Wednesday, November 11, 2015

Unit Bergerak ASNB dekati pelabur



Unit Bergerak ASNB dekati pelabur
Ahmad Sarji (kanan) ketika melancarkan Unit Bergerak ASNB di ibu pejabat PNB, Kuala Lumpur, semalam.
AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan enam van Unit Bergerak ASNB untuk menarik lebih ramai pelabur baharu dari seluruh negara.
Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, unit berkenaan berperanan sebagai kaunter bergerak untuk mempromosikan dan memperluaskan capaian produk yang ditawarkan ASNB.
“Kita mengambil iktibar daripada berlakunya fenomena banjir pada tahun lalu yang menyebabkan beberapa pejabat kami terjejas.
“Jadi, unit ini juga boleh bertindak sebagai pejabat alternatif sekiranya berlaku bencana alam ataupun kecemasan sekiranya pejabat kami terjejas,” katanya ketika berucap merasmikan Unit Bergerak ASNB di ibu pejabat PNB, Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, orang ramai boleh melakukan pelbagai urus niaga yang disediakan ASNB seperti pendaftaran pelaburan, kemas kini urus niaga, gantian buku pelaburan dan beberapa urus niaga lain.
Katanya, semua van itu akan diletakkan di enam lokasi strategik di lima zon seluruh negara.
“Semua van ini akan berada di pelbagai lokasi seperti Pusat Transformasi Bandar/Luar Bandar (UTC/RTC), pejabat kerajaan dan tempat tumpuan awam.
“Unit ini akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Khamis, bermula jam 9.30 pagi dan tamat jam 3 petang,” katanya.
Ahmad Sarji berharap, dengan wujudnya unit bergerak itu dapat memupuk lebih ramai orang melabur, sekali gus menjadikan pelaburan sebagai satu amalan di kalangan masyarakat.
“Saya berharap PNB akan merakyatkan industri pelaburan di kalangan rakyat negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: