|
|
RASANYA belum terlewat untuk Papa ucapkan tahniah kepada Audi Mok di atas kemenangannya menjuarai kategori Balada pada Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) yang baru lalu.
Walaupun tidak menjulang gelaran juara, memang tidak dapat dinafikan lagu Sampai Syurga cukup hebat dan berhantu serta meresap di jiwa.
Adatlah apabila hasil kerja seseorang komposer itu diiktiraf, mulalah namanya akan menjadi pilihan para penyanyi yang mahu menyanyikan lagu mereka.
Begitu juga yang dialami Audi kini apabila mula menjadi rebutan penyanyi yang mahukan sentuhan magisnya sehingga Audi tidak menang tangan dibuatnya.
Tetapi, harus diingat. Awal-awal lagi, Audi sudah memberikan amaran. Kalau mahukan lagunya, penyanyi itu tidak boleh menyuruhnya mencipta lagu sama seperti lagu yang sudah diciptanya sebelum ini seperti lagu Drama nyanyian Ning Baizura, Nikki dan Yanie, Malu Tapi Mahu (Dina) serta Caramu (Nikki dan Zahid).
Bagus juga kalau Audi buat begitu kerana pada Papa, tidaklah nanti kedengaran lagu-lagu yang dihasilkan semuanya sama. Bukanlah tujuan Audi mahu berlagak mahupun sombong, tetapi itu tidak akan mencabar kreativitinya sebagai seorang komposer.
Papa dengar juga ada seorang penyanyi lelaki yang sudah pun menyampaikan hajatnya kepada Audi untuk mencipta sebuah lagu yang ada sentuhan seperti Sampai Syurga. Nampaknya, penyanyi itu kenalah lupakan hasratnya kerana Audi tidak akan kitar semula lagu-lagunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: