Wednesday, November 4, 2015

Penyanyi Baharu Nurul Faraheeda Dapat Bimbingan Loque




Nurul mempunyai bakat besar bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi menulis dan mencipta lagu.
PETALING JAYA: Bekas juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2014 iaitu Nurul Faraheeda tidak menyangka bakat nyanyian serta kebolehannya menulis dan mencipta lagu mendapat perhatian penyanyi dan komposer, Loque dari kumpulan MonoloQue.

Nurul, 24, berkata, pertemuan bersama Loque berlaku secara tidak sengaja apabila pemuda itu hadir menyaksikan persembahannya di sebuah acara sebelum ini yang telah membuka peluang untuk dia melebarkan karier seninya.

"Loque adalah satu nama besar dalam industri muzik tempatan dan peluang mendapat tunjuk ajar daripadanya adalah pengalaman luar biasa.

"Jika dia tidak hadir pada persembahan tersebut peluang ini mungkin tidak akan ada sekali gus saya kini bernaung di bawah syarikatnya," kata Nurul kepada mStar Online.
Nurul mempertaruhkan single Kelmarin.
Nurul adalah artis pertama naungan Penerbitan Pancasona dah baharu sahaja melancarkan single berjudul Kelmarin yang dihasilkan sepenuhnya oleh wanita berasal dari Negeri Sembilan itu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai arah tujunya dalam bidang muzik, Nurul berkata, dia ingin menampilkan kelainan dalam muziknya kerana menyedari persaingan sengit daripada artis sedia ada.

Tampil dengan genre pop balada yang disuntik dengan elemen eksperimental, Nurul bagaimanapun enggan melawan arus muzik perdana sebaliknya ingin memberi variasi kepada dunia seni.

"Saya tidak mahu menjadi orang lain dan ini adalah diri saya kerana untuk berjaya dalam saya kena berani menampilkan sesuatu yang berbeza dan bukannya mengikut trend semasa.
Loque tertarik dengan bakat nyanyian dan kebolehan Nurul menulis dan mencipta lagu.
"Alhamdulillah dengan sentuhan daripada Loque, Kelmarin telah diolah dengan susunan baharu menjadikan ia berbeza dengan bunyi yang segar tetapi masih berlandaskan pop balada," katanya.

Tambah Nurul, dia tidak bimbang sekiranya Kelmarin gagal mendapat sambutan daripada pendengar kerana paling utama dia telah membawa kelainan dalam karyanya itu.

Sementara itu, Nurul berkata, dia mula meminati seni penciptaan lirik dan lagu sejak di bangku sekolah dan berjinak-jinak mempelajari bermain gitar daripada adik dan internet.
Nurul mahu tampil kelainan sebagai penyanyi.

Jelas Nurul, idea mencipta lagu kebiasaannya berlaku tanpa dirancang dan setakat ini dia sudah mempunyai 20 buah lagu dalam simpanannya.

"Saya tiada pendidikan formal dalam bidang muzik dan ilmu yang saya ada semuanya hasil daripada minat dan proses pembelajaran daripada orang sekeliling dan internet.

"Kadang-kadang ilham mencipta lagu itu hadiur ketika sedang menonton televisyen atau idea itu datang dalam mimpi malah lagu Kelmarin saya cipta pada saat-saat akhir sebelum bertanding dalam peringkat akhir BIBH 2014," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: