Thursday, February 5, 2009

Persiapan Akhir Que Dan Linda


TARIKH pernikahan bakal pengantin popular, pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 30, dan Linda Jasmine Hashim, 37, semakin hampir.

Pasangan ini akan mengakhiri zaman solo pada 14 Februari ini di Restoran Bora Ombak, Jalan Ampang. Mereka dijadualkan bernikah pada jam 5 petang diikuti majlis resepsi pada sebelah malamnya.

Menurut pasangan ini yang ditemui di butik Lord's Taylor, Pusat Beli-Belah Bangsar, kelmarin, mereka kini sibuk membuat segala persiapan.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Linda, segala persiapan berjalan lancar dan kini tinggal perkara kecil yang perlu dibereskan.

Kata pereka tari dan tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) ini, walaupun ada perkara terbabit dianggap kecil tetapi padanya ia penting bagi memastikan apabila tiba hari bersejarah itu segala perancangan berjalan lancar.

"Saya seorang yang sangat cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Atas alasan itu, saya cuba memastikan segala perancangan dibuat dapat dilaksanakan dengan baik.

"Lebih penting saya mahu tetamu yang hadir nanti dapat berkongsi kegembiraan kami," katanya ketika menemani bakal suami mencuba baju ditaja Lord's Taylor dan akan digayakan pada hari persandingan.

Mengenai majlis dirancang, kata Linda ia dibuat secara kecil-kecilan membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat.

"Saya pening juga memikirkan apabila ramai yang mahu menghadiri majlis pernikahan dan persandingan ini. Masalahnya, kami tidak buat secara besar-besaran. Serba salah saya dibuatnya apabila ada pihak bertanya mana kad jemputan kahwin kami?

"Perancangan awal majlis hanya membabitkan 300 tetamu tetapi ia kini meningkat kepada 400 orang. Sekarang ini pun saya bersiap sedia jika ada ramai lagi yang perlu dijemput.



"Satu kelemahan saya, takut mengatakan tidak dapat jemput kerana bilangan tetamu sudah dihadkan. Bimbang mereka akan berkecil hati. Selain itu takut jemputan tercicir namanya kerana terlupa atau tersalah hantar kad. Macam-macam bermain di kepala saya sekarang ini.



"Apabila perkara ini saya luahkan, ada yang menasihati tidak perlulah memikirkan sangat mengenai perkara itu kerana sudah menjadi lumrah apabila buat kerja kahwin, ada saja perkara timbul dan tidak dipandang sempurna pada pandangan mata orang.

"Cuma kepada mereka yang sudah dijemput, saya berharap mereka memberikan jawapan pengesahan kehadiran bagi membolehkan lebih ramai teman hadir menggantikan mereka yang tidak dapat datang," katanya.

Bagaimanapun, kata Linda, dia tidak terlalu tertekan apabila terpaksa menguruskan majlis perkahwinan ini sendirian tanpa ada perancang majlis kerana sudah biasa membuat kerja renyah termasuk menguruskan hal yang ada ketikanya boleh memeningkan.

"Saya mempunyai sekolah tarian. Pelajar saya ramai. Perkara itu saja sudah memberikan saya pengalaman yang jauh lebih memeningkan.

"Begitu juga apabila ada jemputan untuk mengadakan persembahan, semua saya buat sendiri bermula daripada latihan, corak persembahan, pakaian apa yang perlu dipakai, bentuk pentas dan pelbagai lagi. Segala pengalaman itu saya gunakan untuk menguruskan majlis perkahwinan dan pernikahan ini.

"Ada beberapa orang teman turut membantu seperti Jeslina Hashim. Kad jemputan ini dia yang tolong reka dan cetak. Selebihnya semua atas bahu saya. Que sendiri sibuk dan dia hanya membantu jika ada masa terluang," katanya.

Pada majlis perkahwinan dirancang, kata Linda, dia akan menggayakan baju direka khas Datin Sharifah Kirana untuk pernikahan manakala persandingan dihasilkan Syaiful Bahrim sementara untuk acara potong kek pula hasil kerja tangan Calvin Thoo.

"Konsep majlis agak ringkas iaitu perkahwinan dalam taman. Reka bentuk pelamin dibuat agar boleh digunakan untuk dwiacara. Apabila majlis akad nikah dilakukan di tempat sama, pelamin akan menjadi hiasan latar dan selepas bersanding ia boleh dijadikan pentas untuk mengadakan persembahan dan acara memotong kek," katanya.

Sementara itu Que menjelaskan pada peringkat awal dia mahu mengadakan majlis seringkas yang mungkin. Namun, kerana nasihat keluarga dan rakan-rakan menyebabkan majlis persandingan tetap dilakukan.

"Ikutkan hati, saya mahu mengadakan pernikahan dengan dihadiri keluarga dan rakan kedua-dua belah pihak. Kemudian membawa mereka makan di restoran. Apa yang penting saya melakukan perkara yang afdal.

"Namun, ramai yang mahu melihat kami bersanding termasuk keluarga kedua-dua belah pihak. Jadi kami lakukan juga majlis resepsi ini," katanya.

Kata Que lagi dia menyerahkan segala perancangan majlis pernikahan dan resepsi pada 14 Februari ini kepada Linda dan keluarganya mengikut kehendak bakal isterinya itu.

"Bagaimanapun, sewaktu majlis menyambut menantu yang akan diadakan di kampung halaman saya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor saya sarankan supaya diserahkan kepada ahli keluarga saya melakukannya.

"Lagipun buat di kampung lebih mudah kerana penduduk sendiri sudah memberi persetujuan mahu bergotong-royong," katanya.

Menyentuh mengenai baju persandingan bakal digayakan Que hasil rekaan khas Lord's Taylor, jelas pelakon utama filem Maut itu, dia berdebar apabila mencubanya buat pertama kali.

"Saya tidak tahu mengapa tetapi hati berdebar sekarang ini. Mungkin tekanan untuk bergelar pengantin sudah semakin terasa. Namun, saya percaya baju ini hasilnya nanti pasti cantik dan menarik apatah lagi warnanya sangat sesuai apabila dipadankan dengan busana direka Syaiful Bahrim untuk Linda," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: