Shiela Majid
TIGA dekad bukanlah satu tempoh yang singkat malah pelbagai cabaran harus dihadapi dalam menelusuri karier nyanyiannya.
Namun, lebih membanggakan dalam tempoh itu juga legasi yang dibina penyanyi genit ini nyata berbaloi dengan pencapaian yang dilakar bukan sahaja di tanah air, malah di Singapura, Jakarta, Brunei dan Jepun.
Bermula dengan ‘Sinaran’ yang menyinari kariernya sejak 1986, pemilik nama Shaheila Abdul Majid, 50 kini telah pun berada dalam kelasnya dan tidak hairanlah gelaran Ratu Jazz negara diberikan kepadanya.
Selepas 30 tahun berlalu, legasinya dirai dengan meriah apabila beberapa lagu hits nyanyiannya menjadi inspirasi untuk sebuah filem muzikal yang julung kalinya diterbitkan.
Melahirkan rasa syukur, Datuk Shiela Majid akui teruja untuk menantikan hasil filem yang pastinya bakal mengembalikan nostalgia zaman kegemilangannya.
“Alhamdulillah, sebenarnya cadangan untuk hasilkan filem ini sudah lama diusulkan kepada saya tapi memang tidak sangka ia benar-benar dijalankan.
“Tidak ada apa yang boleh saya katakan selain terima kasih atas penghargaan seperti ini.
“Saya terharu kerana ada pihak yang sanggup berhabis untuk merealisasikan karya ini yang melibatkan lagu-lagu saya.
“Saya amat berharap peminat tidak akan melepaskan peluang menyaksikan filem ini kerana bagi saya ia satu kelainan berbanding filem-filem lain,” ujarnya ketika pelancaran lagu tema filem Sinaran iaitu Sinaran Cinta di pusat karaoke Red Box di The
Gardens, baru-baru ini.
Sinaran merupakan filem arahan Osman Ali yang dibintangi oleh Lisa Surihani, Izara Aisyah, Syarif Sleeq dan Nadiah M Din dan akan ditayangkan pada 26 November ini.
Ditanya lebih lanjut mengenai filem tersebut, Shiela akui selain terlibat menyanyikan ‘Sinaran Cinta’ sebagai runut bunyi, dia turut terlibat dalam lakonan dengan memegang watak cameo.
“Kalau nak tahu kenalah tengok filem ini. Sebenarnya saya sendiri pun belum tengok lagi filem itu keseluruhannya.
“Saya cuma sempat menonton trailernya sahaja. Tapi saya memang tidak sabar menantikannya,” katanya dengan mesra.
Sinaran akan menampilkan sebanyak sembilan buah lagu popularnya seperti Sinaran, Di Dalam Emosi Ini, Warna, Fikirkan Dahulu, Cinta Jangan Kau Pergi dan Antara Anyer Dan Jakarta. Kesemua lagu itu telah disusun dan dinyanyikan semula oleh
Malaque Mahdali dan Evan Sanders. Manakala lagu temanya, iaitu Sinaran Cinta yang diciptakan oleh Kevin Chin dan Shahrom Rashid akan menjadi single baharu Sheila.
Album baharu
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Sheila turut memberitahu dia kini sedang sibuk menyiapkan album terbarunya.
“Sinaran Cinta bukan antara single yang akan dimuatkan dalam album ini, kerana ia dicipta khas sebagai runut bunyi filem dan ia berdiri dengan sendiri.
“Untuk album baharu, akan ada lagu lain yang menyusul dan buat masa ini sudah lima lagu siap dirakamkan dan masih berbaki tiga lagu untuk sempurnakan album ini.
“Dari segi pemilihan lagu, saya akui agak cerewet kerana mahu beri yang terbaik dan mungkin disebabkan itu juga ia memakan masa yang agak panjang untuk hasilkannya.
“Album ini saya anggap sebagai simbolik bersempena 30 tahun usia pembabitan seni saya dan pastinya menjadi koleksi peribadi untuk peminat saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: