Tuesday, March 4, 2014

Mona popularkan bahasa Arab di radio


MONA (duduk dua dari kiri) bijak mengendalikan program bahasa Arab iaitu Hayya Bil Arabiah di radio IKIM FM sejak sedekad lalu.


LENGGOK penyampainya persis orang Arab menyebabkan pendengar mungkin beranggapan ia stesen radio dari negara-negara Asia Barat.
Lebih menghairankan apabila mendapati gelombang radionya ialah 91.5 FM, gelombang yang hanya menerawang di ibu kota Kuala Lumpur.
Namun, jangan salah faham kerana siaran yang berkumandang itu bukan radio negara-negara Arab, tetapi program yang memperoleh rating tinggi iaitu Hayya Bil Arabiah, rancangan terbitan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM).
Radio IKIM FM boleh didengar di seluruh negara menerusi gelombang 91.5 fm di Lembah Kelang; 89.0 FM (Perlis, Kedah, Langkawi, Pulau Pinang); 102.7 FM (Ipoh dan Negeri Sembilan); 89.5 (Melaka); 106.2 FM (Johor Baharu); 89.6 FM (Kuantan); 100.2 FM (Kuala Terengganu); 89.8 FM (Kota Bharu); 93.6 FM (Kuching) dan 93.9 FM (Kota Kinabalu).
Kepada mereka yang pertama kali mendengar program tersebut mungkin beranggapan penyampai radio itu adalah seorang wanita Arab ekoran kefasihannya dalam menutur serta melontarkan kata-kata dalam bahasa tersebut begitu baik sekali.
Sebaliknya, wanita yang bekerja keras dalam menjayakan program berkenaan hingga mendapat sambutan yang memberansangkan sejak sedekad lalu itu ialah penerbit dan juruhebah IKIM FM, Mona Jasman, 38.
Mona yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir berasal dari Johor. Mona memberitahu, kefasihannya dalam bahasa Arab bukan disebabkan dia melanjutkan pengajian di Mesir, namun bahasa itu dituturnya sejak kecil lagi.
“Saya dilahirkan di Mesir dan tinggal di negara tersebut sehingga umur 25 tahun sebelum datang ke Malaysia selepas berkahwin dengan suami, Yazid Daud, 38, pada tahun 2001.
“Ayah saya adalah warganegara Malaysia berketurunan Melayu manakala ibu adalah warganegara Mesir,” kata anak sulung daripada enam adik-beradik itu ketika ditemui di IKIM.
Menceritakan lanjut, Mona memberitahu, pada asalnya dia merancang untuk menjadi guru atau ustazah apabila berada di Malaysia yang secara tidak langsung dapat mengajar pendidikan agama termasuk mengembangkan bahasa Arab.
Ditawar jawatan
Bagaimanapun katanya, dia telah menyertai sebuah syarikat yang membekalkan buku-buku bahasa Arab milik seorang peniaga Mesir di ibu negara.
Menerusi pekerjaan tersebut, Mona yang sering berurusan dengan IKIM telah ditawarkan jawatan sebagai juruhebah radio bagi mengendalikan program bahasa Arab memandangkan dia fasih dalam bahasa berkenaan.
“Alhamdulillah, rezeki ada di sini (IKIM) dan saya menerimanya kerana berpendapat bahasa Arab boleh dikembangkan dengan lebih baik serta meluas menerusi medium radio memandangkan ruang lingkupnya lebih besar.
BAHASA Arab digunakan sebagai bahasa pengantar di Universiti Al-Azhar, Mesir. - Gambar hiasan


“Saya bermula dengan IKIM FM pada November 2003 dan sejak itu saya mengendalikan program Hayya Bil Arabiah, sebuah rancangan belajar bahasa Arab. “Saya bersyukur kerana ia menerima maklum balas baik dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pendengar-pendengar,” ujarnya.
Lebih menyentuh perasaan, ada para pendengar menunjukkan kepadanya buku yang ditulis dalam bahasa Arab hasil pembelajaran menerusi program radio selama sedekad itu. Justeru, Mona yakin bahasa Arab bukan sesuatu yang asing di Malaysia kerana ia turut diajar di sekolah-sekolah agama dan semakin diterima oleh masyarakat Islam di negara ini.
“Apa yang menariknya, ramai pendengar dalam kalangan pesara mula berjinak-jinak mempelajari bahasa ini dan ada juga keluarga menghantar anak-anak mereka belajar bahasa Arab walaupun bukan daripada latar belakang sekolah agama.
“Sebenarnya, belajar bahasa Arab sama seperti mempelajari bahasa-bahasa lain, namun ia unik sedikit kerana mempunyai banyak cabang.
“Apa yang mengecewakan saya ialah terdapat pelajar-pelajar sekolah agama yang belajar bahasa ini tetapi mereka tidak boleh bertutur dengan baik,” katanya menggunakan bahasa Arab dalam perbualan dengan suami dan lima orang anaknya bagi memastikan bahasa ini terus dapat dikuasai dengan baik.
Bagi seorang pelajar Jurusan Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Zakirah Mohd. Salleh, 24, berkata, dia mula mendengar radio berbahasa arab itu sejak menuntut di universiti berkenaan.
Katanya, dia mendapat tahu IKIM ada mengadakan program bahasa Arab di radio dan sejak itu dia mula mendengarnya supaya dapat lebih memahami bahasa berkenaan.
Berbual-bual
“Ia sebuah program yang bagus dan menarik apatah lagi untuk pelajar seperti saya (Jurusan Bahasa Arab) kerana ia mengajar asas-asas bahasa tersebut pada setiap pagi.
“Sementara itu, program yang berlangsung pada hari Ahad pula membolehkan pendengar yang boleh berbahasa Arab menggunakan platform itu untuk berbual-bual dengan DJ menggunakan bahasa berkenaan,” katanya.
Justeru, Siti Zakirah melahirkan harapan supaya program bahasa Arab itu boleh diperluaskan lagi memandangkan ramai pelajar pada masa sekarang sudah mula meminati dan mempelajari bahasa berkenaan.
Bagi Norhazura Hosaimi, 36, pula memberitahu, dia pernah belajar bahasa Arab ketika menuntut di UIAM, namun tidak begitu fasih menggunakannya dalam perbualan.
Sehubungan itu katanya, program radio bahasa Arab seumpama itu akan memberi peluang kepadanya untuk mempelajari dan menajamkan semula bahasa Arab yang pernah dipelajarinya itu.
“Saya jarang menggunakan bahasa Arab, jadi apabila ada rancangan radio seperti itu, maka saya boleh ingat kembali dan belajar semula perkataan-perkataan yang baru,” katanya.
Norhazura menambah, seseorang yang dapat mempelajari dan memahami satu perkataan bahasa Arab setiap hari akan membolehkannya memahami al-Quran.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: