Tuesday, November 10, 2015

Dua filem pendek bakal terhasil menerusi Fly 2015



finas
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)
DUA filem pendek bakal diterbitkan oleh 22 belia berbakat seluruh rantau Asean menjelang akhir bulan ini menerusi bengkel hasil kerjasama 11 negara itu.
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman berkata, 22 peserta itu bakal dibahagikan kepada dua kumpulan, yang akan
menyertai bengkel selama 14 hari di Studio Pinewood, Nusajaya.   
Beliau berkata program yang telah dianjurkan buat kali keempat itu, bakal menyaksikan belia-belia berbakat ini mempelajari cara pembuatan filem dan kerja produksi dalam kumpulan.   
"Para pembuat filem muda dari 11 negara akan berkumpul dan mempelajari mengenai lakon layar di bawah panduan dan pengawasan pembuat filem terkemuka Asia," kata beliau kepada pemberita selepas perasmian program itu, di sini hari ini.   
Program 'Asean-ROK Film Leaders Incubator (Fly2015)' itu merupakan anjuran bersama Finas, Suruhanjaya Filem Busan (BCF) dan Rangkaian Suruhanjaya Perfileman Asia (AFCNet).
Kamil berkata dengan adanya program ini, peserta Fly2015 akan dapat mempelajari teknik-teknik pembuatan filem, yang bermula dari cetusan idea sehinggalah kepada penghasilan sebuah filem.   
Sementara itu, Finas turut bersedia memberi dana kepada peserta Fly yang berminat untuk menerbitkan filem pada masa akan datang.   
"Finas memang menyediakan dana bagi mereka yang berminat dalam bidang ini, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah mengikuti bengkel perfileman ini. Dengan kemahirannya yang sudah mantap itu, mereka sudah boleh membuat filem sendiri," kata beliau.   
Pengarah BCF yang juga Presiden AFCNet Seok Geun Oh berkata menerusi program ini, pihaknya akan dapat mengumpul idea untuk menghasilkan filem Asia pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: