
Sebanyak 100kg sampah berjaya dikutip peserta Save The Earth di kawasan pesisir pantai Pusat Perdagangan Pontian.
PONTIAN - Sebanyak kira-kira 100 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpulkan peserta program Save The Earth anjuran Kumpulan Penggiat Media Sosial Demi Rakyat Johor di sepanjang pesisir pantai Pusat Perdagangan Pontian.
Pengerusi program, Mohd Noor Fairus Mat Derus berkata, program yang diadakan sempena Minggu Alam Sekitar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan yang kerap menjadi tumpuan orang ramai terutama pantai.
“Penyertaan pelbagai kelompok peserta dari 13 persatuan dan NGO, membolehkan acara yang julung kali dianjurkan ini mencapai matlamat bagi membersihkan kawasan di tepi pantai, di sini.
“Dalam tempoh dua jam sahaja, sebanyak kira-kira 100kg sampah pelbagai jenis terutamanya daripada bahan plastik berjaya dikumpulkan,” katanya.
Menurutnya, kesedaran menjaga alam sekitar demi memulihara kawasan semula jadi terutama di kawasan rekreasi tepi pantai di Pusat Perdagangan Pontian dilihat masih kurang.
Jelasnya, kita tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa tempatan sahaja, sebaliknya perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah sesuka hati kerana tindakan sedemikan mengundang kepada masalah sampah sarap.
“Malah, lebih buruk lagi, tong sampah yang disediakan tidak digunakan dan hanya terbiar begitu sahaja,” katanya.
Antara 13 persatuan yang terlibat ialah Kelab Kembara dan Rekreasi Pontian, Kelab Rekreasi Riken, Saga FL Kelab dan Pontian Bikers.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: