Friday, February 20, 2009

Peserta lambat panas!


ENAM peserta termasuk solo dan berkumpulan yang masih bertahan dalam pencarian Raja Lawak musim ketiga.


LANTARAN masih selesa dengan stail bercerita dan konsep 'stand up' komedi, minggu yang bertemakan muzikal komedi pertandingan Raja Lawak musim ketiga Jumaat lalu tetap menonjolkan persembahan yang biasa-biasa sahaja.

Cuma kelainan persembahan oleh enam finalis yang masih meneruskan perjuangan itu hanyalah elemen lagu berunsur jenaka yang disampaikan mengikut acuan mereka sendiri.

Tema muzikal sepatutnya memberi kelebihan kepada setiap peserta untuk mempersembahkan karya eksperimental tanda kefahaman jitu mereka terhadap tema berkenaan.

Malangnya hampir kesemua peserta masuk ke gelanggang dengan celoteh humor yang menuntut lebih perhatian sebelum lawak mereka memecahkan tawa audiens. Rata-rata masih lambat panas!


JEJAKA genit dari Kelantan, Amir yang menjual budu sambil berdikir barat di Gelanggang Raja Lawak minggu lalu.


Dalam enam peserta, hanya Amir yang mengiringi langkahnya masuk ke gelanggang Raja Lawak minggu lepas dengan nyanyian. Namun emosi muzikal kemudian terhenti-henti kerana Amir juga selesa berlawak sambil bercakap, bukan berlawak dengan nyanyian.

"Kenapa tak teruskan semua persembahan kamu dengan nyanyian dikir barat sahaja? Kamu berdikir sekejap sahaja kemudian berhenti. Bila kamu bercakap mulalah persembahan kamu tak terhenti-henti, sudah tak best," selar salah seorang Pengkritik Tetap Raja Lawak 3, Fauziah Nawi yang sedikit kecewa dengan prestasi semua peserta walaupun sudah masuk minggu ketujuh.

"Walaupun mereka semua perlukan bilik untuk memperbaiki kekurangan tetapi secara keseluruhannya terdapat peningkatan yang menunjukkan semua peserta sudah bijak dan yakin mengatur langkah.

"Beberapa minggu sudah, Amir kelihatan hilang arah tapi dia bangkit semula minggu ini dan saya harap dia akan meningkat lebih baik.

"Chot dah okey tapi dicacatkan pula dengan penyampaian nyanyian yang tidak jelas manakala LNJ pula serba tak menjadi. "Persembahan mereka mendatar dan tema muzikal tak diaplikasikan sepenuhnya," ujar Fauziah yang digelar ibu oleh rata-rata artis termasuklah peserta Raja Lawak sendiri.


KUMPULAN Sepah yang selamba tetapi mampu menggeletek audiens dan juri setiap minggu.



JIHAN, mampukah bergelar Ratu Lawak tahun ini?



SHAMSUL GHAU GHAU antara Pengkritik Tetap yang sering menarik perhatian dengan kritikan tersendiri.



SALLEH YAACOB muncul sebagai juri jemputan minggu lalu.



FAUZIAH NAWI pengkritik dan 'ibu' yang disayangi semua peserta dan penonton setia Raja Lawak 3.


Sesuatu yang mengecewakan juga apabila satu-satunya peserta wanita yang masih bertahan, Nur Jihan Musa atau Jihan tidak mempamerkan lawak yang menyamai skala yang diraihnya semasa persembahan lawak kisah pramugari pada minggu keenam.

Penceritaan kisah hantu yang disampaikan dalam rentak lagu Aku Stacy oleh Jihan disifatkan Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau juga Pengkritik Raja Lawak 3 sebagai tidak cukup elemen komedi dan kurang tepat.

Di antara Chot, Amir, Jihan, LNJ, Am dan Sepah yang beraksi pada minggu lepas, hanya Sepah yang disertai tiga pemuda Shahmira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal Abidin dan Mohd Noor Murad sahaja yang dianggap benar-benar menggeletek hati juri dan kesemua penonton, sama ada di studio mahupun di rumah.

Minggu lepas, tanpa lawak kasar seperti mengetuk kepala sesama sendiri dan dialog ala porno, Sepah masih mendapat sorakan paling gemuruh dengan cerita penagih dadah yang mahu insaf yang diakhiri dengan nyanyian lagu Bukan Kerana Nama, nyanyian asal Ramli Sarip.

Walaupun bertemakan kemanusiaan serta dipersembahkan persis kumpulan nasyid oleh Sepah, lagu berkenaan mengundang klimaks kepada atmosfera humor minggu ketujuh Raja Lawak minggu lepas.

Sepah juga seperti kebanyakan peserta yang selesa dengan sketsa lawak walaupun tema persembahan adalah muzikal komedi. Namun, susunan dialog dalam sketsa disusun teratur dan tidak berselerak tidak seperti nama mereka 'sepah'. Unsur humor dalam cerita juga disampaikan dengan jelas tanpa meminggirkan mesej untuk masyarakat.

Minggu lepas, LNJ, Chot dan Am yang tersenarai di kedudukan terbawah bagaimanapun mereka masih terselamat kerana tiada penyingkiran dibuat. Malam ini kesemua enam peserta yang masih bernafas dalam Raja Lawak musim ketiga ini masih berpeluang membuat satu lagi persembahan sebelum salah seorang daripada mereka disingkirkan.

Penyingkiran malam ini juga akan melayakkan lima peserta yang tinggal masuk ke pertandingan separuh akhir Raja Lawak 3 pada 27 Februari sementara pertandingan akhir dan Juara Raja Lawak 3 bakal disaksikan pada Gelanggang Raja Lawak minggu ke-10 pada 6 Mac depan.

Rating naik 40 peratus

Masih ada skeptikal di kalangan segelintir pihak yang memandang rendah kononnya Raja Lawak tiada kredibiliti dan tidak bertaraf glamor namun sedar atau tidak, program pencarian pelawak baru terbitan Astro Prima ini sedang menapak ke depan.

Di tangan Johan dan Zizan, masing-masing naib johan dan pemenang tempat ketiga Raja Lawak musim pertama, program yang sedang bergerak ke penghujung musim ketiga rupa-rupanya selesa dengan pencapaian dan peningkatan rating sebanyak 40 peratus, satu angka yang memberangsangkan.

"Jika Akademi Fantasia menjadi jenama Astro Ria, Raja Lawak pula jenama kepada Astro Prima. Peningkatan rating sebanyak 40 peratus itu sesuatu yang sangat positif dan menandakan program ini akan berterusan untuk masa akan datang, Raja Lawak sendiri berada di tangga lima terbaik di Astro Prima.

"Saya melihat ada beberapa faktor yang menyumbang kepada pencapaian ini. Satu daripadanya mungkin kerana tarikan peserta itu sendiri, musim ini penonton tidak tertumpu kepada hanya seorang sahaja peserta yang dirasakan berpotensi sebaliknya ada beberapa peserta yang konsisten dan ramai pengikut.

"Juri juga memainkan peranan utama. Gandingan juri serta persepsi juri yang berbeza-beza setiap kali menghakimi para peserta juga satu daripada tarikan musim ini," ulas Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika ditemui selepas persembahan Gelanggang Raja Lawak 3, Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: