Aziah AF
BIARPUN hanya mampu bertahan sehingga konsert minggu kelima, Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), semangat anak kelahiran Tuaran, Sabah ini masih belum runtuh untuk meneruskan karier nyanyiannya.
Pernah bergelar naib juara program nyanyian, Bintang Remaja Sabah RTM pada 2012, bakat muda ini mengharapkan satu hari nanti, bakatnya bakal diterima baik dalam industri muzik tempatan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak mampu bertahan sehingga konsert akhir, tapi saya gembira sebab sepanjang berada di dalam akademi pelbagai ilmu yang saya perolehi.
“Walaupun sepanjang itu juga banyak kritikan diberikan, saya mengambilnya sebagai satu panduan untuk terus memperbaiki diri terutamanya dari segi bakat nyanyian saya.
“Saya percaya pengalaman yang saya perolehi sejak berada di akademi ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dan Insya Allah, saya akan manfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan sepanjang berada di AF, Aziah bagaimanapun akui telah lakukan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
“Sejak konsert minggu pertama saya buat yang terbaik dan ambil semua kritikan sebagai sesuatu yang membina.
“Tapi saya juga akui setiap minggu itu juga, saya tidak dapat memuaskan hati semua pihak termasuk juri.
“Apa pun teguran saya ambil dari sudut yang lebih positif, sebab saya percaya tanpa teguran ini kita tidak akan tahu kelemahan diri sendiri,” jelasnya yang turut meminati bidang lakonan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: