
Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza bersama dua penyanyi lagenda dari Indonesia dan Singapura Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip mendendangkan pelbagai lagu ketika Konsert Satu Suara 'Volume 2' Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya semalam.
"KONSERT Satu Suara Volume 2 ini merupakan satu persembahan istimewa dan bersejarah kerana ia telah merealisasikan impian Siti untuk bergandingan dengan Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang," kata Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Siti berkata kedua-dua penghibur legenda dari Singapura dan Indonesia itu merupakan idolanya sejak kecil dan pemilihan mereka berdua untuk berkongsi pentas sangat tepat sehingga berjaya mengegarkan Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama dua malam yang berakhir malam tadi.
Katanya, kesudian Hetty dan Ramli untuk membuat persembahan bersama pada konsert itu menjadi satu penghargaan yang besar buat dirinya yang sudah dua dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian.
"Saya akui gandingan pada malam ini (semalam) sangat mantap, persembahan penuh bertenaga dan kedua-dua idola saya lagak spontan, ia membuatkan rasa sangat selesa sehingga Siti juga boleh bergurau dengan spontan," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya konsert itu di sini malam tadi.
Beliau juga mengharapkan Konsert Satu Suara itu menjadi satu jenama buat produksinya dan akan diteruskan pada masa akan datang.
“Rasa sedih apabila konsert muzikal yang dirancang pada awalnya terpaksa ditunda, namun saya sangat bersyukur kerana ia terubat apabila impian bergandingan idola menjadi kenyataan,” katanya.
Pada konsert itu, Siti turut menyelitkan persembahannya dengan menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang nyanyian kepada lebih 1,300 penonton.
Antara lagu yang didendangkan oleh beliau pada malam tadi seperti Kesilapanmu Keegoanku, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Terbaik Bagimu, Titik-Titik Noda, Camelia dan Hadirlah Kasih.
Selain itu, Siti turut berduet dengan Hetty menerusi lagu Pastikan, Pedihnya Rasa, Bukan Cinta Biasa dan Kuda Hitam manakala dengan Ramli pula beberapa lagu seperti Doa Buat Kekasih termasuk lagu Inggeris.
Pada usia emas, Hetty dan Ramli bukan sahaja memukau penonton dengan vokal yang hebat, namun masih lincah dan bertenaga di atas pentas serta berjenaka dengan penonton setiap kali membuat persembahan.
Kehebatan gandingan ketiga-tiga mereka sukar digugat dari dulu hingga sekarang sehinggakan mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton sejak konsert bermula sehingga ia berakhir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: