Monday, November 2, 2015

Insurans percuma untuk peniaga



Insurans percuma untuk peniaga
Abu Ubaidah melawat gerai peniaga bazaar mega murah di Stadium Paroi, semalam.
SEREMBAN – Peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berpersatuan, layak memiliki Pelan Perlindungan Percuma melalui Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Inovasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, semua penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar berhak menerima manfaat perlindungan takaful secara percuma sehingga RM5,000.

Katanya, ramai penjaja dan peniaga kecil yang tidak tahu mengenai pelan insurans 1Malaysia ini, dan ia amat merugikan jika mereka tidak membuat sebarang tuntutan.

“Melalui P1MPIN ini, setiap peserta dilindungi, misalnya jika berlaku kematian semula jadi, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal akibat kemalangan, jumlah perlindungan sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada waris.

“Perlindungan juga diberi kepada perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM1,000), jenayah ragut (RM250), kebakaran (RM2,000) dan khairat kematian (RM1,500).

“Jadi mana-mana peniaga yang telah berdaftar dinasihatkan supaya meneliti insurans ini dan membuat tuntutan kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Membara Karnival Usahawan Rakyat dan Pelancaran Bazar Mega Murah, di tapak Stadium Paroi di sini, semalam.

Turut serta Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Salleh Makmor; Pengerusi Biro Pelajaran dan Keusahawan Umno Bahagian Seremban, Abd Halim Lokman dan Pengerusi Pertubuhan AES Akal Malaysia, Saiful Qamar.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata sejak program P1MPIN itu diperkenalkan pada 2013, hanya seorang sahaja peniaga di negeri ini yang membuat tuntutan kematian.

Manakala di peringkat nasional pula, seramai 158 peniaga telah membuat tuntutan.

“Saya yakin ramai peniaga di negeri yang tidak tahu mengenai pelan insurans 1Malaysia ini yang disediakan secara percuma kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar.

“Saya nasihatkan peniaga datang ke pejabat KPDNKK daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Jumlah perlindungan yang diberi itu mempunyai nilai yang tinggi, rugi jika kita abaikannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: