
Seramai 42 murid khatam al-Quran diraikan pada Majlis Ihtifal Khatam al-Quran Peringkat SK Danan, Selising.
SELISING - Tiga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Danan, di sini, menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya khatam al-Quran sebanyak enam kali dalam tempoh lima tahun.
Kejayaan Norehan Bahaldin, Nurul Najihah Abdullah dan Azqlin Sophia Afindi yang khatam al-Quran sejak 2010, membanggakan pihak sekolah yang meraikan mereka pada Majlis Ihtifal Khatam al-Quran 2015 peringkat sekolah berkenaan.
Penyelaras j-Qaf SK Danan, Wan Abdullah Aqili Wan Jusoh berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan program j-Qaf yang diperkenalkan di sekolah rendah.
“Ia membantu murid menguasai bacaan al-Quran sehingga khatam dan komitmen tinggi guru Kafa memastikan murid membaca al-Quran menggunakan kaedah talaqqi musyafahah menjadi faktor kejayaan,” katanya.
Menurutnya, seramai 42 murid khatam al-Quran tahun ini dan 21 daripadanya khatam lebih daripada sekali.
Majlis dirasmikan Guru Besarnya, Wan Abdul Aziz Wan Ahmad itu turut menyaksikan murid tahun enam, Siti Junainah Nasri menerima Sijil Anugerah Khas j-Qaf 2015 selepas cemerlang dalam semua model pelaksanaan Program j-Qaf sejak tahun satu lagi.
Wan Abdul Aziz berkata, beliau berbangga dengan usaha gigih Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama baik guru Kafa dan ibu bapa.
“Usaha sebegini menepati matlamat dan kehendak Kementerian Pendidikan mewujudkan Sarana Ibu Bapa menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Di peringkat pelaksanaan pihak panitia, kita berjaya merealisasikan Perancangan Strategik Panitia Pendidikan Islam (PSPPI) 2014-2017 bagi menetapkan ukuran kejayaan dalam memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah ini," katanya.
Kata Wan Abdul Aziz lagi, Program j-Qaf dalam model Khatam Al-Quran dan Tasmik dijalankan di sekolah berkenaan sejak 2007.
“Harapan kami untuk melihat lebih ramai murid khatam al-Quran dan yang lebih penting, murid menjadikan al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan," katanya.
Majlis Ihtifal Khatam al-Quran tahun ini diadakan serentak dengan program memasak bubur asyura membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru secara menyeluruh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: