KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan pemakaian sopan dan menutup aurat di restoran-restoran makanan segera di negeri ini berkuatkuasa Januari 2017 nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, perbincangan dengan pemilik pasar raya dan pemilik perniagaan di negeri ini sudah dilakukan.
“Penguatkuasaan ini akan melibatkan KFC, Mc Donalds, Marry Brown dan restoran makanan segera lain di negeri ini. Di bawah PBT, kita sudah adakan perbincangan agar peniaga mengenakan uniform yang sesuai dengan negeri Kelantan.
“Setakat ini, restoran makanan segera KFC sudah melakukan perubahan itu tahun ini, walaupun belum menyeluruh,” katanya kepada media selepas majlis hari raya bersama mahasiswa Kelantan di JKR 10 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, yang ditakrifkan dengan pemakaian sopan ialah uniform dikenakan menutup aurat patuh syariah menutup bahagian lengan dan labuh di bawah paras punggung.
“Bagaimanapun bagi pekerja bukan Muslim, ada syarat khas selagi mana ia menjaga kesopanan dan kesantunan, tidak terlalu seksi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan. Tukang masak misalnya, mempunyai pakaian yang sesuai untuk kerja-kerja di dapur,” katanya.
Beliau berkata, peniaga di pasar-pasar malam juga akan dibudayakan dengan satu pakaian yang walaupun bukan uniform, tetapi menarik sebagai satu tarikan baharu kepada pelanggan.
“Kita dalam proses mendapatkan penaja untuk menaja apron kepada peniaga-peniaga pasar malam di negeri ini. Ada yang bersetuju kerana secara tidak langsung ia turut mempromosikan mereka,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan dengan menyertai kunjung Inspektor Kesihatan (IK) ke gerai-gerai makan untuk memastikan makanan yang dijual bersih.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis hari raya berkenaan, Abdul Fattah berkata, ia mendapat sambutan di luar jangkaan apabila dihadiri lebih 1000 mahasiswa dan mahasiswi di negeri ini dari seluruh institusi pengajian tinggi.