SEKADAR mengambil contoh paling hampir, Awani dan Bernama TV boleh dikelaskan sebagai perintis kepada kemunculan saluran khas TV untuk berita dan informasi tanah air.
Bagaikan satu trend baru di samping sambutan khalayak yang dirasakan cenderung ke arah sesuatu yang mereka mahukan, sebagai penyalur informasi, sebuah lagi stesen, kali ini milik kerajaan sendiri iaitu TV1 menyahut cabaran untuk muncul sebagai saluran berita dan informasi sepenuhnya bermula hari ini.
Pemacu yang diharapkan menjadi jentera penggerak kepada revolusi drastik Radio Televisyen Malaysia itu tentulah muka-muka baru yang api keterujaan mereka sedang marak.
Di dada mereka ada semangat yang menyala-nyala, mahu membuktikan kepada khalayak Malaysia bahawa TV1 ada kredibiliti dan tidak pernah jatuh dek pandangan skeptikal sesetengah pihak.
Pada bahu personaliti-personaliti muda itu tentunya tergalas visi dan misi TV1 yang kini mengaum dalam suara yang semakin lantang.
Bermula 1 Januari 2009, penonton berita TV1 khususnya akan dipersembahkan dengan satu pendekatan baru. Di bawah bimbingan Yusanani Yushak yang kini bertindak sebagai Penasihat Penyampai di RTM sejak beberapa bulan lalu, barisan baru itu menemani penonton dengan siaran berita 24 jam di TV1.
Fathil Hidayat Ghazali
Membina nama sebagai antara personaliti muda RTM yang sedang mendapat perhatian, Fathil Hidayat Ghazali secara peribadi menjadi antara penyampai berita paling sibuk menguruskan jadual baru, cara kerja baru dan penampilan baru yang sedang dipersembahkan TV1 bermula hari ini.
Paling utama, katanya, pendekatan baru sistem yang digelar 'penyampai utama' digunakan TV1 kali ini merupakan konsep julung kali yang tidak pernah diaplikasikan stesen TV tempatan lain.
"Bunyinya sedikit janggal dan kami sendiri masih menyesuaikan diri dengan revolusi baru ini.
"Kali ini, RTM bukan setakat berdepan penjenamaan semula, tukar logo atau tukar slogan tapi keseluruhan isi kandungan dan corak persembahan.
"Mula-mula memang susah nak fahamkan audiens tapi kami sebagai 'orang RTM' akan jayakan tugas ini sehabis baik," jelas Fathil yang menyifatkan inilah perubahan paling drastik RTM sejak 63 tahun beroperasi.
Kata Fathil lagi, biarlah orang kata kenapa RTM asyik buat perubahan.
|
|
"Itu tandanya kami di RTM tidak berhenti mencari solusi terbaik untuk memberikan yang terbaik kepada penonton. Dan sebagai penyampai yang berada di depan kamera, saya bersedia," kata Fathil optimis.
Sebagai antara yang boleh dikelaskan senior berbanding lima lagi wajah baru TV1, Fathil memberikan penjelasan.
Menurutnya, berita berwajah baru TV1 akan meletakkan seorang penyampai utama dalam satu-satu tempoh masa tertentu, misalnya penyampai utama 1 akan menemani penonton dari pukul 7 pagi sehingga 3 petang.
Dalam masa 24 jam, seramai lapan penyampai utama akan bertugas di studio untuk menjadi penghubung para penonton dengan segmen-segmen berita yang disiarkan.
Nurul Fatiha Abd. Hamid
Usia gadis manis ini baru 22 tahun. Bagi sesetengah pihak, mungkin ini peringkat usia yang terlalu muda untuk menjadi penyampai kepada informasi yang bernas.
Biarpun masih bertatih dalam bidang penyiaran, Nurul Fatiha Abd. Hamid menyifatkan kemasukannya ke RTM, sebagai pengulas dan pembaca berita sukan TV1 adalah sebagai kelangsungan kecenderungannya terhadap dunia sukan yang diceburi sejak kecil.
Genit tubuhnya, tetapi sepanjang menjadi gimnas negara, Nurul sempat menyumbangkan enam pingat emas kepada negara dalam tiga temasya Sukan SEA pada 2001, 2005 dan 2007 yang disertainya.
"Karier saya sebagai gimnas sudah berakhir dan sekarang penyiaran menjadi kerjaya baru saya. Sukan satu-satunya kelebihan yang ada pada saya, dan tugas saya sebagai pembaca sukan di TV1 diharapkan akan memberikan sesuatu yang baru kepada penonton dan peminat perkembangan sukan khususnya.
"Inilah masanya saya mengembangkan sukan tapi mengikut haluan yang lain," beritahu Fatiha yang juga siswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Siti Murni Abdul Aziz
Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mungkin tidak pernah menyangka keputusannya tidak meneruskan pengajian dalam bidang sains di universiti tempatan membawanya ke dunia penyiaran sebagai pembaca berita.
Jika sebelum ini beliau bertugas sebagai wartawan penyiaran untuk perkembangan politik semasa dan Parlimen serta pembaca Warta Wilayah, Siti Murni Abdul Aziz, 22, kini menjadi antara penyampai utama berita TV1 atau kini dikenali sebagai Semasa@1 atau Utama@1.
"Bermula hari ini juga, masyarakat tidak perlu menunggu pukul berapakah berita akan disiarkan. Tukar sahaja ke saluran TV1, penonton akan disajikan dengan berita.
"Soal persaingan TV1 menjadi penyalur maklumat terkini untuk masyarakat itu agenda lain, yang lebih utama adalah apa yang cuba TV1 bawakan. Ini akan jadi kelebihan yang tidak ada di stesen lain," jelas Siti Murni yang sedang mendalami bidang penyiaran menerusi Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia.
Azrul Amila Amir
Lapan tahun menimba ilmu kewartawanan penyiaran di TV3 cukup bermakna buat jejaka berusia 28 tahun bergelar Azrul Amila Amir ini.
Masuk ke Pusat Berita RTM bermula Oktober lalu nampaknya satu lagi lembaran baru buat Azrul untuk meniti haluan baru sebagai 'orang RTM', bukan lagi 'orang TV3'.
Bagi Azrul, di stesen manapun dia berpijak bukan persoalan tetapi kualiti kerja yang harus diutamakan.
"Memang mula-mula masuk, ada perasaan kekok dalam diri saya tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang dan saya dapat menyesuaikan diri dengan budaya kerja di sini.
"Fokus saya sekarang ialah perubahan drastik yang sedang kami semua lalui. Tugas kami sebagai penyampai berita TV1 bukan setakat membaca berita tetapi kena menguasai maklumat yang hendak disampaikan," ujarnya yang turut bertugas sebagai editor segmen berita ekonomi di TV1.
Farhatul Aishati Othman
Baru berusia 21 tahun namun Farhatul Aishati Othman tidak kalah apabila diajak berbicara tentang visi, misi dan perubahan yang sedang dilangkahi TV1 ketika ini.
Biarpun pengalamannya masih hijau dalam dunia penyiaran, bekas wartawan lokasi program majalah Panorama ini tidak gentar dengan hamparan tugas mencabar yang menantinya pada kemudian hati.
"Sejak kecil saya meminati bidang ini malah di rumah sayalah yang menjadi pembaca surat khabar kepada keluarga saya.
"Pengalaman bertugas dalam program majalah Panorama pula sedikit-sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk menunaikan tugas sebagai penyampai yang baik apabila bertugas sebagai penyampai utama nanti," jelas Farhatul bersemangat sambil menyebut nama seniornya Rosli Mohd. Nordin sebagai orang yang banyak memberi tunjuk ajar untuknya tampil berkarisma di kaca TV.
Haliza Ahmad
Apa sahaja cabaran dan peluang yang diraih sebagai penyampai berita TV1, semua itu akan ditangani wanita muda ini dengan sepenuh hati memandangkan inilah tawaran yang dinanti-nantikan sejak menjadi penuntut jurusan kewartawanan di UiTM beberapa tahun lalu.
Di antara muka baru yang sedang dicanai RTM, gadis dari Pulau Mutiara ini tidak terkecuali terpilih sebagai bakal penyampai utama yang akan mengendalikan segmen-segmen berita di TV1.
Masih dalam proses latihan dan mempersiapkan diri untuk bergelar penyampai berita, prinsip Haliza juga sama seperti rakan seangkatan yang lain.
"Apabila TV1 menjadi saluran informasi dan berita sepenuhnya, tugas kami sebagai penyampai juga bertambah. Sebagai orang baru, saya ambil semua ini sebagai cabaran dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan sehabis baik," ucapnya hati-hati.
KONSEP BARU TV1
- Mulai 1 Januari 2009, RTM1 dan RTM2 yang bertukar kepada TV1 dan TV2 menjadi dua saluran yang lebih khusus dengan genre yang berbeza, iaitu informasi dan juga ceria.
- TV1 sesuai dengan temanya ‘Informasi’ akan menumpukan kepada berita dan juga program-program berbentuk informasi seperti dokumentari, majalah dan bicarawara.
- Program TV1 yang dimaksudkan ialah program berita yang merangkumi Nasional@1, Semasa@1, yang akan bersiaran setiap setengah jam.
- Selain itu, terdapat juga segmen berita yang dinamakan Utama@1, National@1 (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil), Wilayah@1, Dunia@1, Biz@1 (Malaysia/Singapura dan Malaysia/China), Sukan@1, Warta Serumpun, Galeri Perdana, Parlimen@1, Global@1 dan Info Sukan@1 yang selaras dengan matlamatnya menyampaikan informasi.
- Durasi bersiaran 24 jam sehari di TV1 juga akan dipenuhkan dengan program dari jalur informasi antaranya mengekalkan Selamat Pagi Malaysia, HOT@1, Isu, Blog, Fenomena Seni, Vasantham dan What Say You.
- Beberapa program baru yang akan diperkenalkan pula termasuklah Dialog@1, Wanita@1, Pengguna@1 dan Eksklusif@1 selain program Di Luar Lingkungan bersama Sayed Munawar serta Santai@1 bersama Hezri Hashim.
- Slot program berbentuk dokumentari dan majalah pula memberi peluang kepada penonton menyaksikan program menarik menerusi Lensa@1 yang menyenaraikan judul Karyawan Muda, Simfoni Alam, Agro Jurnal, Intrend dan Gen X.
- TV1 juga tidak akan ketinggalan menyajikan program-program majalah dan dokumentari luar negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: