Friday, February 6, 2009

Kelas Makyung bersama Zizie


FOKUSNYA menjadi tenaga pengajar Makyung kerana mahu membela nasib kesenian itu yang dilihat semakin dilupakan.


EMPUNYA diri bernama Norzizie Zulkifli atau Zizie sememangnya cukup sinonim dengan dunia teater serta drama.

Sekian lama aktif dalam bidang seni, anak sulung kepada pasangan pelakon Zulkifli Zain dan Normala Omar ini bagaikan tidak pernah jemu mendampingi apa itu seni budaya yang dilihat sudah sebati dalam hidupnya.

Pernah melanjutkan pelajaran dalam jurusan pengarahan teater di Universiti Middlesex, London, Zizie kini terpanggil untuk memelihara budaya bangsa demi memastikannya kekal menjadi lambang kebanggaan negara.

Menjurus kepada kesenian Makyung, Zizie bersama-sama penggiat Makyung terkenal, Fatimah Abdullah membuka kelas pengajian seni itu kepada mereka yang berminat untuk mempelajarinya.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM20 dan RM50 lagi untuk yuran bulanan, sesi pembelajaran dibahagikan kepada dua iaitu kelas asas serta kelas lanjutan dan setiap satunya berlangsung selama enam bulan.

Bertempat di studio Swatari, Jalan Genting Klang, ia turut mendapat kerjasama Pak Ngah Production.

"Kelas dijalankan setiap Ahad bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi pendaftaran pembelajaran dibuka sekali dalam setahun.

"Untuk tahun ini, pendaftaran akan bermula pada 8 Februari ini dan terhad kepada 20 hingga 30 orang pelajar sahaja.

"Ia terbuka kepada semua peringkat umur, dari kanak-kanak hingga golongan dewasa,'' jelas Zizie yang kini hamil dua bulan anak keduanya.

Menurutnya, untuk kelas asas, ia akan diajar oleh Fatimah manakala dia pula akan memberi fokus pada kelas lanjutan.

Ujarnya, sijil akan diberikan pada majlis konvokesyen kepada mereka yang berjaya menamatkan sesi pengajian nanti.

"Kelas ini sudah bermula tahun lalu dan kelompok pertama iaitu seramai 17 orang telah berjaya menamatkan pengajian pada Oktober lepas.

"Membanggakan, daripada 17 orang pelajar tersebut, dua daripadanya adalah pelajar dari Indonesia dan Jepun yang amat meminati budaya Makyung,'' katanya.

Jelas Zizie, fokusnya untuk memilih menjadi tenaga pengajar Makyung adalah lantaran daripada nasib kesenian itu sendiri yang dilihatnya semakin kurang mendapat tempat di hati masyarakat.

Katanya, bagi mereka yang berminat untuk mengikuti kelas Makyung itu, mereka boleh menghubunginya di talian 012-334 6624 atau mengunjungi studio Swatari, Pak Ngah Production Sdn. Bhd., di alamat 30-1 Jalan Prima Setapak 3, Jalan Genting Klang, 533000 Kuala Lumpur.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbarunya, Zizie memberitahu, dia kini dalam proses untuk mementaskan teater Makyung Titis Sakti.

Ujarnya, teater tersebut bakal dipentaskan di Pentas Seni Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Performing Arts Centre) pada 3 hingga 6 Jun depan.

"Saya juga baru selesai mengarahkan sebuah telemovie berjudul Kemboja yang menampilkan pelakon Jue Aziz dan hero baru, Carliff,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: