Thursday, November 12, 2015

Usaha kurangkan kos sara hidup



Usaha kurangkan kos sara hidup
Pegawai Jabatan Pertanian Daerah, Aslynawati Abd Shukor (kiri) menerangkan cara penanaman secara mini fertigasi kepada Samsudin (dua, kiri) sambil diperhatikan oleh Zabidi (tengah).
TAPAH – Sebagai usaha mengurangkan kadar kos sara hidup seharian, Jabatan Pertanian Daerah melancarkan Program Pertanian Bandar daerah Batang Padang yang melibatkan 45 penyertaan.
Pengarah Pertanian Negeri, Zabidi Dun berkata, daripada jumlah itu, 15 penempatan atau komuniti perumahan di kawasan bandar atau pinggir bandar seluruh daerah Batang Padang terlibat menerusi Projek Laman Edible.
Menurutnya, dua penempatan perumahan melaksanakan projek mini fertigasi selain lima premis institusi kerajaan menjalankan projek Nutrient Film Technique (NFT).
“Selain itu, 16 premis institusi melaksanakan laman institusi dan projek mini fertigasi bagi tujuh premis institusi kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Pertanian dan pelancaran Program Pertanian Bandar peringkat Batang Padang di Pejabat Daerah Batang Padang, di sini.
Hadir sama, Adun Ayer Kuning merangkap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hasan; Pegawai Daerah Batang Padang, Razali Bakar dan Pegawai Jabatan Pertanian Daerah, Aslynawati Abd Shukor.
Zabidi berkata, Program Pertanian Bandar merupakan program yang membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri yang mana sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan melalui bimbangan Jabatan Pertanian.
"Program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama serta penglibatan pelbagai agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan," katanya.
Katanya, pengintegrasian pertanian dalam perancangan dan pembangunan perbandaran adalah penting untuk pembangunan mampan dari segi pelbagai aspek kehidupan serta keperluan  kehidupan bandar.
"Kawasan penanaman diberi fokus kepada kawasan sekeliling rumah, institusi, pejabat, tanah rizab kerajaan dengan kebenaran bertulis daripada pihak berkenaan, kawasan terbiar dan tanah yang sesuai mengikut tanaman.
“Menerusi program ini, kita dapat menggalakkan penduduk setempat untuk menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi menampung keperluan harian serta mengurangkan kadar kos sara hidup,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: