KALAU berbicara tentang Roslan Aziz, satu yang Papa tabik dengan anak kelahiran Kuala Lumpur ini adalah kreativitinya dalam menghasilkan sesuatu karya.
Bukan calang-calang orang boleh berbuat demikian dan Roslan sudah termaktub dalam direktori seni tempatan sebagai salah seorang penerbit album, lagu, pengarah muzik serta penggubah yang hebat.
Lihatlah sahaja bagaimana dia membina empayarnya satu ketika dahulu menerusi Roslan Aziz Productions (RAP) yang berjaya membawa nama Sheila Majid dan Zainal Abidin merantau sehingga ke Jepun menerusi muzik hasil sentuhannya.
Memang tidak dinafikan, kehebatan dan sentuhan Roslan memang cukup berbeza dengan penggiat seni yang lain dan Roslan berada dalam kelasnya yang tersendiri. Antara album yang mendapat sentuhan Roslan yang menjadi kegemaran Papa adalah album Ratu (Sheila Majid) dan Sangkar (Atilia).
Bukan itu sahaja, kejayaan konsert Datuk Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London pada tahun 2005 juga merupakan hasil kreativitinya yang berjaya membuka mata ramai pihak terhadap Siti sebagai seorang penyanyi dan penghibur.
Selepas kejayaan itu, Papa sebenarnya teringin benar untuk melihat Roslan terlibat sebagai penerbit keseluruhan untuk album Siti tetapi malangnya, sehingga kini, hajat itu tidak kesampaian.
Malah, ada yang membisikkan kepada Papa, Roslan sememangnya cukup menantikan peluang untuk menerbitkan album Siti kerana baginya, Siti merupakan penyanyi yang mempunyai bakat yang luar biasa.
Malah, seandainya impian Roslan itu terlaksana, dia akan memberikan yang terbaik untuk Siti dan menerusi album itu kelak, Roslan mahu melihat nama Siti diangkat ke peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang.
Meremang bulu roma Papa bila mendengar impian Roslan itu. Insya-Allah, siapa tahu, satu hari nanti dapatlah Roslan menerbitkan album Siti. Papa yakin semua orang mahu melihat kolaborasi Siti dan Roslan kerana mereka percaya ia mampu menghasilkan magis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: