|
|
DALAM diam tak diam, hari ini, musim ketiga Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) akan membuka tirainya kepada umum.
Pastinya semua menunggu dengan penuh teruja untuk menyaksikan pementasan ini kerana setelah hampir tiga tahun 'berehat', PGLM dipentaskan semula di Istana Budaya (IB) sehingga 21 Februari ini.
Persoalan yang berlegar di minda adakah naskhah dan pementasan kali ini lebih hebat berbanding dua musim terdahulu sementelah penerbit eksekutif PGLM, Datin Seri Tiara Jacquelina menjanjikan sesuatu yang luar biasa buat peminat setia PGLM.
Sekadar menyingkap sejarah, PGLM sememangnya telah mengecapi nikmat kejayaan yang cukup luar biasa sehingga mencipta satu fenomena luar biasa saat dipentaskan kali pertama pada tahun 2006.
Malah, dek permintaan yang cukup tinggi, PGLM disambung untuk musim kedua dan sambutannya juga luar biasa.
Bukan itu sahaja, PGLM juga berjaya mengorak langkah apabila dipentaskan di Esplanade Theater, Singapura, satu rekod yang pastinya mencipta seribu kemanisan buat Tiara dan pasukannya.
Mungkin kehangatan PGLM musim ini tidak begitu dirasai sebagaimana dua musim terdahulu, namun, itu bukan faktor utama untuk pementasan ini dilepaskan begitu sahaja.
Dengan adanya elemen magis dan ilusi serta memperlihatkan kembalinya Stephen Rahman-Hughes sebagai sang wira, Hang Tuah, pastinya PGLM musim ini mampu meninggalkan impak yang besar buat peminat.
Apatah lagi musim ini juga menyaksikan kali terakhir Tiara memegang watak Gusti Putri, pastinya, kehilangan itu akan dirasai.
Mungkin kerana faktor itu juga, kini hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi tiket yang masih lagi dijual.
Bertemu dengan Tiara dan Stephen pada sesi latihan di IB baru-baru ini, kedua-duanya ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dan gembira apabila PGLM akan membuka kembali tirainya malam ini.
Dengan latihan intensif yang dijalankan sejak Disember lalu, baik Tiara mahupun Stephen sudah bersiap-sedia untuk mempamerkan kehebatan masing-masing di atas pentas penuh berprestij itu.
"Entah mengapa, perasaan kali ini cukup berbeza berbanding dua musim terdahulu. Malah, debarannya juga lain. Saya mahu penonton melihat PGLM kali ini sebagai sebuah naskhah yang baru.
"Jika musim pertama dahulu, ia merupakan satu percubaan untuk melihat bagaimana respons masyarakat manakala musim kedua pula lebih kepada memperbaiki kelemahan, kali ini, ia adalah lebih kepada memperbaharui apa yang telah dilakukan.
"Malah, jika ada yang belum berkesempatan menonton PGLM sebelum ini, saya berani mengatakan mereka tidak akan terasa kehilangan sebaliknya menonton sebuah pementasan yang pertama kali dipentaskan," kata Tiara penuh semangat.
Meskipun sudah membawakan watak Gusti PutrI berulang kali bermula dari filem Puteri Gunung Ledang lagi, namun, isteri kepada bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi ini mengakui, perlu berdepan dengan cabaran yang bukan sedikit.
Dengan elemen magis dan ilusi yang pertama kali ditampilkan, Tiara menjelaskan, agak sukar untuk menempatkan dirinya agar tidak tersasar daripada ilusi yang telah ditetapkan kedudukannya.
Malahan, kelana Tiara ke Tasmania, Australia tahun lalu juga memberi ruang kepadanya untuk memperbaiki lagi skil vokalnya apabila berpeluang berguru dengan penyanyi klasikal, Jane Edwards yang pernah menyumbangkan suara sopranonya menerusi album runut bunyi filem Shine.
"Bukan itu sahaja, saya juga berpeluang memperbaiki dialek Indonesia bersama jurulatih bernama Mbok Kur yang didatangkan khas dari keraton di Solo. Dia juga yang mengajar saya sewaktu menjalani latihan untuk filem dahulu. Bukan saya sahaja, tetapi juga untuk ensemble.
"Bersamanya juga saya dapat memperhalusi skil tarian Jawa saya dan semua ini adalah untuk kepuasan saya khusus untuk tatapan peminat sebelum saya mengucapkan selamat tinggal," ujarnya dalam nada penuh makna.
Meskipun Tiara sudah tekad dengan keputusannya untuk mengundurkan diri, namun, bagi si kacak, Stephen, dia masih lagi belum memikirkan untuk melepaskan watak Hang Tuah.
Ini kerana, menerusi watak legenda itu namanya dikenali dan orang kini mula melihat dirinya sebagai seorang aktor serba boleh yang tidak hanya mempertaruhkan wajah semata-mata.
"Memang tidak dinafikan, dulu, orang mempertikaikan keputusan Tiara yang mengambil saya untuk melakonkan watak Hang Tuah tetapi, semua itu saya anggap sebagai satu cabaran untuk saya.
"Hang Tuah juga sebenarnya telah meletakkan saya di puncak tertinggi yang belum pernah saya alami sebelum ini walaupun saya lama di London. PGLM juga sebenarnya telah membawa satu evolusi baru dalam penerbitan teater muzikal tempatan.
"Jadi, pengalaman yang telah saya kutip sepanjang menjadi Hang Tuah begitu berharga dan untuk berhenti daripada membawa watak itu, saya tidak mahu memikirkannya buat masa ini. Jika peluang terus diberikan kepada saya, saya tidak melihat ia sebagai satu masalah besar," katanya.
Perkara pokoknya bagi Stephen adalah jalan cerita PGLM yang begitu indah menjadikan pementasan ini meninggalkan impak yang cukup besar lantas berjaya mencipta kelompok peminatnya yang tersendiri.
"Siapa yang berlakon itu bukan perkara pokoknya tetapi intipati dan watak itu sendiri adalah penting kerana ia merupakan nadi kepada kejayaan sesebuah pementasan itu," katanya yang pernah membintangi pementasan teater muzikal, Bombay Dreams di West End, London.
Selain itu, untuk menyelami watak Hang Tuah yang penuh rawan juga bukan mudah kerana dia perlu bermain dengan emosi apabila tidak dapat merengkuh cinta sejati untuk hidup bersama pujaan hatinya.
"Salah satu perubahan yang kami tampilkan untuk musim kali ini adalah mendalami watak masing-masing agar ia terus melekat dan meresap di jiwa penonton.
"Saya bukan sekadar membawakan watak Hang Tuah dan mempamerkan kehebatannya tetapi ia lebih kepada permainan emosi dan cintanya serta pengorbanan.
"Itulah keistimewaan dan magis PGLM yang saya dapat simpulkan kerana ia sebuah cerita cinta yang begitu suci dan luhur yang berjaya membawa saya ke satu dunia baru," ujarnya panjang lebar.
Selepas tiga tahun dan kini kembali sebagai Hang Tuah sebenarnya banyak menguji Stephen sebagai seorang pelakon berwibawa dan antaranya dia perlu kembali mempelajari dan melancarkan sebutan bahasa Melayunya yang ternyata dapat dilakukannya dalam masa yang agak singkat.
"Saya rasa gembira kerana dapat pulang ke Malaysia dan dengan melibatkan diri dalam PGLM, ia juga salah satu cara untuk saya bertemu dengan keluarga dan rakan-rakan selain melarikan diri daripada musim sejuk di sana," katanya dalam tawa.
Jauh di sudut hati Tiara dan Stephen, mereka berdua mempunyai impian yang sama. Masing-masing mahu legasi PGLM akan berterusan walaupun mereka tidak akan lagi memeran watak Gusti Putri dan Hang Tuah.
"Biar legenda cinta agung ini hidup dalam jiwa masyarakat kita agar mereka tahu, mitos ini pernah hidup dan akan terus hidup," jelas kedua-dua bintang ini berpandangan sesama sen
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: