Persaingan populariti sesama sendiri di kalangan barisan pelapis beri keputusan mendebarkan
ANGIN perubahan tidak hanya melanda industri muzik tempatan, tetapi tempias evolusi itu turut berlaku kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, apabila ramai muka baru disenaraikan oleh pembaca dalam Top 5 untuk 16 kategori yang dipertandingkan. Pengumuman senarai peringkat ini yang dilakukan di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor itu sedikit sebanyak mengubah senario ABPBH yang selama ini dikatakan asyik mencalonkan ‘orang yang sama’ pada setiap tahun.
Dua kategori menunjukkan perubahan paling ketara iaitu Artis Komedi Wanita Popular dan Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular.
Bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, nama seperti Sheila Rusly, Raja Azura dan Sharifah Shahira yang sentiasa tidak pernah tercicir, tetapi kali ini pembaca Berita Harian nampaknya mahu perubahan mungkin mahu melihat kelainan.
Peminat kali ini memilih pelakon yang belum pernah tersenarai dalam kategori ini iaitu Ruminah Sidek, Amyza Adnan, Noorkhiriah dan Sheila Mambo. Ruminah mungkin menjadi satu-satunya pelakon paling veteran dalam senarai ABPBH 2008.
“Saya sendiri tidak sangka tersenarai dalam kategori ini. Saya dapat tahu pun melalui makluman dari radio. Mungkin juga drama Pepaya yang disiarkan di TV3 antara sebab yang melayakkan saya tersenarai,” kata Noorkhiriah yang menghubungi Hip petang kelmarin biarpun tidak dapat hadir ke sidang media kerana terikat dengan penggambaran telefilem Diari Mak Ayam arahan Rashid Sibir.
Sementara itu, kumpulan muzik indie menguasai kategori Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular. Perubahan ini sekali gus menunjukkan kehadiran kumpulan indie semakin diterima oleh peminat muzik tanah air. Peminat menyenaraikan Estranged, Meet Uncle Hussain dan Hujan. Kehadiran mereka ini memberikan saingan sengit kepada penyanyi arus perdana seperti M Nasir & Malique dan Fabulous Cat.
Senarai Top 5 ABPBH 2008 turut diwarnai dengan kebangkitan penyanyi daripada program realiti TV. Ternyata populariti nama angkatan baru seperti Stacy, Aizat, Ayu Damit, Aiman, Zizan, Nabil, Nubhan dan Riz mula membuka mata ramai dan membuktikan kehadiran mereka dalam dunia seni bukan sekadar bermusim.
Penyenaraian ramai angkatan baru ini diakui oleh Rosyam Nor sebagai pelapis untuk menggantikan tempatan penyanyi atau pelakon generasi sekarang atau terdahulu. Begitu pun, Rosyam bersyukur kerana di sebalik ramainya angkatan baru itu, peminat masih memilihnya untuk disenaraikan dalam dua kategori iaitu Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.
Katanya, Ini membuktikan sokongan peminat kepadanya masih tidak berbelah bahagi.
“Memang berdasarkan senarai yang diumumkan, boleh dikira berapa kerat sangat nama artis ‘lama’ yang ada. Yang tinggal seperti Amy Search, Ruminah Sidek dan M Nasir. Selebihnya wajah baru dan itu satu perkembangan positif.
“Saya sendiri pun tidak sangka masih tersenarai lagi kali ini apatah lagi saingan makin besar terutama dengan dominasi nama baru dalam beberapa kategori yang menjadi perhatian.
“Bagaimanapun, saya harus berterima kasih kepada peminat yang masih menghargai bakat seni saya. Setiap sudut sokongan peminat sentiasa diperlukan kami golongan artis. Tanpa peminat, kami tidak boleh menjual ‘produk’ yang ada. Saya harap peminat akan terus teguh berada di belakang saya,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan mood peminat yang inginkan pembaharuan, pelakon itu mengakui untuk menang memang sukar diramal kerana persaingan pada setiap tahun memang sentiasa sengit.
“Secara keseluruhan, nama seperti Que Haidar, Saiful Apek, Fahrin Ahmad, Farid Kamil dan Rusdi Ramli mampu memberikan kejutan berdasarkan populariti yang ditempa,” demikian kata Rosyam Nor yang akan menerbitkan drama episod Isabella dan Fantasia Bulan Madu pada tahun ini.
Tidak ketandusan bakat pelapis
KEMUNCULAN angkatan baru ini membuktikan dunia seni memang ada barisan pelapis. Ashraf Muslim, Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Diana Danielle antara wajah yang pertama kali tersenarai di dalam kategori masing-masing. Bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Liyana Jasmay buat julung kalinya bakal bersaing dengan nama besar seperti Erra Fazira, Maya Karin, Sharifah Amani dan Vanidah Imran.
“Bersaing dengan pelakon hebat di Malaysia dan berada di dalam kelompok top 5 membuatkan saya berbangga. Saya memanjat kesyukuran di atas pencalonan ini dan terima kasih kepada peminat serta Berita Harian di atas penganjuran anugerah ini.
“Berdasarkan filem Kami, Histeria, Maut dan drama Puaka Niyang Rapik, saya harus berterima kasih kepada pihak produksi yang terus memberi kepercayaan kepada bakat lakonan saya,” katanya Liyana.
Kategori Artis Baru Wanita Popular turut menyaksikan tiga pelakon paling menyerlah pada 2008 iaitu Sari Yanti, Lisa Surihani dan Scha berada dalam kelompok itu bersama-sama Stacy dan Ayu Damit mewakili penyanyi.
Menurut Sari Yanti, penyenaraiannya itu disifatkan sebagai tuah dan rezeki perkahwinannya.
“Paling seronok saya bersaing dengan dua rakan pelakon iaitu Scha dan Lisa Surihani. Mulanya saya sendiri ragu bertanyakan diri sendiri, popular ke saya?,” kata Sari Yanti.
Juliana Evans (Jue) dan Nurul Alis juga antara pencabar baru bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular yang turut menyenaraikan Fara Fauzana, Abby Fana dan Cheryl Samad. Bagi Jue, dia masih berterima kasih kerana melalui program Remaja di TV3, dia mula menimba pengalaman berharga sebagai pengacara.
Keputusan mengejutkan
PEMBACA Berita Harian dan peminat juga turut membuat keputusan cukup mengejutkan apabila memilih personaliti RTM, Nurul Alis sebagai antara calon Pengacara TV Wanita Popular.
Nurul Alis atau Kiki sewaktu dihubungi, ternyata terkejut dan menyangkakan panggilan yang dibuat ingin mengenakannya.
“Saya memang rasa lain sangat dan tidak menjangka langsung nama saya tersenarai dalam Top 5. Serius, saya tidak main-main dan saya memang betul-betul terkejut.
“Sebelum ini RTM berada di dalam liga yang tersendiri. Pertama kali dicalonkan untuk kategori ini, saya gembira dan harapnya ia satu permulaan yang baik,” katanya yang menjadi penyampai berita sukan di RTM, malah pernah mengacarakan program berbentuk sukan termasuklah Sebelum Wisel.
Faizal Tahir yang lebih dikenali sebagai penyanyi tetapi berjaya melangkah ke Top 5 bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular menganggap kemaraannya sebagai sesuatu yang kelakar dan melucukan. Bagaimanapun, Faizal tetap berterima kasih kepada peminat yang memilihnya.
“Saya berasa sangat pelik dan kekok kerana sebelum ini nama saya dicalonkan untuk kategori penyanyi tetapi kali ini pengacara. Apa pun alhamdulillah, itu bermakna persembahan saya sebagai pengacara memberi impak kepada penonton.
“Namun, itu bukanlah batu loncatan untuk saya menerima tawaran sebagai pengacara kerana sebelum ini saya pernah menyatakan mahu bersara dari dunia pengacaraan,” katanya yang tidak menghadiri sidang media kerana menantikan kelahiran cahaya mata ketiga.
Sementara itu, borang undian ABPBH 2008 bagi pusingan kedua sudah disiarkan di akhbar ini sejak semalam hingga 3 April depan.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd merangkap Penaung Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2008, Datuk Manja Ismail, menekankan bahawa hadiah yang bakal dimenangi pembaca ditentukan menerusi slogan kreatif dan bukannya berdasarkan undian tepat.
Mula diperkenalkan sejak 1987, ABPBH terus bertahan sebagai perantara yang menghubungkan pembaca dan peminat dengan golongan selebriti. Majlis pengumuman top 5 ABPBH 2008 dihoskan dua penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dan Faizal Ismail. Paling menarik tahun ini, tiga selebriti berbadan dua, Erra Fazira, Dynas dan Leya turut dicalonkan.
Info ABPBH2008
Corat-Coret
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: