Friday, November 13, 2015

Polis Evo: Ghaz Abu Bakar semakin dikenali



Polis Evo

SEJAK kejayaan filem Polis Evo mencatat sejarah dunia perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip RM17.30 juta selepas 42 hari ditayangkan, tidak keterlaluan untuk mengatakan pengarahnya, Ghaz Abu Bakar turut mendapat tempiasnya.
Masakan tidak, jika sebelum ini Ghaz hanya dikenali oleh sesetengah pihak, kini perhatian sudah mula beralih kepada pengarah berusia 40 tahun ini.
Berkongsi sejarahnya sebagai seorang pengarah, Ghaz berkata, dia tidak terus bermula sebagai seorang pengarah filem, sebaliknya bertatih dari bawah.
Katanya, sebaik tamat pengajian Sarjana Muda Sc (Hons) Filem & Animasi di Universiti Multimedia, Cyberjaya, dia mula melibatkan diri dalam pembikinan muzik video.
"Saya ambil inspirasi pengarah filem barat yang bermula dengan pembikinan muzik video sebelum mengembangkan kerjaya mereka sebagai pengarah filem.
"Antara pengarah yang menjadi idola saya adalah David Fincher (Gone Girl), Francis Lawrence (Hunger Games), Mark Romanek dan ramai lagi.
"Bila melihat kejayaan mereka, secara tidak langsung, saya jadikan mereka inspirasi. Daripada pembikinan muzik videolah saya belajar kerja-kerja belakang tabir seperti pergerakan kamera, selitkan unsur CGI (Imej Janaan Komputer), belajar uruskan pelakon, kru dan juga mengatasi tekanan di set.
"Selepas ada sedikit keyakinan, saya memberanikan diri mengarah telefilem dan seterusnya mengarah filem pertama, Hantu Kapcai pada 2011," katanya kepada Zass.
Ghaz berkata, kejayaan Hantu Kapcai sedikit sebanyak memberi kenangan manis buatnya apabila filem berkenaan berjaya mendapat kutipan RM3.19 juta, biarpun filem tersebut disiapkan dengan bajet yang rendah.
"Selain kutipan box-office, filem tersebut juga menang besar pada Anugerah Blockbuster yang berlangsung pada tahun 2013.
"Secara tidak langsung, ia memberi keyakinan dan semangat untuk saya terus mengarahkan filem seterusnya," ujarnya.
Tambah Ghaz, kejayaan Polis Evo berada di tangga pertama dalam kutipan filem di Malaysia tidak membuatkan dia mendabik dada dengan kejayaan filem berkenaan.
Sebaliknya akui Ghaz, ia sedikit sebanyak membuatkan dia bimbang dengan jangkaan orang ramai terhadap filem yang dihasilkannya pada masa akan datang.
"Sejujurnya selepas filem ini siap, penerbit ada bertanya, berapa sasaran saya untuk kutipan filem ini dan dengan keadaan industri kini, saya hanya berani letak sasaran RM3 juta.
"Tapi penerbit kata tak balik modal, jadi dalam nada bergurau, saya kata RM6 juta. Apabila filem berkenaan melebihi jangkaan saya, tentunya saya terkejut.
"Bila filem berkenaan mencatat sejarah tersendiri, terselit rasa bimbang di hati kerana saya pasti selepas ini orang akan letak jangkaan tinggi terhadap filem yang saya hasilkan selepas ini," katanya.
Sedia dikritik
Ghaz berkata, dia juga akan lebih berhati-hati memilih tawaran sebagai pengarah kerana dia sebolehnya mahu menghasilkan filem yang berkualiti.
"Saya tak nafikan, ada yang sudah merisik daripada saya dan saya memang berterus terang, jika mereka mahukan filem berkualiti seperti Polis Evo maka mereka perlu keluarkan sejumlah bajet dan masa.
"Bukan saya cakap sebegitu kerana saya berlagak bagus atau mula demand, tapi itulah hakikatnya dan saya mahu penerbit percaya serta meletakkan duit pada orang yang betul," jelasnya.
Ghaz berkata, tidak hanya mahu menghasilkan filem yang berkualiti, dia juga bersedia menerima sebarang kritikan kerana merasakan dia kini masih dalam tempoh pembelajaran.
Katanya, kehendak penonton sememangnya tidak boleh dijangka dan apa yang mahu dilakukan adalah membuat orang suka dengan karyanya.
"Bila kita hasilkan sesuatu, kita memang mahu yang terbaik dan akan lakukan yang terbaik. Tapi penghujungnya terpulang pada respons penonton.
"Sebab itu kita sebagai pengarah dan penerbit kena pastikan karya yang kita buat disukai oleh mereka," katanya.
Arah karya sendiri
Tidak hanya mahu mengharap menghasilkan filem di atas kehendak orang lain, Ghaz berkata, dia kini dalam perancangan untuk menerbit dan mengarahkan filem sendiri suatu hari nanti.
Katanya, dia kini dalam proses memilih beberapa karya yang sudah siap ditulis jalan ceritanya dan berharap ia akan menjadi kenyataan.
"Sebelum ini saya hasilkan filem daripada apa yang orang mahu. Jadi memandangkan saya sudah ada syarikat produksi sendiri, maka saya berhasrat untuk menerbit dan mengarahkan filem saya sendiri.
"Apa yang pasti filem berkenaan membawa jalan cerita dan genre yang berlainan, tapi masih mempunyai satu tarikan tersendiri.
"Doa-doakanlah ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," akhirinya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Rumi dan Jawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: