
Peserta Klinik Juara Futsal bergambar bersama selepas tamat program tersebut di Pusat Sukan Daiman Sri Skudai, semalam.
JOHOR BAHRU - “Dorongan sahaja sudah memadai bagi melahirkan seorang juara,” kata bapa gimnas kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi, ketika diminta mengulas faktor utama kejayaan anak beliau, baru-baru ini.
Abdul Hadi Ahmad berkata, semua kejayaan yang dikecap anak sulungnya itu adalah daripada usaha dan kegigihan yang ditunjukkan sejak kecil.
“Farah memang seorang yang berbakat. Ia dapat dilihat sejak dia berusia empat tahun lagi apabila mula menceburi sukan itu dengan menyertai beberapa kelas gimrama dan memasuki pertandingan sehingga sekarang.
“Sebagai bapa, saya hanya perlu beri sokongan dan yakin usahanya itu akan memberikan kepuasan tersendiri, di samping dapat melihat dia gembira dengan pencapaiannya.
Menurutnya, selain daripada dorongan, penglibatan dari segi kehadiran dan masa yang diluangkan juga salah satu faktor Farah Ann kini berada di puncak kegemilangan.
Jelas Abdul Hadi, sejak dulu lagi, beliau membiasakan diri hadir pada setiap perlawanan atau sesi latihan yang dihadiri anaknya itu.
“Ia kerana, anak memerlukan sokongan seperti itu supaya mereka rasa rapat dengan kita selain dapat memberi mereka semangat untuk menunjukkan persembahan pada tahap maksima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Klinik Juara Futsal anjuran Nestle Milo yang diadakan di Pusat Sukan Daiman Sri Skudai,, semalam.
Sementara itu, seorang kakitangan awam dan bapa kepada salah seorang peserta yang menyertai program tersebut, Wan Sharani Abdul Jalil, 37, berkata, program itu satu permulaan yang baik bagi anaknya mengenali bola sepak dan futsal.
“Setiap hujung minggu saya dapat lihat anak saya begitu gembira dan teruja untuk hadir ke klinik ini.
“Saya yakin, jika anak saya diberi peluang dengan lebih lama mungkin ia dapat mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Program yang turut dilangsungkan serentak di dua lagi negeri iaitu Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak itu telah masuk minggu ketiga daripada empat minggu penganjurannya.
Pengurus Pemasaran Sukan Milo, Ng Ping Loong berkata, seramai 50 peserta dari usia tujuh hingga 11 tahun telah menyertai program bagi melahirkan atlet sukan futsal tersebut.
“Program ini juga bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental peserta semenjak dari kecil bagi mempersiapkan diri mereka untuk berdepan cabaran untuk menjadi seorang atlet pada masa akan datang.
“Selain daripada itu, program ini juga turut menerapkan satu ceramah motivasi kepada para ibu bapa peserta mengenai nutrisi yang perlu bagi pembesaran dan kecergasan anak-anak mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: