Elizabeth menyaksikan ribuan patung tapir yang dipamerkan di Lobi Utama SUK.
SHAH ALAM - Ribuan patung kecil tapir dipamerkan di Lobi Utama SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena program Tapi Project.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, program bertujuan mencetus kesedaran di kalangan orang ramai supaya menghargai dan menyayangi haiwan yang semakin pupus ini.
“Hanya ada 3,000 ekor sahaja tapir direkodkan di seluruh dunia dan 2,000 daripadanya berada di Malaysia.
“Terdapat empat jenis tapir dan salah satunya adalah Malayan Tapir yang boleh ditemui di negara kita, Thailand dan Myanmar,” katanya ketika sidang media Pelancaran Pameran Khas Pengenalan Tapir di sini.
Katanya, Tapi Project merupakan pameran hasil inisiatif sebuah NGO bernama ArtSemble dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Kami akan kembangkan pameran ini ke beberapa kawasan lain termasuk sekolah dan pejabat kerajaan di sekitar Selangor,” katanya.
Pameran Tapi Project melibatkan hasil kerja pelajar sekolah rendah dan menengah dari 12 buah sekolah dan studio seni di seluruh Selangor.
Mereka menghasilkan kira-kira 2,000 patung tapir kecil spesies Malayan Tapir dalam pelbagai aksi di atas platform kayu.
Setiausaha ArtSemble, Kean Fook berkata, tapir dipilih sebagai ikon Tapi Project kerana haiwan ini melambangkan kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia.
Katanya, kaca mata budaya Cina melihat tapir sebagai gabungan empat ekor haiwan dalam satu badan.
Bagaimanapun, Kean Fook berkata, sebab utama tapir dipilih kerana haiwan ini semakin pupus dan perlu diberikan perhatian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: