dan dia bersetuju dengan apa yang saya sarankan. Malahan, pihak penganjur iaitu TV3 sendiri sudah menyatakan persetujuannya mengenai konsep pakaian Aiman pada malam itu selepas kami tunjukkan gambar. Tapi itulah, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Setiap orang ada tanggapan masing-masing yang sudah tentunya memang berbeza.

Hip: Tapi apakah Hafiz sedar yang pakaian Aiman itu menyerupai Firaun?

Hafiz: Saya ada dengar juga apabila ada orang menyamakan pakaian Aiman malam itu seperti Firaun. Saya menafikan perkara itu kerana pakaian Aiman dan imej Firaun memang jauh berbeza. Kalau Firaun, pakaiannya ada objek ular namun tidak pada Aiman. Lagipun sebelum tampil dengan konsep persembahan seperti ini, saya dan penulis lirik Fedtri sudah mengkaji sejarah. Kami mengambil latar Palestin untuk lagu ini dan ia ada kaitannya dengan lagu Dusta Berkalang ini.

Hip: Ada yang mengatakan sebab kekalahan lagu ini ialah Aiman tak selesa menyanyi gara-gara pakaian itu. Ulas sikit?

Hafiz:
Sebenarnya saya amat berpuas hati dengan persembahan Aiman malam itu dan saya sangkal kekalahan itu berpunca daripada pakaian. Sebagai penyanyi baru, Aiman masih banyak lagi perlu belajar di atas pentas. Penampilan di atas pentas, masih lagi kurang kemas. Dia kena mahirkan diri lagi dalam tarian. Lagipun dia bersaing dengan artis yang sudah bertahap profesional. Pun begitu, dalam tempoh tidak sampai setahun bergelar artis, malam itu Aiman sudah menunjukkan persembahan yang meyakinkan dan saya percaya perubahan positif akan berlaku tidak lama lagi.

Hip: Apakah keistimewaan Aiman sehingga Hafiz sanggup mengambilnya bernaung di bawah label milik Hafiz sendiri?

Hafiz:
Bagi saya Aiman adalah penyanyi baru yang berbakat besar. Sewaktu saya bertemu dengannya di dalam Akademi Nasyid, saya dapat lihat karisma dalam dirinya. Berbanding dengan peserta lain yang saya lihat masing-masing mempunyai pengalaman dalam bidang ini, Aiman adalah peserta paling kosong pengalamannya. Saya melihat Aiman seperti Mawi di Akademi Fantasia suatu waktu dulu. Saya sebenarnya lebih senang membimbing mereka yang tiada pengalaman dan segar kerana ia lebih mudah dibentuk. Walaupun dia bukan juara, namun atas alasan yang disebutkan tadi maka saya tanpa ragu-ragu terus menjadikan dia artis naungan saya.

Hip: Hafiz ingin bentuk Aiman jadi penyanyi yang bagaimana sebab melihat kepada konsep lagu dan imej, nampaknya agak tersasar dari konsep nasyid?

Hafiz:
Aiman masih lagi berkonsepkan nasyid. Cuma nasyid yang dibawakan nanti berbeza sikit. Lagu nyanyiannya ada pelbagai tema termasuk cinta. Namun cinta yang dimaksudkan adalah lebih bersifat positif. Lagipun ia bersesuaian dengan usianya yang mencecah 19 tahun. Dan inilah juga konsep yang dimahukan Aiman. Insya-Allah album Aiman akan berada di pasaran pada Mac akan datang. Harap semua peminat Aiman dapat membeli albumnya yang asli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: