|
|
SEJAK putus cinta dengan pelakon Zuliana Abdul Aziz atau Jue pada Mac tahun lalu, Jehan Miskin, 29, kerap dilemparkan soalan mengenai calon penggantinya. |
Ibarat kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti demikianlah diharapkan setiap individu selepas hubungan yang dibina terkandas di tengah jalan. Malah Jehan dilihat sering hadir dalam majlis tertentu bersama seseorang hingga ada menyangka apakah itu insan istimewa dalam hati Jehan.
Namun, pemuda kelahiran Pulau Pinang itu tanpa berselindung mengakui mempunyai ramai kenalan wanita begitupun setakat ini dia tidak memikirkan untuk menjalinkan hubungan yang serius.
Saat kerjaya semakin harum mekar, pelakon yang membintangi drama bersiri Mentua VS Menantu (Astro) dan Puteri Salju (TV3) mengakui kadangkala berasa sunyi namun kesibukan kerjaya selain hubungan erat bersama keluarga dan rakan membuatkan dia tidak memikirkan soal menjalinkan hubungan dengan seseorang.
Baru-baru ini, pengacara program kesihatan Health Buzz (TV3) bersama Jojo Struyz itu hadir bersama gadis tinggi lampai dalam majlis meraikan barisan pelakon drama dan filem terbitan MIG Productions di Restoran Lemon, The Mines, Seri Kembangan, sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Kehadiran Jehan bersama model Andrea Fonseka yang juga Ratu Malaysia Universe 2004 menjadi tumpuan kerana keintiman mereka.
Jehan berkata, dia tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa bersama Andrea sebaliknya hanya sebagai kawan rapat yang dikenali sejak sekian lama.
"Kami berkawan baik. Saya mengenalinya sebelum menjadi pelakon lagi. Kebetulan pula dia (Andrea) baru pulang ke tanah air selepas melanjutkan pelajaran di Singapura. Jadi saya membawanya bersama ke majlis itu.
"Kami sebenarnya selalu berhubung dan berkomunikasi sejak beberapa tahun lalu. Walaupun dia menetap di Singapura, kami juga sering bertemu jika ke sana atau apabila dia pulang ke sini.
"Malah kami sering bertanya khabar menerusi telefon. Pada perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, saya sempat berkunjung ke rumahnya.
"Dia turut terbabit dalam bidang seni. Sepanjang perkenalan kami, saya ada mengikuti perkembangan kerjaya seninya. Ternyata dia seorang yang berbakat. Dia pernah terbabit dalam filem, drama televisyen dan menjayakan program komersial di Singapura.
"Kami juga saling membantu dan mendorong kerjaya masing-masing. Sekurang-kurangnya kepulangannya ke tanah air dapat memeriahkan dunia seni tanah air dengan bakat yang ada," katanya.
Mengulas perkembangan karier, Jehan baru saja selesai meminjamkan suaranya untuk watak dalam program animasi yang masih dalam peringkat awal untuk diperkatakan. Selain itu menantikan beberapa drama yang belum ditayangkan seperti Nokhtah Pilu, Melukut Yang Gantang dan Taubah yang bakal disiarkan di RTM tahun ini.
"Watak Azman dalam Melukut Yang Gantang terbitan produksi Eurofine menarik. Drama arahan Abby Saiful mengisahkan kehidupan seorang pemuda yang dibebani sikap kejam majikan yang tidak berperikemanusiaan dalam membuat keputusan.
"Begitupun, kemunculan Azman ternyata merubah sikap majikannya di sebuah syarikat rekaan, Wanda Hashim lakonan Haliza Misbun. Watak dalam drama ini agak ringkas dan bersahaja. Drama genre romantik komedi turut dibintangi Kuza dan Ebi Kornalis," katanya.
Dia juga dijangka terbabit dalam penggambaran drama 44 episod untuk slot Akasia, Matahari penghujung Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: