BULAN Februari sering dikaitkan dengan bulan cinta. Menjelang Hari Kekasih yang bakal menjelang tanggal 14 Februari ini, sengaja mStar Online menggandingkan 'pasangan' gosip terbaru ini untuk berbicara tentang cinta.
Baik Siti Saerah mahupun Imran Ajmain, kedua-duanya nyata cukup 'sporting' apabila penulis mengusulkan untuk menggandingkan mereka bersama di dalam sesi fotografi.
Sesekali, sepanjang sesi fotografi berlangsung, Imran mahupun Saerah begitu kreatif dan tidak kekok untuk membuat aksi spontan mereka.
Keserasian terserlah apabila masing-masing mengeluarkan idea ‘gila-gila’ terutama Saerah yang begitu pandai membawa diri di depan kamera manakala Imran pula sukar membuat banyak pergerakan kerana terbatas dengan ketinggiannya.
Sambil bercerita lanjut tentang gosip yang melanda mereka berdua kononnya dikatakan mempunyai hubungan 'istimewa', Imran dan Saerah dalam nada ceria mengaku semuanya mungkin berpunca gara-gara mereka berjalan bersama sewaktu sesi karpet merah di Anugerah Juara Lagu ke-23 baru-baru ini.
Mereka dikatakan agak 'mesra' dan ada yang melihat pasangan ini berpegangan tangan.
"Saya tidak tahu bagaimana boleh wujud gosip kami berpegangan tangan semasa berjalan pada waktu itu sedangkan kami tidak buat pun.
"Kami berjumpa di situ pun secara kebetulan, dan terus bercadang untuk berjalan bersama. Apapun, hubungan saya dan Saerah tidak lebih daripada berkawan sahaja.
"Saya juga ingin betulkan fakta yang mengatakan kami berpakat memakai pakaian sedondon pada hari itu. Pakaian kami mana ada sedondon..," jelas Imran.
Menurut Imran, ini merupakan pertama kali dia menerima gosip hebat yang mengaitkan dirinya dengan artis wanita lain.
"Saya rasa ini merupakan gosip pertama saya dikaitkan dengan artis lain. Saya agak terkejut juga apabila membacanya.
"Selepas membacanya, saya terus menghubungi kawan Saerah kerana takut dengan pandangan Saerah dan orang ramai serta bimbang sekiranya ia akan menjadi berpanjangan," jelas Imran, 28.
Menyelongkar tentang bagaimana mereka ditemukan, Imran dan adik penyanyi Datuk Siti Nurhaliza ini mula berkenalan selepas duduk sebelah-menyebelah ketika menonton Konsert Mingguan Akademi Fantasia 6 (AF6).
"Saya menghadiri konsert itu kerana ingin menonton persembahan Stanley AF6 yang menyanyikan lagu saya iaitu 'Sudah Tu Sudah'.
"Manakala Saerah pula datang untuk melihat kakaknya, Saida membuat persembahan dalam konsert itu.
"Waktu itu, Saerah tidak duduk diam dan hujung kakinya selalu terkena saya. Jadi, selepas kerap kali kaki dia berlaga dengan kaki saya, kerap kalilah Saerah meminta maaf dan dari situlah kami memulakan perbualan. Selepas itu, kami tak pernah ‘keep in touch’.
"Lama kemudian, saya menyanyi untuk Hari Lahir Kak Siti Nurhaliza pada 11 Januari lalu sebagai kejutan untuk Kak Siti setelah mendapat tahu dia meminati lagu Seribu Tahun.
"Jika benarlah kami mempunyai hubungan semasa AJL baru-baru ini, saya tidak akan pimpin dan pegang tangannya di depan khalayak seperti yang diperkatakan," katanya.
Dalam pada itu, Saerah pula berkata persahabatannya dengan Imran tetap diteruskan walaupun ramai yang bercakap mengenai gosip tersebut.
"Gosip tidak akan mengganggu hubungan kami sebagai kawan. Mana tahu dengan gosip ini, hubungan kami semakin rapat.
"Tetapi semasa mula-mula mendapat tahu tentang gosip ini, saya rasa bimbang jika ia memberikan kesan kepada Imran kerana orang suka bercakap ‘macam-macam’.
"Ibu dan bapa saya pun terkejut juga tetapi selepas saya beri penjelasan, baru mereka faham.
"Untuk sesi fotografi hari ini pun, saya dah beritahu dan mereka izinkan," kata Saerah.
Sambut Hari Kekasih bersama?
Ditanya tentang pengalaman bercinta, kedua-duanya bagaikan sukar untuk berkongsi cerita kerana bagi mereka perkara yang berlalu tidak perlulah di hebah-hebahkan.
Namun, apabila ditanya tentang status masing-masing, kedua-duanya mengaku masih solo.
Kebetulan, mereka juga berkongsi zodiak yang sama iaitu Taurus. Saerah dilahirkan pada 15 April 1983 manakala Imran pula dilahirkan pada 25 April 1981.
Menurut Imran, sudah dua tahun dia hidup solo tanpa teman wanita.
Sementara Saerah pula berkata dia kembali solo selepas putus tunang dulu.
Diusik sama ada Saerah menepati ciri-ciri wanita idamannya, Imran sambil tersenyum berkata:
"Saerah mempunyai sedikit ciri-ciri yang saya suka sebab dia merupakan seorang yang ceria dan terlalu peramah.
"Saya merupakan seorang pemalu. Jadi apabila dia peramah, persahabatan kami jadi lagi senang kerana orang seperti ini boleh lebih menerima kritikan.
"Saya rasa selesa apabila berkawan dengannya. Apabila jumpa di ‘show’, kami boleh ‘sekepala’ dan ‘ngam’ sehingga rasa gugup saya hilang.
"Namun, saya tidak suka menetapkan ciri-ciri wanita idaman kerana orang yang membuat seperti itu seolah-olah mereka tidak melihat cermin. Bagai ‘tidak mengukur pada baju sendiri’."
Dalam pada itu, Saerah juga mengakui yang Imran mempunyai sedikit ciri-ciri lelaki idamannya kerana mereka sekepala dan membuatkan dirinya tidak kekok apabila bersama dengan Imran.
Memandangkan Hari Valentine bakal menjelang tiba pada 14 Februari depan, kita tanya apa pandangan mereka mengenai hari tersebut?
Pernah sambut Hari Kekasih?
Imran: "Saya tak tahu nak cakap sama ada saya sambut atau tidak kerana kalau kira romantik saya, saya tak perlu menunggu Hari Valentine untuk memberi bunga.
"Bagi saya kita tidak perlu tunggu Hari Valentine untuk menunjukkan kasih sayang kerana tiap-tiap hari adalah hari bahagia."
Saerah: "Pendapat saya lebih kurang sama dengan Imran. Bukan sebab kami sehati sejiwa tetapi memang saya rasa Hari Kekasih tidak terlalu penting.
"Jika saya nak tunjuk kasih sayang, hari-hari saya boleh tunjuk kepada kawan-kawan dengan berjenaka dan membuat orang lain gembira."
Pengertian Hari Kekasih?
Imran: “Valentine's Day atau Hari Kekasih lebih kepada kepercayaan di mana orang lain meraikannya untuk mencari kebahagiaan.”
Saerah: “Hari Kekasih bukan budaya kita dalam masyarakat Islam. Terlalu biasa sangat kalau pasangan kekasih itu keluar dan sekadar meraikannya di luar dengan makan malam dan yang wanita akan diberi bunga ros.”
Apa yang akan dilakukan pada Hari Kekasih nanti?
Imran: "Sesebuah lagu itu boleh dikaitkan dengan kekasih dan pasangan bahagia. Jadi, saya ingin sangat diundang untuk menyanyikan lagu cinta bergenre balada untuk orang yang sedang bercinta.
"Jika saya mempunyai kekasih, saya tidak akan bawa dia keluar makan malam tetapi mungkin kami akan pergi menghadiri kelas puisi, membuat kraftangan atau melakukan aktiviti yang disukai oleh pasangan saya. Itu lagi dikira pengorbanan."
Saerah: "Saya setuju dengan Imran. Sekurang-kurangnya, pasangan kita akan lebih menghargai apa yang kita lakukan. Tetapi, disebabkan saya solo, jadi saya akan keluar dengan kawan-kawan sahaja nanti."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: