13 pasangan mempelai merakam gambar selepas selamat diijabkabulkan pada Program Seiring Sejalan ‘Aku Terima Nikahnya’ semalam.
KOTA TINGGI – Seramai 13 pasangan mempelai selamat diijabkabulkan dalam Program Seiring Sejalan ‘Aku Terima Nikahnya’ yang dianjurkan sempena Ekspo Halal dan Ihtifal Kesenian Islam Peringkat Daerah di dataran parkir Masjid Bandar Kota Tinggi, semalam.
Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata, semua pengantin terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk saudara baharu, Orang Asli dan asnaf.
Menurutnya, setiap pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM700 sahaja untuk urusan perkahwinan yang merangkumi majlis nikah, jamuan serta pelamin.
“Bagi pasangan terdiri daripada asnaf miskin iaitu seramai lima pasangan, mereka telah ditaja Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi kos perkahwinan tersebut.
“Tahun lepas, hanya lapan pasangan sahaja yang menyertai program ini namun tahun ini bertambah lima lagi pasangan terdiri mereka yang berusia 21 hingga 63 tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi MAINJ, Ramli Jusuh; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman serta isterinya yang juga Pengerusi Puspanita Daerah Kota Tinggi, Azalila Aris.
Mohd Fauzi berkata, pihaknya menggunakan khidmat enam jurunikah sempena majlis itu dan menganjurkan majlis itu pada hari Jumaat kerana mengikut sunah.
Tambahnya, program berkenaan antara usaha MAINJ melalui Pejabat Agama Daerah untuk membantu masyarakat, ibu bapa khasnya menjimatkan perbelanjaan majlis perkahwinan anak-anak mereka.
“Kita sedari kos perkahwinan sekarang sangat tinggi jadi melalui program ini, secara tidak langsung dapatlah meringankan beban pasangan yang mahu berkahwin,” katanya.
Semua pasangan diraikan seperti mana majlis perkahwinan pengantin yang lain iaitu dimulakan dengan majlis akad nikah, perarakan diiringi paluan kompang dan bunga manggar, jamuan makan atau makan damai serta sesi mengambil gambar memotong kek.
Turut disediakan pelamin yang dipasang khas buat pasangan mempelai untuk merakam gambar kenangan bersama keluarga sempena hari bahagia mereka.
“Program ini juga akan dijadikan sebagai acara tahunan. Kita juga tidak mempunyai halangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menaja bagi menganjurkan program ini sama ada diadakan untuk peringkat kawasan Dun ataupun kawasan Parlimen.
“Kita akan menganjurkan majlis ini dengan penganjuran lebih baik pada masa akan datang dan Insya-Allah dengan kehadiran lebih ramai peserta,” katanya.
Jelasnya, orang ramai yang berminat untuk menyertai majlis tersebut boleh berhubung dengan Bahagian Undang-Undang Syariah Pejabat Kadi Kota Tinggi yang menguruskan hal pernikahan di talian 07-8831348.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: