Wednesday, February 4, 2009

Aku Masih Setia




Biarpun agak sibuk sebagai pengajar, Dia Fadila tidak mengetepikan kerjaya nyanyian yang diceburi sejak usia 16 tahun

TUAH dan masa untuk penyanyi, Dia Fadila, 24, yang baru saja melakar jaya Oktober lalu di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam untuk terus menyerlah di bumi sendiri belum terbukti lagi. Bukan tidak pernah berusaha dan jauh sekali berputus asa, cuma belum rezeki Dia untuk terus membuktikan keupayaan sebenarnya.

Mula mencambahkan minat menyanyi sejak di usia 16 tahun, khabar indah mendekatinya apabila dapat muncul dengan album sulung berjudul 'Dia', tiga tahun selepas itu.

Ketika itu, Dia mula diingati dengan lagu Aku Masih Setia dan seterusnya pada tahun 2004, penyanyi tampil dengan album kedua, Na Na Kataku. Namun, ketika album kedua hendak diterbitkan, kontrak rakamannya bersama Warner Music tamat dan ditambah dengan beberapa masalah lain, album itu bagaikan terus 'mati' begitu saja.

Ketika itu, hanya keredaan yang mengiringi perjalanan seni Dia. Demi menebus kesilapan pihak syarikat rakaman naungannya itu, Dia diberi kesempatan terindah untuk terus menyambung kontrak selama setahun lagi bersama Warner dan atas kesungguhan yang dijelmakan, Dia sudah pun mempunyai album ketiga berjudul Terbaik Dariku sejak 13 Januari lalu yang memuatkan 10 buah lagu dan dua daripadanya adalah lagu baru berjudul Satu Ruang dan Jat Da Da Da.

Kini, Dia Fadila sedang rancak mempromosikan lagu single terbarunya berjudul Satu Ruang ciptaan komposer yang juga penyanyi dari seberang, Yunika dan terbaru Jat Da Da Da. Seperti Dia yang mengharap bukan satu tapi lebih banyak ruang untuk terus dikenali, lagu ini juga secara kebetulan hampir menyamai kisah peribadinya.


"Melalui perkenalan atas kawan, Dia yang mengesyorkan syarikat rakaman untuk ambil lagu dari Indonesia. Kebetulan Yunika adalah artis Warner Music Indonesia yang popular pada 1997. Satu Ruang menceritakan mengenai hati seorang kekasih yang tidak ingin dipujuk lagi. Biarpun sudah berpisah, dalam hatinya masih ada ruang untuk cinta lain.

"Dan hanya kebetulan lagu ini menyerupai apa yang dialami Dia sendiri. Sebenarnya lagu ini diilhamkan daripada kisah kawan baik Yunika. Apabila Dia mendengar melodi dan liriknya, tanpa diduga ia seperti terkena dengan batang hidung sendiri. Syukur juga lagu ini turut menjadi lagu tema filem Selamat Pagi Cinta tahun lalu," kata Dia sambil tersenyum manja sewaktu bersama Hip dalam satu sesi fotografi.

Bagaimanapun baki lapan lagu yang dimuatkan adalah lagu yang dipetik daripada albumnya yang terdahulu. Biarpun tidak dapat muncul dengan sepenuhnya menampilkan lagu baru, Dia Fadila tidak menganggap album ini sebagai kompilasi.

Malahan, Dia akur dengan kehendak pasaran yang tidak menentu dan harus bersyukur masih berpeluang muncul dengan buah tangan baru untuk halwa telinga pendengar muzik dan peminatnya.

"Inisiatif memuatkan semula lagu terdahulu wajar dipuji dan usaha mengetengahkannya semula adalah satu peluang bagi menghargai karya yang tidak diketahui peminat. Dia tak anggap lapan lagu ini sebagai lagu lama cuma ia tidak berpeluang dimainkan di radio mahu pun TV sebelum ini.

"Sayang juga kalau dibiarkan begitu saja dan apa salahnya Dia rakamkan semula untuk berkongsi dengan semua orang," katanya yang turut melelong pakaian dan kasut di karnival jualan dan lelong amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza pada 31 Januari lalu.



Mahu lanjut pengajian peringkat di UK

MENGENAI hasratnya untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang persembahan vokal moden dan juga jazz di United Kingdom yang pernah ditulis di ruangan Dengarnya Oleh Normah Becok, Dia Fadila tidak menafikan cerita itu, cuma ia masih dalam peringkat perancangan.

Biarpun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam tahun lalu, niatnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi wajar dipuji.

"Dia masih melihat pendidikan sebagai antara elemen penting untuk sebuah masa depan yang terjamin. Begitu juga dengan dunia nyanyian dan pengacaraan yang amat Dia cintai. Kalau dapat diseimbangkan dua perkara (nyanyian dan seni) ini juga satu perkara yang baik. Ia sebagai jaminan untuk masa depan, tapi ketika ini semuanya masih dalam perbincangan dan perancangan," katanya.

Sejauh mana kesibukan penyanyi ini melayani permintaan bergelar selebriti, Dia kini harus membahagi masa sebaik mungkin di antara tuntutan kerjanya sebagai penyanyi dan pensyarah. Setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 7.30 pagi ke 4.30 petang, Dia Fadila harus fokus sebagai pensyarah.

Memiliki kerjaya yang menjamin masa depan kini dan ditambah dengan kerjaya nyanyian, Dia kini sudah mampu mengumpul aset antaranya seperti rumah dan kereta. Bahkan, penyanyi ini mengaku jika boleh mahu menamatkan zaman bujang, andai jodoh datang cepat.

"Alhamdulillah, Dia semakin seronok dengan tugas sebagai pensyarah. Sekarang ini, Dia hanya memberi tumpuan kepada kerja pensyarah dan penyanyi kerana tawaran mengacara semakin berkurangan kebelakangan ini. Tak dinafikan memang rindu untuk kembali mengacara. Tapi kalau diberi peluang, nak jadi pengkritik pula. Dia pernah diundang menjadi pengkritik pertandingan Idola Kecil di TV9.

"Kalau boleh, Dia tidak mahu berbicara terlalu mendalam mengenai kisah peribadi. Apa yang boleh dikatakan kehidupan cinta Dia sangat membahagiakan.

"Si dia pun berusia 29 tahun dan hubungan kami terjalin sejak setahun yang lalu. Kami masih dalam peringkat mengenali hati budi dan belum pasti apa yang bakal terjadi di kemudian hari," ungkap Dia yang masih merahsiakan siapa gerangan jejaka idaman hatinya.



Sepintas Dia Fadila

  • Beg: Satu kemestian buat dirinya kerana ia sekali gus menonjolkan keperibadian.

  • Kasut: Meningkatkan keyakinan diri dan apabila menyarungkan kasut tumit tinggi, ia secara automatik membuatkan yakin kepada dirinya.

  • Nyanyian: Darah daging dan keghairahannya. Sekalipun, tidak bergelar penyanyi, mungkin akan melakukan kerja yang berkaitan.

  • Pensyarah: Satu tugas mulia seperti seorang guru. Ia tanggungjawab yang berat dan apabila ilmu yang ada dikongsi dengan pelajarnya, ia sangat dirahmati.

  • Tuah: Setiap orang ada tuah masing-masing. Yang pasti, sebagai manusia biasa kita kena sentiasa berusaha dan bersabar.



    Info Dia Fadila

  • Menerusi pertandingan Festival Melodi Emas Asean 2008, Dia mengungguli Juara Kategori Pop dengan membawakan lagu I'm Telling You yang pernah dipopularkan oleh Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

  • Bukan setakat itu saja, Dia turut berjaya mendapat tempat kedua menyanyikan lagu Joget Kenangan Manis dendangan asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad bagi kategori lagu Tradisional.

  • Dia dan kekasih hatinya berkongsi minat melalui medium yang sama iaitu muzik.



    Profil

    Nur Nadia Fadila Abu Bakar

    Usia: 24 tahun

    Asal: Selangor

    Kerjaya: Penyanyi dan pengacara.

    Album: Dia (2004) dan Na Na Na Kataku (2007)

    Pengacaraan: Bintang RTM dan Hitz 1.

    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Persembahan Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

    Pencapaian: Artis Baru Wanita Terbaik di APM 2005.

    Lagu Popular: Aku Masih Setia, Andai, Tangisan Marhaenis (duet bersama Hattan).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: