
Mohd Harun (kanan) menghantar keropok keping dihasilkan kepada Roshila di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Peniaga keropok keping di negeri ini kini bimbang dengan musim tengkujuh yang sudah mula menjengah Pantai Timur kerana bekalan akan berkurangan ekoran cuaca tidak menentu menyebabkan makanan kering itu tidak dapat diproses.
Seorang peniaga di Pasar Besar Kedai Payang, Roshila Yasin, 51, berkata, ketika ini bekalan keropok keping masih ada namun mula berkurangan ekoran keadaan cuaca yang mula tidak menentu, kadangkala panas dan hujan menyebabkan pengusaha tidak dapat memproses keropok tersebut.
Menurutnya, setiap hari sekurang-kurangnya dia memerlukan 100 kilogram keropok untuk dijual.
"Walaupun musim hujan, pelancong masih tetap mengunjungi negeri ini dan sudah semestinya akan membawa pulang ole-ole Terengganu termasuk keropok keping.
“Sekarang kita masih jual RM20 sekilogram (kg), sebab bekalan masih ada meskipun sedikit berkurangan. Namun, berdasarkan pengalaman tahun lepas, harganya boleh cecah hingga RM25 sebab permintaan tinggi tetapi bekalan berkurangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang pengusaha keropok keping, Mohd Harun Adnan, 36, berkata, Terengganu kini diambang musim tengkujuh namun adakala cuaca panas terik dan kebanyakan pengusaha keropok sepertinya mula peka dengan keadaan cuaca.
Ini kerana jika hujan mereka tidak dapat memproses keropok keping yang memerlukan cahaya matahari untuk mengeringkan makanan tersebut.
“Walaupun telah berada pada musim tengkujuh tetapi kami masih menjalankan aktiviti memproses keropok keping kerana ada kalanya cuaca masih elok meskipun hujan," katanya.
Menurutnya, pada hari biasa, dia boleh menyediakan lebih 100 kilogram (kg) keropok untuk diproses kering tetapi sejak memasuki musim tengkujuh, jumlahnya telah dikurangkan agar tidak menimbulkan kesulitan.
“Kita sedia maklum, November dan Disember adalah musim tengkujuh di pantai Timur. Sekarang saya hanya memproses sekitar sekitar 50 kg sahaja, itu pun bergantung kepada cuaca,” katanya.
Perkara itu diakui seorang lagi pengusaha, Zabedah Harun, 46, sambil memberitahu, sekiranya hujan, dia terpaksa hentikan aktiviti membuat keropok dan menunggu cuaca panas.
Menurutnya, bagi memastikan keropok kering sepenuhnya, ia perlu dijemur sekurang-kurangnya enam jam di bawah panas terik matahari.
“Jika hentikan terus operasi rasa rugi pula kerana permintaan sentiasa ada. Keropok yang dihasilkan menggunakan ikan tambang sepenuhnya dan harganya dijangka meningkat pada musim hujan iaitu dari RM2.60 mungkin kepada RM2.80 atau lebih,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: